Ji-Sung Merayu Agar Fans United Berhenti Chanting Lagu Tentangnya

Legenda Manchester United, Park Ji-Sung menggesa para penyokong setan merah agar berhenti chanting lagu tentangnya kerana ia mengandungi unsur perkauman dan penghinaan.

Permintaan dari Park Ji-Sung itu sepertinya disokong kuat oleh pimpinan kelab dengan Manchester United turut meminta para penyokong agar menghormati permintaan legenda kelab itu.

Lirik dalam lagu tersebut sebenarnya menceritakan tentang orang Korea Selatan yang memakan daging anjing dan para penyokong sering chanting lagu tersebut ketika karier Ji-Sung di Old Trafford dahulu.

Walau bagaimanapun, pada awal musim ini, ketika Wolves bertemu Manchester United, mereka telah memperkenalkan pemain terbaru mereka, Hwang Hee-Chan.

Chanting tersebut jelas didengari di dalam stadium, dengan para peminat menyanyikan lagu itu sebaik nama Hwang Hee-Chan diperkenalkan.

Ji-Sung tidak dinafikan lagi sememangnya antara legenda terhebat sepanjang zaman dari benua Asia yang berjaya mencipta nama di pentas dunia bola sepak.

Beliau bolehlah dianggap pemain pertama dari rantau Asia yang berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan pemain-pemain terhebat dalam dunia bola sepak.

Bekas pemain Korea Selatan itu merupakan pemain paling disayangi dan digemari oleh para peminat di Old Trafford ketika zaman Sir Alex Ferguson.

Nama beliau semakin mencanak pada tahun 2005 hingga 2012 dengan Ji-Sung menjadi antara nadi penting dalam sistem kendalian Sir Alex Ferguson.

Seperti kebiasaannya, mana-mana pemain yang menjadi pujaan peminat, mereka akan menerima layanan yang lebih istimewa berbanding pemain lain.

Kerana Ji-Sung dianggap antara pemain kesayangan peminat, maka para penyokong setan merah mula mencipta lagu khas untuknya, dan sentiasa chanting lagu tersebut ketika beliau turun beraksi.

Park Ji-Sung turut mengakui yang beliau sebenarnya sangat suka lagu tersebut, dan ia seperti memberi semangat serta tenaga tambahan untuknya.

Namun begitu, beliau turut menegaskan yang lagu tersebut sepertinya sudah tidak sesuai untuk dinyanyikan pada era sekarang, kerana penerimaan generasi baru terhadap lirik dalam lagu tersebut sudah berbeza.

Beliau sendiri secara peribadi sudah tidak selesa dengan lagu tersebut pada ketika ini, kerana memikirkan tentang sensiviti masyarakat dari negaranya.

Dalam lagu tersebut juga, terdapat lirik yang jelas mengutuk para penyokong Liverpool, dan ia sudah lama tidak dinyanyikan oleh para penyokong selepas Ji-Sung bersara.

Walau bagaimanapun, ketika aksi Wolves bertemu Manchester United di Molineux baru-baru ini, para penyokong setan merah kembali chanting lagu tersebut, dan menujukannya pada Hwang Hee-Chan.

Hwang Hee-Chan merupakan pemain dari pasukan RB Leipzig dan beliau menyertai Wolves pada jendela perpindahan musim panas ini sebagai pemain pinjaman.

Memandangkan Hee-Chan juga berasal dari Korea Selatan, maka Ji-Sung merasa terkilan dan sedih kerana rakan senegaranya itu terpaksa mendengar lirik-lirik yang ada dalam lagu itu.

Dek kerana Ji-Sung mempunyai nama yang besar di Old Trafford, beliau merayu kepada para penyokong supaya tidak lagi menyanyikan lagu tersebut kerana ia bakal menyinggung perasaan masyarakat Korea.

Dalam temu bualnya baru-baru ini, Ji-Sung telah mendedahkan tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh lagu tersebut dan mengapa ia dianggap satu penghinaan untuk orang Korea Selatan.

“Di Korea, banyak perkara yang sudah berubah.”

Jelas beliau kepada UTD podcast.

“Memang betul dalam sejarah kami ada memakan daging anjing, tapi hari ini, terutama sekali untuk generasi muda, mereka benar-benar membencinya. Budaya itu sudah berubah.”

“Saya benar-benar minta maaf untuk dia (Hwang Hee-Chan) kerana terpaksa mendengar itu. Saya tahu penyokong United tidak bermaksud untuk menyinggung dia dengan lagu itu, tapi saya masih tetap perlu beritahu penyokong supaya berhenti guna perkataan makan anjing, yang mana pada ketika ini ia merupakan satu hinaan berunsur perkauman untuk orang Korea.”

“Kata-kata itu sangat menyinggung perasaan orang Korea, dan saya rasa sangat kasihan kepada pemain muda yang mendengar lagu-lagu seperti itu.”

Selepas mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak pada tahun 2014 yang lalu, Park Ji-Sung telah dilantik untuk menjadi duta Manchester United.

Park Ji-Sung berjaya membantu setan merah menjuarai empat gelaran Premier League dan turut pernah menjulang kejuaraan Champions League bersama Man United ketika kariernya di Old Trafford.

Beliau dianggap sebagai salah seorang pemain midfield paling versatile dalam sejarah kelab, dengan Ji-Sung boleh berfungsi dengan sangat baik walau di mana beliau diletakkan.

Selain dianggap sebagai legenda kelab, Park Ji-Sung turut diangkat menjadi wira kebanggaan Korea Selatan, dengan beliau pernah membuat lebih dari 100 penampilan untuk skuad kebangsaannya.

Beliau juga turut berjaya menjaringkan 13 gol untuk skuad kebangsaan Korea Selatan, dan Park Ji-Sung juga sebenarnya pernah beraksi dalam tiga edisi Piala Dunia yang berbeza.

“Saya sangat berharap agar penyokong berhenti menyanyi lagu itu.”

Tambah Park Ji-Sung lagi.

“Kerana ia akan membuatkan orang Korea rasa tidak selesa kerana mendengar lagu itu. Jadi ini masanya untuk berhenti menyanyikannya.”

Manchester United sendiri telah mengeluarkan kenyataan mereka dalam menyokong permintaan dari Park Ji-Sung itu, dengan menyatakan:

“Manchester United sepenuhnya menyokong komen Ji-Sung dan menggesa peminat untuk menghormati permintaan dia.”

Penghinaan berunsur perkauman bukan hanya tentang warna kulit, dan seperti yang Didakwa oleh Ji-Sung, para penyokong mungkin tidak faham tentang maksud sebalik lirik itu, dan kerana itulah beliau tampil untuk menjelaskannya.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Temu Bual Penuh Semangat Solskjaer Bukti Beliau Paling Layak Kendalikan Manchester United