Ini Sebab Mengapa Ronaldo Dan Mbappe Begitu Gembira Selepas Tamat Perlawanan Perancis Bertemu Portugal

Kylian Mbappe sememangnya menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai idola beliau sejak dari zaman kanak-kanaknya.

Beliau bersama pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu dilihat ketawa bersama selepas tamat perlawanan antara Portugal bertemu Perancis kemarin.

Bintang Paris Saint Germain itu dilihat menggenggam jersi milik Cristiano Ronaldo, sementara bintang Portugal itu pula menyangkut jersi Kylian Mbappe di atas bahunya ketika mereka berjalan menuju ke bilik persalinan.

Ronaldo ketika tamat aksi babak pertama permainan, beliau telah mengajak Karim Benzema untuk bertukar jersi, dan selepas tamat perlawanan, beliau menukar jersinya dengan Kylian Mbappe.

Bintang berusia 36 tahun itu berjaya menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti ketika aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan F di Budapest kemarin.

Sementara Kylian Mbappe pula, selepas beraksi tiga perlawanan, beliau masih gagal untuk menjaringkan sebarang gol dalam saingan Euro 2020 ini.

Kedua-dua mereka dilihat meluangkan masa bersama ketika tamat perlawanan, dengan Mbappe dilihat benar-benar teruja dapat bertemu dengan idolanya itu.

Ronaldo mempunyai begitu banyak sebab untuk meraikan detik selepas tamat perlawanan itu, jelas sekali beliau berjaya membantu skuadnya untuk mara ke pusingan kalah mati selepas mencatatkan keputusan seri bertemu Perancis.

Beliau juga berjaya menyamai rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman di peringkat antarabangsa, dengan menjaringkan 109 gol untuk menyamai rekod milik Ali Daei.

Beliau kini telah menjaringkan 109 gol dari 178 perlawanan, dan Cristiano Ronaldo masih berpeluang untuk meledak lebih banyak gol, seterusnya mencipta satu lagi sejarah baru.

Mbappe pula jelas gembira dan meraikan detik tersebut sepenuh hatinya walau beliau tidak berada di tahap persembahan terbaiknya dalam perlawanan itu.

Cristiano Ronaldo merupakan idola kepada Mbappe dengan ramai yang beranggapan, bintang Perancis itu akan menggantikan tempat legenda Portugal itu selepas ini.

Bintang berusia 22 tahun itu masih gagal memberikan impak dalam kejohanan ini, seperti yang beliau lakukan ketika edisi Piala Dunia 2018 yang lalu.

Mbappe ketika Piala Dunia 2018, beliau menjadi watak dan nadi penting untuk skuad kendalian Didier Deschamps, dan sering memberi ancaman kepada pasukan lawan.

Beliau jelas diharapkan akan membantu skuadnya untuk memenangi saingan Euro 2020 ini, sama seperti Portugal mengharapkan Cristiano Ronaldo ketika mereka muncul sebagai Juara Euro 2016.

Mbappe pada ketika itu tidak terlibat dengan skuad utama Perancis dalam saingan Euro 2016, jadi beliau masih belum berkesempatan untuk beraksi bertemu idolanya.

Namun begitu, beliau berjaya untuk bertemu dan meluangkan masa dengan idolanya pada tahun 2013 yang lalu, dengan usianya pada ketika itu baru 14 tahun.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa Mbappe begitu teruja ketika bertemu Ronaldo dan begitu gembira ketika bersama dengan idolanya itu.

Ia kerana beliau sememangnya peminat tegar Cristiano Ronaldo sejak dari zaman kanak-kanaknya, dan buktinya, pada beberapa tahun lalu, telah tersebar gambar Mbappe di dalam biliknya, dan dinding di bilik tersebut dipenuhi gambar CR7.

Mbappe turut menjadikan Ronaldo sebagai sumber inspirasi beliau untuk mengejar cita-citanya menjadi pemain bola sepak terhebat dan terkenal.

Tetapi sejauh mana obsesnya beliau mengikut jejak langkah idolanya dalam mencapai cita-cita yang diimpikan?

Pada tahun 2016, ayah kepada Mbappe pernah mendedahkan kepada France Football bahawa anaknya sering menghabiskan masa untuk menonton aksi Cristiano Ronaldo di Internet.

Hasilnya, kini penyerang pasukan Paris Saint Germain itu sudah beraksi ditahap yang sama dengan kesemua idolanya itu.

Dalam satu temu ramah beliau bersama MARCA dua tahun lalu, Mbappe sendiri pernah mendedahkan bertapa berpengaruhnya Ronaldo dalam kariernya ketika remaja.

“Dia adalah wira ketika zaman kanak-kanak saya dan sangat luar biasa apabila saya dapat berjumpa dengannya sekarang.”

“Tetapi saya seorang pesaing dan seorang yang sangat kuat bersaing, dan apa yang saya mahukan hanyalah menang, menang, menang. Jadi saya tidak kira siapa harus saya hadapi janji menang.”

“Saya taksub dengannya ketika remaja, cukup sampai disitu, kini saya beraksi dimana pon saya cuma mahukan kemenangan.”

“Dari seseorang yang pernah menang lima kali Ballon d’or, banyak yang boleh kita pelajari dari dia. Dia seorang pemain yang hebat, tapi saya juga sedang beraksi bersama pemain hebat disini.”

“Neymar disini dan saya yakin dan pasti dia sebenarnya sama hebat seperti Ronaldo. Edinson Cavani juga banyak mengajar saya sebagai seorang penyerang.”

Jelas sekali, Mbappe sendiri mengakui yang Cristiano Ronaldo sangat berpengaruh dalam membantu beliau untuk terus berkembang dan membangun dalam dunia bola sepak.

Jadi tidak hairanlah untuk melihat mengapa kedua-dua mereka begitu teruja dan gembira ketika tamat perlawanan yang berkesudahan dengan seri 2-2 itu.

Si legenda gembira kerana membantu skuadnya mara ke pusingan kalah mati, sementara calon legenda pula teruja dan terpegun kerana dapat bersama idolanya.

BACA:  Lihat Aksi Ronaldo Mengambil Sepakan Percuma Paling Teruk Dalam Kariernya