Jese Rodriguez Mendapat Medal Walau Beraksi 1 Minit Untuk PSG

Penyerang Paris Saint Germain, Jese Rodriguez telah menerima pingat kejuaraan saingan liga Ligue 1 selepas saingan musim ini ditamatkan dan PSG ditabalkan Juara.

Apa yang menariknya adalah, beliau hanya pernah beraksi satu minit sahaja sepanjang musim ini untuk PSG sebelum meninggalkan pasukan pada Ogos lalu.

Rodriguez menyertai PSG dari Real Madrid pada tahun 2016 dengan nilai perpindahan €25 juta. Sepanjang berada di Paris, beliau gagal untuk mendapat tempat dalam skuad utama.

Oleh itu, Rodriguez telah dipinjamkan ke Sporting pada 2 September tahun lalu dan tempoh pinjamannya sudah berakhir Mac yang lalu.

Sebelum dipinjamkan ke Sporting, iaitu pada bulan Ogos tahun lalu, pemain Sepanyol itu telah turun beraksi untuk PSG menentang Metz.

Beliau dimasukkan pada minit ke-90 perlawanan menggantikan Eric Maxim Choupo Moting dan merasa untuk turun beraksi selama satu minit.

Jika dalam saingan premier league, seseorang pemain itu harus beraksi sekurang-kurangnya lima perlawanan untuk melayakkan beliau untuk menerima kalungan pingat kejuaraan.

Tetapi tidak untuk peraturan di Ligue 1, LFP menetapkan mana-mana pemain yang beraksi walau satu minit mereka layak untuk dikalungkan pingat kejuaraan.

Jadi selepas saingan Ligue 1 ditamatkan, pasukan kendalian Thomas Tuchel’s telah ditabalkan sebagai Juara, dan Rodriguez juga berjaya mendapat pingat hasil usaha beliau bermain satu minit untuk PSG.

Apa yang menariknya lagi adalah, ini bukan kali pertama Rodriguez mendapatkan medal kejuaraan liga kerana beraksi dalam satu perlawanan sahaja.

Pada musim 2011/12, beliau berjaya mendapatkan medal kejuaraan La Liga bersama Real Madrid dibawah kendalian Jose Mourinho.

Jika di PSG beliau beraksi satu minit untuk mendapatkan medal, Rodriguez beraksi lebih lama lagi ketika bersama Real Madrid dengan beraksi selama 10 minit.

Rodriguez ketika itu masuk menggantikan Cristiano Ronaldo di 10 minit terakhir perlawanan ketika Real Madrid membenam Real Sociedad dengan keputusan 5-1 pada Mac 2012.

Real Madrid pada ketika itu berjaya memecahkan dominasi pasukan Barcelona dalam saingan La liga apabila mereka berjaya untuk muncul Juara dalam saingan La Liga di musim tersebut.

Maka Rodriguez turut berjaya untuk mendapatkan medal kejuaraan selelas beliau turut beraksi dalam satu perlawanan dalam musim berkenaan.

Pemain Sepanyol itu turut memenangi dua medal liga Juara-juara tanpa bermain walau satu minit untuk pasukan Los Blancos pada tahun 2014 dan 2016.

Beliau awalnya merupakan prospek masa depan untuk Real Madrid ekoran dari aksi mantap yang beliau tunjukkan dalam kejohanan Euro bawah 19 dan membantu Sepanyol muncul Juara buat kali kedua berturut-turut.

Pemain berusia 27 tahun itu turut berjaya memenangi anugerah kasut emas dalam kejohanan yang sama.

Beliau telah membuat 94 penampilan untuk Real Madrid dalam semua pertandingan dan berjaya menjaringkan 18 gol sepanjang kariernya disana.

Rodriguez menyertai PSG pada tahun 2016 dan telah membuat 18 penampilan bersama pasukan serta menjaringkan dua gol sepanjang kariernya di Paris.

Sepanjang kariernya di Paris Saint Germain, Rodriguez telah dipinjamkan ke Las Palmas, Stoke City, Real Betis dan Sporting.

Saingan Ligue 1 dan Ligue 2 telah ditamatkan awal minggu lalu selepas Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe mengumumkan tiada acara sukan yang akan dibenarkan sehingga September nanti.

PSG ditabalkan Juara selepas mendahului saingan liga dengan kelebihan 12 mata dihadapan. Toulon dan Amiens pula menjadi dua pasukan yang telah disingkirkan dari saingan Ligue 1 musim hadapan.

BACA:  Mbappe Tak Kisah 'Cuti-Cuti' Di PSG Dan Tolak Tawaran Lumayan Arab Saudi