Guardiola Perkenal Denda Baru Kerana Tidak Mahu Pemainnya ‘Bongkak’

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola dilaporkan telah memperkenalkan beberapa denda baru terhadap skuadnya bagi memastikan pemain-pemain Manchester City tidak terlalu selesa dengan kejayaan yang diraih mereka musim lepas.

Guardiola sering menekankan kepada pemainnya yang mereka tidak boleh berasa selesa dengan kejayaan yang diraih mereka musim lalu jika mereka mahu terus mendominasi bola sepak Inggeris.

Guardiola memperkenalkan beberapa denda baru bagi memperbaiki sikap pemainnya ketika sesi latihan

Guardiola berjaya membimbing Manchester City memenangi Liga Perdana Inggeris musim lalu dengan mengutip mata tertinggi sepanjang sejarah pertandingan apabila memungut 100 mata hasil 32 kemenangan, 4 seri dan hanya tumpas sebanyak 2 kali sahaja.

Sebelum menguruskan Manchester City, Guardiola mencipta nama bersama pasukan ternama seperti Barcelona dan Bayern Munich dimana beliau memenangi puluhan trofi.

Ketika menguruskan kedua-dua kelab terbabit, Guardiola menyaksikan pasukannya mengalami beberapa keputusan yang mengecewakan dalam minggu pertama sebagai juara bertahan liga.

Pada tahun 2010, beliau menyaksikan Barcelona di bawah bimbingannya tewas 2-0 di tangan Hercules. Manakala di Jerman, Bayern Munich gagal memenangi 2 dari 4 perlawanan awal Bundesliga pada tahun 2014.

Bagi memastikan keadaan itu tidak berulang di Manchester City, Guardiola mengambil inisiatif dengan memperkenalkan beberapa denda baru terhadap skuadnya.

Mendy jadi pemain pertama didenda musim ini kerana datang lewat ketika sesi latihan

Setakat ini, inisiatif Guardiola nyata membuahkan hasil kerana The Citizens bermula dengan baik apabila mencatatkan 3 kemenangan dan 1 seri dalam Liga Perdana Inggeris, sekaligus menduduki tempat ke-4 ketika ini.

Guardiola turut berkata musim ini bakal menjadi musim yang lebih mencabar buat Manchester City kerana turun sebagai juara bertahan dan menolak kemungkinan pencapaian 100 mata musim lalu akan diulangi sekali lagi musim ini.

Antara perkara utama yang dilakukan Guardiola bagi memastikan pemain Manchester City tidak berasa selesa adalah memperbaiki kelakuan pemain ketika sesi latihan.

Guardiola telah mengharamkan penggunaan telefon pintar ketika sesi analisis perlawanan dan mesyuarat pasukan di City Football Academy. Walau bagaimanapun, Guardiola masih lagi berhati perut kerana membenarkan pemainnya menggunakan telefon ketika di bilik persalinan.

Bek kiri Manchester City, Benjamin Mendy pernah berjanji untuk tidak menggunakan telefon pintar lagi ketika berada di bilik persalinan selepas ditegur Guardiola kerana meluangkan masa terlampau lama dengan media sosial.

Selain itu, Mendy juga menjadi pemain pertama Manchester City musim ini dikenakan denda selepas tiba lewat untuk sesi latihan pasukan.

Guardiola mahu terus mendominasi bola sepak Inggeris selagi beliau berada di Etihad

Jumlah denda yang perlu dibayar sebelum ini bergantung kepada gaji pemain tersebut tetapi Guardiola menukar sedikit peraturan itu dengan jumlah denda kini ditetapkan pada kadar sama rata.

Selain itu, Guardiola juga dilihat serius untuk memastikan tiada pemainnya berasa terlalu selesa selepas tidak menamakan Leroy Sane dalam skuad Manchester City yang menang ke atas Newcastle United hujung minggu lalu.

Walaupun Guardiola menafikan wujud sebarang masalah antara beliau dengan Sane, beberapa sumber yang dipercayai melaporkan punca sebenar Sane tidak diturunkan bermain adalah kerana pemain tersebut tidak menunjukkan fokus yang baik ketika sesi latihan.

BACA:  Premier League 2019/20: Manchester City 5-0 Burnley