Hazard Tidak Mahu Lukaku Bawa Prestasi Baik Bersama Belgium Ke Manchester United

Pemain antarabangsa Belgium, Eden Hazard dalam nada berjenaka berkata beliau mahu Romelu Lukaku tidak meneruskan prestasi baiknya di peringkat antarabangsa bersama Manchester United.

Penyerang Manchester United itu berjaya menjaringkan dua gol untuk Belgium dalam aksi peringkat kumpulan Nations League untuk menewaskan Switzerland 2-1.

Dengan kemenangan ini, ia telah meletakkan pasukan bimbingan Roberto Martinez berada di kedudukan teratas kumpulan 2 League A.

Lukaku berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua untuk menghantar Belgium ke persada Group 2 League A

Chelsea akan melayan kunjungan Manchester United di Stamford Bridge hujung minggu hadapan dan Hazard meluahkan perasaan risaunya terhadap prestasi yang dipamerkan Lukaku ketika bersama Belgium.

Berikutan prestasi terumbang-ambing Manchester United musim ini, Lukaku antara pemain yang menerima kritikan padu dari pelbagai pihak kerana beliau gagal menjaringkan gol dalam 6 perlawanan terakhirnya bersama United.

Kali terakhir Lukaku berjaya menemui gawang gol adalah ketika mereka menang 2-1 ke atas Watford hampir empat minggu yang lalu.

Menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris antara Chelsea dan Manchester United tidak lama lagi, Hazard dalam nada bergurau berkata beliau tidak gembira melihat Lukaku menemui kembali sentuhannya, terutamanya apabila Chelsea bakal berhadapan ancaman beliau tidak lama lagi.

Hazard tidak mahu Lukaku meneruskan prestasi baik beliau apabila kembali bersama Manchester United

“Romelu Lukaku menunjukkan petanda yang tidak bagus buat kami [Chelsea] dalam perlawanan tadi kerana kami akan berhadapan dengan Manchester United tidak lama lagi.”

“Jika beliau berjaya menjaringkan gol untuk Belgium, itu saya tidak kisah. Tetapi alangkah lebih baik sekiranya beliau tidak menjaringkan gol untuk Manchester United.”

Pengurus Belgium, Roberto Martinez pastinya berterima kasih kepada Lukaku kerana berjaya menyumbang dua gol untuk Belgium dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi, memandangkan Switzerland berjaya menyamakan kedudukan pada suatu ketika menerusi jaringan Mario Gavranovic.

Belgium kini memiliki kelebihan 3 mata di hadapan Switzerland selepas mengharungi 2 perlawanan. Iceland menduduki tempat terakhir kumpulan selepas gagal mengutip sebarang mata.

“Romelu Lukaku merupakan penjaring gol yang sensasi. Statistik jaringan beliau menceritakan segala-galanya.”

“Apa yang telah beliau lakukan di peringkat antarabangsa sepanjang dua tahun ini sudah cukup untuk membuktikan beliau pemain yang hebat. Lukaku merupakan antara penjaring gol terbaik dunia ketika ini.”

“Kemenangan ini sangat memuaskan kerana kami mengharungi perlawanan yang sukar menentang Switzerland.”

“Sudah tentu kami mampu bermain dengan lebih baik tetapi bola sepak juga memerlukan kamu mencari jalan penyelesaian dalam situasi sukar seperti hari ini.”.

BACA:  Senarai Gaji Pemain Utama Chelsea