Kane Pamer Ketajaman Yang Beliau Miliki Ketika Sesi Latihan Menjelang Pertemuan Bertemu Jerman

Harry Kane sepertinya semakin bersemangat dan yakin untuk beraksi dalam pertemuan bertemu Jerman di pusingan 16 terbaik nanti.

Bintang sensasi Tottenham Hotspur itu jelas dianggap sebagai salah seorang penyerang terhebat dunia pada ketika ini.

Beliau merupakan peledak utama untuk Tottenham Hotspur dan juga untuk skuad kebangsaan England dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun, beliau masih gagal untuk menjaringkan sebarang gol di kejohanan Euro 2020 ini dan tidak bermain selama 90 minit dalam dua dari tiga aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Beliau telah dikeluarkan ketika aksi bertemu Croatia dan Scotland sebelum ini kerana tidak memberi impak yang diharapkan oleh Southgate.

Namun begitu, walaupun Kane masih gagal untuk menjaringkan sebarang gol untuk skuad kebangsaan England, beliau tentunya akan diturunkan dalam kesebelasan utama bertemu Jerman nanti.

Beliau bakal menjadi nadi penting dan pemain harapan untuk England menewaskan Jerman seterusnya mara ke peringkat suku akhir.

Pemain berusia 27 tahun itu terdesak untuk mengakhiri kemarau gol dalam saingan European Championship dengan beliau ketika ini sedang gigih menjalani latihan untuk mendapatkan penyudah tajamnya semula.

Beliau baru-baru ini dilihat sedang menjalani sesi latihan untuk memantapkan penyudahnya bersama skuad kebangsaan England.

Beliau dilihat sangat bertenaga dan lebih yakin dengan menunjukkan penyudahnya yang semakin mantap dan tajam itu.

Kane memuat naik rakaman beliau menjalani sesi latihan tersebut di media sosial miliknya dan dalam video tersebut, beliau dilihat berjaya menyumbat bola masuk ke gawang gol sebanyak tiga kali dengan gaya yang cukup menakjubkan.

Percubaan pertamanya, beliau menimbang bola dua tiga kali sebelum melepaskan volley yang cukup cantik untuk menewaskan penjaga gol.

Dua lagi percubaan yang beliau lakukan, Kane memulakan gerakan dengan melakukan gelecekan sebelum melepaskan rembatan padu mencari sudut tepi gawang gol.

Untuk menjadikan aksi latihan itu semakin menakjubkan, Kane meledak gol ketiganya dengan menggunakan ‘weaker foot’ beliau iaitu kaki kirinya.

Beliau jelas dilihat begitu yakin dan bersemangat serta para peminat yakin Kane sudah menemui sentuhan penyudahnya menjelang aksi pertemuan bertemu Jerman nanti.

Tidak dinafikan beliau memang benar-benar bersemangat dan andai beliau berjaya menjaringkan gol ketika hari perlawanan nanti, Kane jelas akan menutup mulut pengkritik yang mengkritik aksi beliau sepanjang kejohanan ini.

Kane bahkan turut ditanya tentang apa yang beliau rasakan terhadap mereka-mereka yang tidak henti meragui dan mengkritiknya sepanjang kejohanan ini.

Jawapan yang diberikan oleh ketua pasukan England itu sungguh klasik dan menakjubkan dengan beliau menyatakan:

“Ia jelas sekali ini bukan kali pertama orang meragui saya dalam karier saya, itu sudah sangat pasti.”

Jelas Kane menurut Guardian.

“Itu adalah salah satu hal terpenting dalam sukan ini. Saya sebelum ini lagi pernah cakap yang seorang penyerang perlu lalui detik cemerlang yang mana kamu terus menjaringkan gol dan setiap kali kamu menyentuh bola kamu akan hasilkan jaringan.”

“Dan ada ketika semuanya tidak akan berpihak kepada kamu, dan seperti itu yang sedang berlaku dalam pertandingan ini sekarang.”

“Orang memang sangat cepat berubah fikiran mereka. Ia tidak lama sebelum ini ketika saya memenangi kasut emas dan saya merupakan yang terhebat di dunia, semua orang teruja dengan saya.”

“Kamu tak boleh berada terlalu tinggi atau terlalu rendah, kamu kena sentiasa dalam keadaan natural. Yakin diri adalah hal terpenting dan saya selalu percaya pada diri saya. Saya boleh harungi 10 ke 15 perlawanan tanpa menjaringkan gol, tapi sekali saya ada kesempatan saya akan pastikan ia berakhir dengan jaringan.”

Pertembungan antara England dan Jerman di pusingan 16 terbaik ini merupakan antara aksi perlawanan yang paling dinanti-nantikan oleh para peminat.

Kedua-dua pasukan walau sudah mara ke pusingan kalah mati, namun mereka sebenarnya masih belum mendapatkan rentak persembahan yang konsisten.

England di peringkat kumpulan mencatatkan dua kemenangan dan satu keputusan seri, dengan mereka berjaya memastikan gawang gol mereka tidak dibolosi, namun hanya berjaya menjaringkan dua gol sahaja.

Sementara Jerman pula di peringkat kumpulan mereka mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dengan berjaya menjaringkan enam gol dan bolos tiga.

Kedua-dua mereka juga merupakan pasukan pilihan yang mungkin bakal beraksi dalam perlawanan akhir nanti, dan mungkin akan mengakhiri saingan Euro 2020 sebagai Juara.

Sekiranya England atau Jerman berjaya mara ke peringkat suku akhir, mereka selepas ini akan berdepan dengan pemenang antara Sweden bertemu Ukraine.

BACA:  Kane: England Bakal Berhadapan Ujian Sebenar Apabila Bertemu Colombia