Lihat Aksi Ronaldo Mengambil Sepakan Percuma Paling Teruk Dalam Kariernya

Bintang sensasi Juventus, Cristiano Ronaldo masih belum benar-benar mendapatkan rentak permainan sebenar beliau sejak kembali beraksi selepas saingan bola sepak digantung.

Pemain kebangsaan Portugal itu gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi menentang AC Milan bagi perlawanan separuh akhir Coppa Italia.

Beliau juga bermain dengan sangat teruk dan hambar dalam perlawanan tersebut sehingga ada yang mengatakan beliau beraksi seperti ikan yang tidak dapat air.

Para peminat mengkritik beliau kerana melihat dirinya seperti belum bersedia dan masih kaku selepas Ronaldo terlepas banyak peluang keemasan dan seolah sudah lupa bagaimana cara untuk menanduk bola.

Apa yang menyedihkan untuk Cristiano Ronaldo adalah beliau gagal untuk menyumbangkan sesuatu buat pasukan sehingga ke perlawanan akhir Coppa Italia.

Selain dari mempamerkan satu lagi aksi hambar ketika perlawanan akhir, Cristiano Ronaldo turut dikecam peminat kerana mementingkan diri dalam penentuan sepakan penalti menentang Napoli.

Ronaldo memilih untuk menjadi pengambil sepakan penalti yang kelima untuk pasukan dan mahu menjadi wira kemenangan tetapi sebaliknya beliau hanya mampu melihat Dybala dan Danilo gagal menyempurnakan penalti tanpa beliau sempat untuk melakukan tendangan.

Walau bagaimanapun, Ronaldo berpeluang untuk membuktikan kemampuan sebenar beliau dan mempraktikkan latihan dirumahnya ketika lockdown apabila kembali beraksi untuk Juventus dalam saingan Serie A.

Beliau mahu melupakan perlawanan yang teruk seperti aksi bertemu Milan dan Napoli dalam Coppa Italia dan mahu mempamerkan aksi sebenar ketika bertemu Bologna untuk perlawanan Serie A.

Ronaldo berjaya untuk kembali menjadi penjaring untuk pasukan apabila berjaya menyempurnakan tendangan penalti untuk Juventus mendahului 1-0 sebelum Dybala menambah jaringan bagi kemenangan untuk the old ladies dengan keputusan 2-0.

Jadi itu bukanlah perkara yang menarik untuk dibahaskan tentang Ronaldo walaupun jaringan tersebut merupakan gol ke-22 beliau untuk saingan liga musim ini. Apa yang hendak dibincangkan adalah tentang set pieces dari pemenang lima kali gelaran Ballon d’or itu.

Ia tidak keterlaluan untuk mengatakan Ronaldo agak sukar untuk mendapatkan skill sepakan percuma yang beliau miliki sebelum ini sejak bersama Juventus dan beliau lebih kerap mengambil tendangan percuma berbanding Dybala dan Miralem Pjanic di sana.

Walau kerap mengambil sepakan percuma untuk pasukan, Ronaldo sehingga kini masih tidak berjaya untuk menjaringkan sebarang gol dari sepakan percuma untuk Juventus.

Bahkan beliau gagal untuk menjaringkan gol melalui sepakan percuma sejak dari Disember 2017 lagi. Beliau telah melakukan salah satu sepakan percuma terburuk dalam kariernya ketika perlawanan menentang Bologna yang lalu.

Saksikan video bagaimana teruknya tendangan percuma yang diambil oleh Cristiano Ronaldo di bawah ini:

Beliau bukan sahaja terlihat gelojoh dan tergesa-gesa untuk menendang bola tersebut, bahkan bola yang ditendang juga seperti tidak ada arah tujunya.

Secara jujurnya, melihat Cristiano Ronaldo mengambil sepakan percuma seperti itu sudah bukan lagi satu hal yang mengejutkan, beliau seperti sudah hilang keupayaan yang dimiliki oleh nya sebelum ini sehingga digelar salah seorang pakar sepakan percuma.

Kemarau Cristiano Ronaldo untuk menjaringkan gol melalui sepakan percuma sudah berlanjutan sehingga lebih dari 920 hari.

Walaupun beliau masih menjadi antara penjaring terbanyak dalam pentas bola sepak Eropah, namun Ronaldo yang dikenali sebagai seorang yang sangat mahir dalam menjaringkan gol dari sepakan percuma sudah tidak ada lagi.

Beliau masih mempunyai gaya gelecekan yang mantap, penyudah yang berbisa, lompatan yang tinggi, kelajuan yang mengagumkan, namun Ronaldo sepertinya sudah hilang sentuhan tajam beliau dalam mengambil sepakan percuma.

BACA:  Cristiano Ronaldo Tidak Menyesal Keluarkan Kenyataan Mahu Tinggalkan Real Madrid