Ini Yang Cristiano Ronaldo Beritahu Pemain Serbia Ketika Mereka Sedang Berpesta Rai Kemenangan

Cristiano Ronaldo ungkit semula tentang gol jaringan beliau yang dirompak ketika aksi pertemuan bertemu Serbia sebelum ini, selepas kekalahan Portugal di tangan The Balkan baru-baru ini.

Portugal dikejutkan dengan kekalahan 2-1 di tangan Serbia baru-baru ini dalam aksi kelayakan Piala Dunia zon Eropah, seterusnya menyebabkan mereka gagal untuk layak secara automatik.

Hujung minggu lalu, skuad Serbia berpesta di Portugal selepas kejayaan mereka menewaskan Portugal, seterusnya melayakkan diri secara automatik untuk beraksi di pentas Piala Dunia.

Dusan Tadic dan Aleksandar Mitrovic berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini, untuk menghantar Portugal beraksi di pusingan play-off.

Ia secara tidak langsung mengesahkan kedudukan juara kumpulan A untuk Serbia yang sudah menjamin tempat untuk mereka di Qatar tahun hadapan.

Portugal akan beraksi di pusingan play-off dengan kekalahan di tangan Serbia benar-benar beri impak untuk anak-anak buah Fernando Santos itu.

Ketua pasukan dan penjaring terbanyak sepanjang zaman, Cristiano Ronaldo antara yang paling terkesan, dengan beliau bahkan turut menitiskan air mata selepas wisel penamat dibunyikan.

Menurut Santos, Ronaldo telah mengingatkan para pemain Serbia tentang gol kemenangan jaringan beliau yang dirompak oleh pengadil perlawanan pada Mac lalu.

Bola percubaan dari Cristiano Ronaldo pada ketika itu sudah melepasi garisan gol, namun pengadil perlawanan menolak untuk mengesahkan gol tersebut.

β€œIa langsung tak masuk akal.”

Jelas Santos kepada TVI.

β€œKetika perlawanan sudah tamat, kekecewaan itu memang sangat teruk.”

β€œJika ia untuk Portugal, bayangkan untuk pemain dan staff. Para pemain berada di atas padang.”

β€œSaya masuk ke padang untuk beri sokongan dan tenangkan para pemain, dia (Ronaldo) beritahu pemain Serbia, β€˜Kamu tak akan ketawa jika gol yang saya jaringkan tidak dibatalkan’. Apa yang saya cuba sampaikan adalah untuk meminta mereka bertenang.”

Ronaldo mengungkit semula kisah gol beliau yang dibatalkan dan merasakan itu punca mengapa Portugal tak dapat layak secara automatik ke Qatar.

Pada Mac lalu, Ronaldo berfikir yang beliau sudah berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk bantu Portugal mencatatkan kemenangan 3-2 menewaskan Serbia.

Bola percubaan Cristiano Ronaldo sudah melepasi garisan sebelum dikeluarkan oleh Stefan Mitrovic, namun kerana tiada penggunaan VAR, maka gol itu tidak diberikan.

Seandainya ia dikira, Portugal sudah layak ke Qatar secara automatik sejak sebelum sepak mula pertemuan kedua bertemu Serbia lagi.

Ronaldo sangat marah dengan keputusan itu dengan beliau turut meninggalkan padang sebelum wisel penamat dibunyikan lagi.

Beliau turut mencabut dan mencapakkan armband kapten miliknya sebelum kembali ke bilik persalinan dengan perasaan yang sangat marah.

Ronaldo dikecam kerana mensia-siakan peluang jaringkan gol penyamaan

Jika Ronaldo bising mengungkit gol jaringannya yang tidak dikira ketika pertemuan pertama kedua-dua pasukan, para penyokong Portugal pula tidak henti-henti menghentam beliau kerana mensia-siakan peluang untuk jaringkan gol penyamaan.

Ronaldo berpeluang untuk menjaringkan gol atau setidak-tidaknya membuka ruang kepada rakan sepasukannya untuk meledak gol, namun beliau memilih untuk mensia-siakan peluang yang hadir di minit-minit akhir permainan dalam perlawanan tersebut.

Pada minit ke-92 permainan, Cristiano Ronaldo berpeluang untuk menyamakan kedudukan, selepas beliau menerima bola umpanan cantik dari Cancelo di kawasan D Serbia.

Bintang Manchester United itu mendada bola terlebih dahulu, sebelum beliau melepaskan volley padu yang tidak sepatutnya dilakukan.

Sentuhan pertama beliau tidak dinafikan sememangnya sungguh cantik dan kemas, namun sayangnya berbanding mengawal bola terlebih dahulu, beliau lebih memilih untuk melepaskan rembatan yang sia-sia.

Bola rembatan Ronaldo jauh tersasar dan langsung tidak memberi ancaman ke gawang gol Serbia dan tindakan beliau itu mengundang kemarahan netizen Portugal.

Para peminat mempertikaikan tindakan Cristiano Ronaldo itu dan menganggap beliau merosakkan permainan dan bertanggungjawab atas kekalahan tersebut.

Serbia mengakhiri aksi saingan kumpulan A dengan mengumpul 20 mata, selepas skuad kendalian Dragan Stojkovic itu mencatatkan enam kemenangan dari lapan perlawanan peringkat kelayakan.

Portugal yang menamatkan aksi peringkat kumpulan dikedudukan kedua pula akan terpaksa untuk beraksi di pusingan play-off dalam usaha mereka untuk layak beraksi di pentas Piala Dunia Qatar.

Serbia kini menyertai Jerman, Denmark, Brazil, Belgium, Perancis, Croatia, Sepanyol dan Qatar yang sudah mengesahkan tempat untuk mereka layak beraksi dalam saingan Piala Dunia 2022.

Dan walaupun Portugal masih berpeluang untuk melayakkan diri mereka menerusi pusingan play-off, namun gol jaringan Mitrovic sudah cukup untuk memberi tamparan hebat untuk mereka.

Skuad kendalian Fernando Santos itu akan bermain di halaman mereka sendiri untuk aksi peringkat separuh akhir pusingan play-off, namun laluan untuk mereka layak bukanlah mudah.

Tiada istilah mudah apabila masuk ke aksi penentuan untuk melayakkan diri ke saingan Piala Dunia kerana setiap pasukan yang bertanding akan bermati-matian untuk layak.

Piala Dunia Qatar merupakan edisi terakhir untuk Cristiano Ronaldo membuat kemunculan dalam pertandingan terbesar dalam dunia bola sepak itu.

Ronaldo akan berusia 41 tahun ketika Piala Dunia 2026 nanti dan ia agak mustahil untuk melihat beliau masih beraksi, dan tentunya Piala Dunia Qatar bakal jadi medan terakhir untuk beliau cipta sejarah bersama negaranya yang tercinta.

Laluan mereka di pusingan play-off juga bukan mudah dan kini Portugal perlu memberikan segalanya untuk mencatatkan kemenangan, dan melayakkan diri mereka beraksi di pentas Piala Dunia tahun hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:Β  Pesanan Terakhir Cristiano Ronaldo Kepada Thibaut Courtois