Guardiola Anggap Liverpool Sebagai Pesaing Paling Sukar Pernah Beliau Hadapi Dalam Liga

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata skuad Liverpool di bawah bimbingan Jurgen Klopp adalah pesaing liga paling sukar pernah beliau hadapi sepanjang karier pengurusannya.

Dengan Liga Perdana Inggeris berbaki 2 perlawanan sahaja lagi, Manchester City mendahului Liverpool dengan kelebihan 1 mata selepas mengutip 92 mata.

Bukan Real Madrid, tetapi Liverpool adalah pesaing liga paling sukar pernah Guardiola hadapi sepanjang karier pengurusannya

Untuk beberapa minggu sebelum ini, Liverpool dan Manchester City saling pintas-memintas untuk mendahului carta Liga Perdana Inggeris. Ramai yang menganggap persaingan di antara dua pasukan ini sebagai persaingan paling sengit pernah disaksikan sepanjang sejarah Liga Perdana Inggeris.

Sekiranya kedua-dua pasukan ini memenangi kesemua baki perlawanan mereka, Manchester City akan menamatkan kempen liga dengan mengutip 98 mata manakala Liverpool 97 mata yang mana kebiasaannya, kutipan mata seperti ini sudah cukup untuk membolehkan sesebuah pasukan menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Sekiranya Manchester City berjaya bergelar juara, ia akan menjadi kejuaraan liga ke-8 Guardiola sejak mula berkecimpung dalam arena pengurusan 10 tahun lepas.

Ketika Guardiola menguruskan Barcelona, Real Madrid meraih tempat ke-2 dengan mengutip 96 mata pada musim 2009/2010 dan 92 mata pada musim 2010/2011. Tahun terakhir Guardiola di Nou Camp menyaksikan pasukannya dipintas Real Madrid dalam  perebutan kejuaraan La Liga dengan kutipan 100 mata.

GUardiola mempunyai segala-galanya di Manchester City dan mahu terus kekal selama yang boleh

Namun begitu, Guardiola percaya Liverpool adalah pasukan yang paling sukar pernah beliau hadapi dalam perebutan kejuaraan liga, bukan Real Madrid.

“Dalam saingan liga, sudah tentu Liverpool adalah yang paling sukar. Setiap liga yang pernah saya menang biasanya sukar tetapi kali ini, ia jauh lebih sukar.” Ujar Guardiola kepada Sky Sports.

“Tambahan pula, kami baru sahaja memenangi liga dengan mengutip 100 mata. Amat sukar sebenarnya untuk atlet mengekalkan prestasi yang sama untuk tempoh masa yang panjang, tetapi kami berjaya melakukannya sekali lagi.”

Mengenai masa depan Guardiola di Etihad, pengurus yang berasal dari Catalan itu masih mempunyai baki dua tahun dalam kontraknya dan dalam keadaan bersemangant untuk membina legasi beliau sendiri di Manchester City.

Ferran Soriano dan Txiki Begiristain adalah individu yang bertanggungjawab membawa masuk Guardiola ke Etihad

“Saya berasa selesa. Saya mempunyai segala-galanya. Saya juga mempunyai barisan pemain yang cukup menakjubkan.”

“Kelab ini menyokong saya. Saya menyedari perkara tersebut selepas saya gagal memenangi sebarang kejuaraan dalam musim pertama saya di sini. Pengerusi kelab ini banyak menyokong saya. CEO juga sama. Direktor Sukan pon sama.”

“Staff kejurulatihan saya juga selesa bekerja di sini. Saya mempunyai segala-galanya di sini, jadi mengapa saya harus menukarnya ? Sebab itulah saya menandatangani kontrak lebih lama di sini.”

BACA:  "Man Utd Sekarang Sampah"- City Vs Liverpool Perseteruan Terbesar EPL Ketika Ini