Kerana Sayangkan Harry Kane, Tottenham Sanggup Dapatkan Harry Maguire

Kerana mahukan Harry Kane untuk terus kekal bersama mereka, Tottenham Hotspur kini dikatakan sanggup untuk mendapatkan pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire.

Ini kerana kedua-dua pemain itu mempunyai hubungan baik sesama mereka yang terjalin ketika tugasan bersama skuad England.

Maguire dibenarkan oleh Man United untuk meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas ini.

Dan perkembangan tersebut dilihat sebagai peluang terbaik oleh pengurus baharu Tottenham, Ange Postecoglou untuk mendapatkan pemain pertahanan tengah England itu.

Postecoglou yang baru dilantik oleh Spurs setelah sebelum ini bergelar pengendali Celtic dilaporkan oleh Daily Mail sedang mempertimbangkan secara serius untuk mendapatkan khidmat Maguire.

Maguire sentiasa menjadi watak ‘kambing hitam’ di Old Trafford – kerana aksi semberono dan kesilapan mudah yang sentiasa menghukum pasukan itu sendiri.

Walaupun pemain itu sebelum ini sentiasa melaungkan keyakinan terhadap kemampuan dirinyan dan mahu terus kekal bersama United, Erik ten Hag pula tidak melihat pemain itu berada di dalam perancangannya dan sanggup menjual pemain antarabangsa England itu.

Postecoglou yang menandatangani kontrak 4 tahun bersama Spurs baru-baru ini pula akan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk menentukan perpindahan pemain.

Dengan keadaan bahagian pertahanan Spurs yang perlu diperkuatkan untuk saingan musim hadapan, pengurus dari Australia itu kini mengalihkan tumpuannya kepada Maguire sebagai pemain pertama untuk dibawa masuk pada jendela perpindahan akan datang.

Kem Spurs turut percaya hubungan baik di antara Maguire dan Kane akan membantu kelab itu mengekalkan penyerang England itu yang kini memiliki baki kontrak selama setahun.

Kane kini sedang diintai rapat oleh Real Madrid dan Manchester United sendiri.

BACA:  Europa League 2019/20 Separuh Akhir: Sevilla 2-1 Manchester United