Tahukah anda, suatu sama dahulu ketika penentuan sepakan penalti belum diperkenalkan, pemenang perlawanan ditentukan menerusi lambungan duit syiling? Hasil daripada lambungan duit syiling ini jugalah membantu Itali menjuarai satu-satunya Euro dalam sejarah bola sepak mereka.
***
53 tahun lalu…
Itali turun ke padang dengan harapan yang tinggi dalam perlawanan menentang Soviet Union. Bermain di laman sendiri sebagai penganjur Euro 1968, Itali berharap mampu menggembirakan rakyat jelata yang memenuhi stadium.
Perlawanan menentang Soviet bukanlah mudah, apatah lagi pasukan gergasi Eropah tersebut telah menunjukkan jalan keluar buat mereka dalam kempen Piala Dunia 1966 dan juga Euro edisi 1964.
Harapan rakyat Itali bagaikan dipermudahkan apabila tonggak utama Soviet, sang penyerang Igor Chislenko dan pertahanan kental Murtaz Khurtsilava tidak dapat diturunkan dek kecederaan. Pun begitu, kerisauan masih dirasa apakah skuad Azzuri mampu muncul pemenang dalam perlawanan di Naples tersebut, lantas layak ke perlawanan akhir?
Kerisauan ini bertambah apabila perancang utama Gianni Rivera mengalami kecederaan pada awal perlawanan, dan terpaksa meninggalkan padang. Memandangkan ketika itu undang-undang masih tidak membenarkan pertukaran pemain, maka Itali terpaksa berhempas pulas menentang gergasi dengan 10 orang sahaja.
Perlawanan berlangsung dengan rentak perlahan kerana kedua-dua pasukan mengambil langkah berjaga-jaga. Sehingga wisel penamat dibunyikan, tiada pasukan yang berjaya menjaringkan gol, lantas mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Menambah debaran di dada penyokong, Itali kehilangan seorang lagi pemain apabila Giancarlo Bercellino mengalami kecederaan dan tidak mampu meneruskan perlawanan. Ini memaksa jurulatih, Feruccio Valcareggi mengubah formasi demi mempertahankan gol daripada dibolosi.
Menentang sembilan pemain, Soviet mendominasi perlawanan, tetapi tidak mampi memecah kebuntuan. Ketika perlawanan hampir menuju ke penamat, Angelo Domenghini hampir pasti menjadi wira Itali, namun cubaannya sekadar hinggap ke tiang gol.
Tertunduk kecewa para penyokong di stadium.
Tidak lama kemudian, pengadil meniup wisel penamat! Perlawanan berakhir seri tanpa jaringan.
Kapten kedua-dua pasukan dipanggil pengadil ke bilik persalinan untuk sesi lambungan syiling. 70,000 insan di stadium menunggu dengan penuh gusar.
Di dalam bilik persalinan, pengadil meletakkan syiling dengan kemas di antara ibu jari dan jari telunjuk, sambil tangan satu lagi menunjuk kepada kapten Itali, Giacinto Facchetti untuk membuat penentuan.
“Ekor!” pilih Facchetti.
Syiling kemudiannya melambung tinggi, berpusing-pusing di udara. Suasana di bilik persalinan sunyi, seluruh stadium sepi, berdebar menantikan sisi syiling yang manakah yang akan mendongak langit. Lantas beberapa minit kemudian…
Facchetti berjalan keluar dari terowong bilik persalinan. Diam sahaja kapten Itali itu. Seluruh stadium berasakan nasib tidak menyebelahi mereka. Nafas mereka bagaikan terhenti.
Namun suasana berubah apabila Facchetti mengangkat tangan ke udara! Sorakan padu menyusul menjadikan suasana di stadium gegak gempita. Para penyokong berpelukan, menangis kegembiraan. Ada yang melompat, membaling topi ke udara.
Mereka gembira!
Akhirnya Itali berjaya menewaskan Soviet dalam kejohanan utama! Yang lebih manisnya, pasukan Azzuri layak ke perlawanan akhir Euro di laman sendiri!
Beberapa hari kemudian, perlawanan akhir berlangsung di Rom. Perlawanan menentang Yugoslavia ini bukanlah mudah kerana mereka juga merupakan kuasa bola sepak Eropah ketika itu.
Penyerang Yugoslavia, Dragan Dzajic menjaringkan gol pendahuluan beberapa minit sebelum waktu rehat separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, Yugoslavia melakukan beberapa percubaan namun mereka dikecewakan penjaga gol lagenda, Dino Zoff.
Selepas lama memegang perlawanan, akhirnya gol negara Balkan tersebut dibolosi juga. Pemain sayap, Angelo Domenghini menyamakan kedudukan pada minit ke-80, lantas membawa perlawanan ke masa tambahan, yang mana tiada gol berjaya dihasilkan.
Keadaan ini memaksa perlawanan dimainkan semula pada hari lain.
Kali ini, Valcareggi melakukan lima pertukaran, dengan salah seorangnya, Luigi Riva, dipanggil semula ke kesebelasan utama.
Pertaruhan ini ternyata berbaloi apabila Riva menjaringkan gol pertama dalam perlawanan ulangan tersebut. Gol kedua daripada Pietro Anastasi terus memastikan piala Kejohanan Eropah disimpan di bumi Itali.
***
Italy and Russia's previous meeting at the Euros was a 2-1 win for Italy in Liverpool at Euro 96.
The USSR meanwhile defeated Italy at Euro 88 with a 1-0 win. #RUSITA https://t.co/pe4VpGVJt1 #STUEFAEuro2020 pic.twitter.com/AbvU8ZXmrP
— Stuart 🏴🇪🇺 (@stvstheworld) July 4, 2020
Itu cerita zaman dulu. Zaman Pak Kaduk gadai tanah dia laga ayam bukan kepunyaannya cerita zaman sekarang kau yang guna duit orang pabila pecah tembelang, lari lintang pukang kau tak mampu bayar sekupang pang pang alakazam pok amai amai belalang kupu-kupu!
Walaupun penentuan sepakan penalti sudah mula diperkenalkan di arena bola sepak sebelum tahun 1968, tetapi tidak digunapakai secara meluas lagi pada waktu tu. Hanya pada tahun 1970, barulah badan bola sepak antarabangsa mula menggunakan sepakan penalti sebagai penentu kemenangan dalam perlawanan yang seri.
Perlawanan akhir Euro yang pertama mengapplikasikan kaedah penentuan sepakan penalti adalah pada tahun 1976, di antara Czechoslovakia dan Jerman Barat.
Selepas perlawanan terikat seri, kedua-dua pasukan memilih penentuan sepakan penalti berbanding perlawanan ulangan dan ketika inilah detik lahirnya sepakan penalti lagenda, daripada Antonin Panenka.
Dia dengan bersahaja chip bola tatkala penjaga gol Jerman Barat sudah melompat ke tepi, membawa kejuaraan kepada pasukan yang kini sudah berpecah kepada dua negara – Republik Czech dan Slovakia.
Sebelum itu, perlawanan akhir yang berkeputusan seri akan dimainkan semula pada tarikh yang lain. Selalunya, pemenang akan diketahui sebaik sahaja wisel penamat ditiup.
Namun ada juga perlawanan yang terpaksa dimainkan sehingga tiga kali. Pada tahun 1954, Sepanyol menewaskan Turki 4-2 dalam perlawanan dua pusingan untuk kelayakan ke Piala Dunia, di mana mereka menang dan tewas dalam kedua-dua pusingan.
Akan tetapi, memandangkan kaedah aggregat ini belum digunapakai pada waktu itu, kedua-dua pasukan dikira terikat 1-1 – seperti set dalam perlawanan badminton, lantas terpaksa dibawa ke perlawanan ketiga.
Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 2-2, namun selepas balingan syiling dilakukan, Turki muncul pemenang.
10 tahun kemudian, Liverpool dan Cologne bermain dalam dua pusingan perlawanan suku akhir Piala Eropah, sebelum perlawanan ketiga dimainkan di Amsterdam yang berkesudahan seri 2-2.
Selepas wisel penamat dibunyikan, kapten Ron Yeats, membuat pilihan yang tepat ketika sesi lambungan syiling, lantas membawa pasukannya layak ke separuh akhir menentang Inter Milan.
Cerita diolah dari : GMS