Hubungan Sulit: Abidal Dan Isteri Turut Disiasat Isu Pemain PSG Yang Diserang

Eric Abidal akan disoal siasat selepas nama beliau dipetik dan dikaitkan dengan insiden serangan ke atas pemain skuad wanita PSG, Kheira Hamraoui.

Hamraoui dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan di tangan dan kaki, kerana diserang oleh dua lelaki bertopeng.

Beliau diserang ketika sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai makan malam bersama kelab yang dianjurkan oleh PSG sendiri.

Rakan sepasukannya, Aminata Diallo merupakan pemandu yang memandu ketika kereta mereka diberhentikan, sebelum dua lelaki bertopeng itu menarik Hamraoui keluar lalu memukulnya.

Diallo kemudiannya ditahan oleh pihak polis kerana disyaki terlibat dalam hal tersebut, namun beliau telah dilepaskan tidak lama selepas itu kerana tiada bukti yang membuktikan beliau bersalah.

Diallo memberikan bahan bukti kepada pihak polis selepas insiden serangan tersebut, dengan beliau mendakwa salah seorang dari dua lelaki bertopeng itu bertanya sesuatu kepada Hamraoui.

“Jadi kamu tidur dengan suami orang?.”

Hamraoui kemudiannya mengesahkan hal tersebut dan ketika itulah nama Eric Abidal disebut sebagai salah seorang tertuduh.

Laporan dari The Times mengesahkan yang Abidal akan disoal siasat oleh pendakwa raya kerana SIM card dalam telefon milik Hamraoui telah didaftarkan atas namanya.

Media Perancis, Le Monde menyifatkan yang berkemungkinan hubungan istimewa antara Abidal dengan penyerang PSG itu menjadi punca insiden ini dan ia mungkin ada kaitan dengan dendam.

Abidal menjalin hubungan sulit dan menyebabkan isterinya cemburu lalu memutuskan untuk menyerang pemain penyerang skuad wanita PSG itu.

Ianya agak mengejutkan ramai pihak. Pendakwaraya Maryvonne Caillibotte memberitahu media pada hari Isnin bahawa lelaki berusia 42 tahun itu akan disoal siasat tidak lama lagi sebagai sebahagian daripada siasatan.

Sumber yang sama memberitahu ESPN bahawa isteri Abidal, Hayet, juga antara individu yang akan disoal siasat oleh polis.

Menurut sumber, polis telah menyiasat kaitan antara Hamraoui dan Abidal semasa siasatan. Abidal adalah pengarah sukan Barcelona ketika Hamraoui menandatangani kontrak untuk juara Sepanyol itu pada 2018.

Abidal dipecat daripada jawatannya di Camp Nou beberapa hari selepas pasukan Barcelona mengalami kekalahan memalukan 8-2 dalam Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich tahun lepas.

Sumber memberitahu ESPN bahawa semasa menyiasat panggilan telefon pemain itu, polis mendapati Hamraoui telah dihubungi oleh Abidal pada pagi dia diserang.

L’Equipe melaporkan yang Hamraoui menerima panggilan dari lelaki misteri yang mengaku sebagai bekas kekasihnya ketika di Barcelona.

Pemain berusia 31 tahun itu menghabiskan masa selama tiga tahun di Nou Camp dari 2018 hingga 2021, dengan pemanggil misteri itu mengatakan kehidupan beliau hancur selepas Hamraoui meninggalkan beliau, dan beliau nekad mahu membalas dendam.

Kisah bagaimana Diallo dituduh sengaja mencederakan Hamraoui kerana mahu berebut tempat dalam skuad utama

Bintang wanita Paris Saint Germain, Aminata Diallo ketika ini sedang dalam penyiasatan pihak polis, selepas beliau dituduh mencuba untuk menyerang rakan sepasukannya, Kheira Hamraoui.

Mengapa beliau sampai sanggup mahu menyerang dan mencederakan rakan sepasukan sendiri?

Beliau sanggup melakukan hal itu hanya kerana mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad, dengan kedua-dua mereka bermain di posisi yang sama.

Bintang yang kini berusia 26 tahun itu merupakan pemain di posisi midfield untuk skuad wanita PSG, dengan beliau turut berkongsi posisi sama dengan Hamraoui yang kini sudah berusia 31 tahun.

Laporan mengejutkan dari media Perancis telah menyatakan yang Diallo mengupah dua lelaki bertopeng untuk menyerang dan mencederakan Hamraoui.

Beliau sanggup mengupah samseng untuk mencederakan rakan sepasukannya itu kerana Diallo mahu berebut tempat dalam kesebelasan utama PSG.

Media Perancis, L’Equipe menyatakan yang dua lelaki bertopeng menarik Hamraoui keluar dari kereta, kemudian beliau telah ditumbuk serta kakinya turut dipukul.

Hamraoui dibelasah teruk pada ketika itu kerana Diallo sememangnya membayar dua lelaki tersebut untuk menyakiti rakan sepasukannya itu agar tercedera dan tidak boleh bermain.

Sebatang besi digunakan oleh dua lelaki bertopeng tersebut untuk memukul kaki Hamraoui, dan jelas sekali untuk mematahkan kakinya agar beliau tidak boleh bermain lagi.

Kejadian yang berlaku pada Khamis lalu itu kini sudah menjadi kes polis dengan Diallo pada ketika ini sedang berada dalam tahanan.

PSG kemudian telah mengeluarkan kenyataan berkait insiden tersebut dengan menyatakan bahawa:

“Paris Saint-Germain mengakui bahawa Aminata Diallo telah direman dalam tahanan polis pagi ini oleh SRPJ Versailles sebagai sebahagian daripada prosiding yang dimulakan berikutan serangan pada petang Khamis lalu terhadap pemain kelab.”

“Paris Saint-Germain mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang dilakukan. Sejak petang Khamis, 4 November, kelab telah mengambil semua langkah yang perlu untuk menjamin kesejahteraan dan keselamatan pemainnya.

“PSG sedang bekerjasama rapat dengan SRPJ Versailles untuk menjelaskan fakta. Kelab itu sedang memberikan perhatian terhadap perkembangan prosiding dan akan mengkaji tindakan yang perlu diambil.”

Sumber menambah bahawa Hamraoui telah dibawa ke hospital selepas serangan itu dan menerima jahitan untuk kecederaan kakinya.

Dia tidak mengalami kecederaan yang mengancam kerjayanya, namun dia tidak dapat membuat penampilan ke-100 untuk kelab menentang Real Madrid dalam Liga Juara-Juara pada hari Selasa.

Diallo menyertai PSG pada 2016 dan menjalani tempoh pinjaman dengan kelab Liga Bola Sepak Wanita Kebangsaan Utah Royals untuk musim 2020.

Semoga saja amalan seperti ini tidak diikuti oleh pemain lain yang sampai sanggup mencederakan rakan sepasukan sendiri hanya kerana mahu mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Kita biasa mendengar pemain akan menyatakan bahawa mereka akan melakukan apa sahaja untuk memenangi tempat di dalam pasukan.

Dan apabila itu berlaku kita tahu pemain itu berusaha bersungguh sungguh, berlatih dan memperbaiki diri mereka. Sama macam yang dilakukan oleh Aaron Ramsdale ketika mula tiba di Arsenal.

Di mana dia berikrar akan cuba merampas slot penjaga gol utama. Dan hasil kegigihannya, dia berjaya.

Bahkan ramai lagi pemain lain yang turut sama pernah melalui hal seperti itu dengan mereka akan berusaha lebih gigih untuk mendapat tempat dalam skuad utama.

Jika gagal juga bersaing, mungkin kerana rakan sepasukannya terlalu hebat, maka eloklah beliau keluar dan pergi sertai pasukan lain, yang lebih memerlukan khidmatnya.

Jadi hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan semoga saja tidak akan berlaku lagi hal-hal seperti ini dalam dunia bola sepak.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Al Hilal Sanggup Bayar €200 Juta Buka Pintu Untuk Mbappe Sertai Real Madrid