Henry Sangkal Dakwaan Beliau Nasihatkan Sanchez Supaya Meninggalkan Arsenal

Legenda Arsenal, Thierry Henry menyangkal dakwaan yang beliau pernah menasihatkan Alexis Sanchez supaya berpindah keluar dari Arsenal.

Sanchez sah menjadi pemain Manchester United Isnin lalu dalam perjanjian pertukaran pemain, dengan Arsenal menerima Henrikh Mkhitaryan sebagai ganti.

Berat demo maen tuduh2 gini, Chez

Sebaik sahaja diumumkan secara rasmi menjadi pemain Red Devils yang baru, Sanchez telah megeluarkan kenyataan rasmi dalam laman sosialnya untuk memberikan penghargaan kepada Arsenal dan peminatnya.

Terdapat satu petikan dalam kenyataan tersebut yang agak kontroversi, dimana Sanchez menyatakan beliau ada bercakap dengan Henry mengenai niatnya untuk berpindah. Pihak media kemudiannya membuat spekulasi yang Henry telah menasihatkan Sanchez supaya berpindah keluar dari Arsenal.

Sanchez mendakwa beliau berpindah ke Manchester United kerana sebab yang sama Henry memilih untuk menyertai Barcelona

“Saya masih lagi ingat saya ada bercakap dengan Thierry Henry yang mana beliau adalah pemain ikonik buat Arsenal. Beliau memilih untuk bertukar kelab kerana sebab yang sama dengan saya. Hari ini adalah giliran saya untuk berpindah.”

Tetapi dakwaan tersebut telah disangkal sama sekali oleh Henry hari ini, dan beliau mendakwa tidak memberikan sokongan kepada Sanchez untuk berpindah. Henry berhijrah ke Barcelona pada musim panas 2007 untuk mendakap trofi yang sangat diidamkannya, iaitu Liga Juara-Juara Eropah.

“Saya tahu saya tidak perlu membuat penjelasan kepada majoriti penyokong Arsenal tetapi berkenaan spekulasi yang sedang berlegar ketika ini, saya tidak pernah memberitahu Alexis Sanchez supaya meninggalkan Arsenal.”

“Saya tidak tahu menahu yang Sanchez akan menyertai Manchester United sehinggalah saya melihat berita mengenai perpindahan ini, sama seperti peminat bolasepak yang lain.”

Terbaru, Sanchez sendiri dalam laman sosialnya telah memperbetulkan kekeliruan ini dengan menyatakan Henry tidak pernah menasihatkan beliau supaya berpindah, sambil menyatakan keputusan yang diambilnya lebih bersifat peribadi.

“Saya mahu menjelaskan disini yang Henry tidak pernah memberitahu saya supaya meninggalkan Arsenal. Keputusan saya adalah bersifat peribadi. Henry sayangkan Arsenal dan suatu hari nanti, amat bagus untuk melihat beliau menjadi jurulatih Arsenal kerana beliau sangat sayangkan kelab tersebut.”

BACA:  Van Persie Mendedahkan Lima Pemain United Paling Dikagumi