Kemalasan Van Dijk Punca Pulisic Berjaya Jaringkan Gol Penyamaan

Virgil Van Dijk dianggap pemalas selepas melihat cara bagaimana beliau bertahan ketika Christian Pulisic menjaringkan gol penyamaan untuk Chelsea.

Pulisic berjaya menyempurnakan hantaran cantik dari N’Golo Kante beberapa minit sebelum tamat aksi babak pertama untuk mengikat Liverpool 2-2 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stamford Bridge itu.

Liverpool terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-9 permainan menerusi Sadio Mane sebelum Mo Salah menggandakan kedudukan pada minit ke-25.

Mateo Kovacic kemudiannya menjaringkan gol yang sungguh cantik dan menakjubkan untuk mengubah kedudukan menjadi 2-1.

Christian Pulisic meledak gol kedua untuk bantu Chelsea melakukan comeback seterusnya mengubah kedudukan menjadi 2-2.

Walau bagaimanapun, Van Dijk telah dihentam teruk oleh para peminat di media sosial selepas beliau dianggap terlalu pemalas untuk menggagalkan percubaan dari Pulisic.

Ketika Pulisic sedang bergerak masuk ke kotak penalti, Van Dijk dikatakan sekadar berlari anak untuk kembali ke arah gawang golnya, berbanding meluru ke arah bintang Chelsea itu untuk memintasnya.

“Apa yang Van Dijk lakukan? Saya macam tak percaya dia boleh buka ruang selesa untuk benarkan Pulisic masuk dan melepaskan rembatan.”

“Bagi saya Van Dijk macam tak beri sepenuh perhatian dalam perlawanan ini, dia boleh halang Pulisic tapi dia pilih untuk mengundur.”

“Apa sebenarnya yang Van Dijk lakukan itu? Saya sangat kecewa melihat persembahan dia, ini bukan aksi terbaik yang boleh dia persembahkan.”

“Adakah Van Dijk masih belum cergas sepenuhnya? Dia jarang lakukan kesilapan mudah seperti ini, kalau dia tak malas, Chelsea tidak akan berjaya jaringkan gol penyamaan.”

“Seseorang tolong beritahu saya yang Van Dijk tidak jogging ketika pemain lawan sedang melakukan serangan. Apa yang dia fikirkan?”

Legenda Liverpool, Graeme Souness turut meluahkan rasa tidak gembira beliau melihat persembahan Van Dijk dengan beliau menyatakan bahawa:

“Kenapa Van Dijk tidak masuk memintas di sana?”

Jelas Souness di Sky Sports.

“Dia cuma berlari anak untuk terus kebelakang masuk ke kawasan gawang gol dia.”

“Berundur, berundur, berundur, dia bahkan langsung tak memecut.”

Jimmy Floyd Hasselbaink kemudiannya menyampuk dengan menyatakan:

“Ia pemalas bukan?”

Legenda Manchester United, Gary Neville kemudiannya menyatakan yang Van Dijk nampak tak selesa, sementara Jamie Carragher pula beliau turut meluahkan rasa kesal melihat garisan terlalu tinggi yang dibina oleh barisan pertahanan Liverpool.

Highlights Premier League: Chelsea 2-2 Liverpool

Skuad kendalian Thomas Tuchel melayan kunjungan Liverpool ke bumi Stamford Bridge awal pagi ini untuk aksi dalam saingan Premier League.

Liverpool terpaksa turun tanpa pengurus kelab dan beberapa pemain utama termasuk Alisson Becker, Roberto Firmino dan Joel Matip yang sebelum ini disahkan positif C0V-19.

Pep Lijnders dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan skuad The Reds hari ini untuk berdepan skuad Chelsea yang sedang berada di kedudukan kedua dalam carta saingan liga pada ketika ini.

Thomas Tuchel turut bergelut dengan masalah kecederaan pemain, dan mereka juga turut mengetepikan Romelu Lukaku dari perlawanan ini.

Lima minit pertama dalam perlawanan ini, Liverpool dilihat begitu bernafsu dalam melancarkan beberapa siri serangan ke kubu Chelsea.

Skuad The Blues juga turut sesekali berjaya untuk melakukan serangan balas namun mereka gagal untuk mencipta percubaan merbahaya.

Pada minit ke-9, Sadio Mane berjaya membuka tirai jaringan untuk skuad Liverpool, selepas beliau cemerlang memanfaatkan kesilapan yang dilakukan oleh Trevoh Chalobah.

Diogo Jota menghantar bola cantik dari tengah padang mencari Mane yang sedang berada di dalam kotak penalti, dengan bola hantaran beliau rendah sahaja melepasi Chalobah yang gagal untuk mengeluarkan bola tersebut.

Chalobah yang sepatutnya boleh mengeluarkan bola atau menghalang bola tersebut menggunakan kaki, lebih memilih untuk menggunakan kepala, dengan beliau sampai terbaring cuba untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bola terlepas darinya dan tepat menemui Sadio Mane yang kemudiannya melepaskan rembatan padu untuk menewaskan Edouard Mendy.

Liverpool kemudiannya memiliki beberapa kesempatan emas untuk menghasilkan gol namun sering digagalkan oleh Chelsea dan mereka turut kerap berada dalam kedudukan offside.

Pada minit ke-26, Liverpool berjaya menggandakan kedudukan selepas Mohamed Salah meledak gol padu dari dalam kotak penalti.

Salah menerima bola hantaran cantik dari Trent Alexander Arnold dengan beliau kemudiannya berjaya melepasi kawalan Marcos Alonso untuk masuk ke dalam kotak penalti.

Alonso boleh dipersalahkan kerana gagal mengawal Salah dan berada di belakang pemain Mesir itu, sebelum penyerang Liverpool itu melepaskan rembatan padu menewaskan Mendy.

Gol yang sangat berkualiti dan cukup cantik dari Salah untuk bantu Liverpool mendahului permainan dengan keputusan 2-0.

Chelsea kemudiannya mula mendapatkan rentak persembahan terbaik mereka dalam perlawanan ini dan terus menerus melancarkan serangan ke kubu Liverpool.

Hasilnya, pada minit ke-42 permainan, Chelsea berjaya menjaringkan gol pertama mereka, seterusnya mengubah kedudukan menjadi 2-1.

Mateo Kovacic menjaringkan gol volley yang sungguh luar biasa cantik selepas beliau menerima bola muntah hasil dari sepakan percuma yang ditumbuk oleh Kelleher.

Ia merupakan gol yang sangat jahat dan tidak dinafikan ketenangan yang sungguh luar biasa sangat diperlukan untuk menghasilkan gol seperti itu.

Sebelum tamat aksi babak pertama, Christian Pulisic berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk Chelsea mengikat Liverpool 2-2.

Beliau menerima bola umpanan yang cukup cantik dari N’Golo Kante, sebelum melepaskan rembatan padu yang terlalu sukar untuk diselamatkan oleh Kelleher.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan seri 2-2 dan kedua-dua pasukan tentunya bakal melakukan sesuatu untuk cari gol kemenangan pada aksi babak kedua permainan nanti.

Babak kedua bermula dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun Chelsea dilihat sedikit dominan.

Tidak ada percubaan merbahaya atau yang benar-benar berpotensi untuk menghasilkan gol yang berjaya dilakukan oleh para pemain kedua-dua pasukan.

90 minit berakhir dengan kedudukan masih lagi terikat 2-2 dan pengadil perlawanan telah memberikan tambahan masa selama empat minit.

Wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan menandakan berakhirnya perlawanan ini dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati sekadar mengutip satu mata sahaja.

Manchester City merupakan pasukan yang paling gembira dengan keputusan ini dengan mereka kini semakin selesa memimpin carta saingan Premier League.

Mereka kini 10 mata mengatasi Chelsea yang berada di kedudukan kedua, dan 11 mata di hadapan Liverpool yang sedang berada di kedudukan ketiga.

Liverpool walau bagaimanapun masih mempunyai kelebihan satu perlawanan yang belum dimainkan, dan seandainya mereka memenangi perlawanan itu, maka setidak-tidaknya mereka akan mampu mengatasi Chelsea dan merapatkan sedikit jurang mata dengan Man City.

Chelsea (3-4-2-1):

Mendy, Chalobah (Jorginho 70), Thiago Silva, Rudiger, Azpilicueta, Kante, Kovacic, Alonso, Mount, Havertz (Hudson-Odoi 79), Pulisic

Pemain simpanan: Arrizabalaga, , Saul, Barkley, Ziyech, Sarr, Vale, Hall

Penjaring gol: Kovacic 42, Pulisic 45+1

Kad kuning: Pulisic

Liverpool (4-3-3):

Kelleher, Alexander-Arnold, Van Dijk, Konate, Tsimikas, Henderson, Fabinho, Milner (Keita 70), Salah, Jota (Oxlade-Chamberlain 69), Mane (Jones 90)

Pemain simpanan: Gomez, Adrian, Beck, Williams, Morton, Marcelo

Penjaring gol: Mane 9, Salah 26

Kad kuning: Mane, Konate

Pengadil: Anthony Taylor (Cheshire)

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ramalan Redknapp Pada 2018 Van Dijk Bakal Bawa Liverpool Ke Tahap Lebih Tinggi Tenyata Benar