Kisah Sebenar Mengapa Karim Benzema Pakai Pembalut Tangan

Pemain penyerang Real Madrid, Karim Benzema merupakan pemenang mutlak Anugerah Ballon d’Or 2022 tanpa sebarang syak wasangka lagi lantaran kecemerlangannya untuk musim 2021/22.

Namun, di sebalik aksi mantapnya di atas padang, mungkin ramai yang tertanya kenapa Benzema yang lebih mesra dipanggil Encik Karim ini sering memakai pembalut tangan?

Adakah dia menyimpan susuk tulang ikan di sebalik balutan tersebut? Atau dia sekadar menutup kayap ular di pergelangan lengannya?

Sebelum Benzema, beberapa bintang lain turut mengenakan pembalut tangan seperti itu juga. Contohnya dua legenda Real Madrid, Jose Antonio Camacho dan Chendo, turut memakai pembalut tangan.

Ini membuatkan penyokong menjadi lebih tertanya-tanya, adakah Benzema mengamalkan tradisi turun temurun?

Tidak.

Sejarah pembalut tangan Benzema ini sebenarnya bermula pada tahun 2019. Pada tanggal 13 Januari tahun tersebut, penyerang Perancis ini telah berlanggar dengan pertahanan Real Betis, Marc Bartra dalam perlawanan La Liga.

Terlepas satu perlawanan – menentang Leganes dalam kempen Copa Del Rey, Benzema terus turun ke padang dalam perlawanan berikutnya menentang Sevilla dan kali ini, dia memakai pembalut tangan demi keselamatan.

Dia kemudiannya terus menjaringkan enam gol dalam empat perlawanan dan balutan di tangannya itu dilihat mampu meningkatkan prestasinya umpama tangkal ajaib.

Malah keraian golnya juga turut melibatkan pembalut tangan tersebut.

Pada musim panas selepas tamatnya musim 2018-19, Benzema telah menjalani pembedahan di tangannya tetapi dia terlalu tergesa-gesa di fasa rehabilitasi sekaligus menyebabkan kecederaan di jarinya tidak sembuh dengan sempurna.

Sejak itu, Benzema terus bermain dengan kecederaan dan terpaksa membalut tangan serta jarinya dengan ketat.

Sejak kecederaan dalam perlawanan menentang Betis tersebut, Benzema telah berjaya menjaringkan lebih 40 gol.

Dalam satu sidang media sebelum perlawnaan Liga Juara-Juara UEFA peringkat kumpulan pada bulan Oktober 2021, Benzema mendedahkan dia masih perlu memakai pembalut tangan itu.

“Aku dah jalani pembedahan, tapi bila kau jalani pembedahan kau kena rehat selama dua bulan,” ujarnya.

“Jari aku ni cedera balik sebenarnya tapi aku tak ada masa untuk berhenti dan jalani satu lagi pembedahan. Jadi, aku pakai la pembalut tangan semasa bermain.”

Untuk rekod, musim 2021-22 adalah musim yang paling cemerlang buat Benzema sepanjang menyarung jersi Real Madrid sejak menyertainya pada tahun 2009.

Dalam 44 perlawanan pemain ini diturunkan, hanya tiga perlawanan sahaja dia tidak menjadi kapten. Daripada jumlah perlawanan tersebut, Benzema telah menjaringkan 44 gol serta merekodkan 15 assist.

Dengan kata lain, Benzema terlibat secara langsung dalam 59 gol Real Madrid pada musim tersebut!

Lantaran itulah kenapa Benzema diangkat sebagai pemenang Ballon d’Or 2022 tanpa mampu dicabar atau disangkal oleh pemain lain dengan trofi Eropah dan domestik dalam genggaman.

Antara perlawanan yang paling diingati ramai adalah bila mana dia mencatatkan hatrik dalam perlawanan pusingan kedua peringkat 16-pasukan Liga Juara-Juara UEFA menentang kelab Qatar, Paris Saint Germain.

Dalam pusingan pertama, Paris Saint Germain memenangi perlawanan hasil jaringan tunggal anak emas pasukan, Kylian Mbappe pada hujung perlawanan.

Pun begitu, Benzema dan rakan sepasukan tidak menyerah kalah dan dalam perlawanan kedua di Santiago Bernabeu, taring sebenar Los Blancos mula ditunjukkan.

Mbappe sekali lagi menjadi duri dalam daging Real Madrid apabila dia menjaringkan gol pada minit ke-39. Pada separuh masa kedua, Real Madrid bangkit dan wira mereka, Benzema, mencatatkan hatrik dalam masa 17 minit.

Untuk muncul juara, Karim Benzema telah memimpin Real Madrid menewaskan Chelsea, Manchester City dan Liverpool di final dengan beberapa aksi kebangkitan luat biasa di pamerkan.

Ternyata sejak Karim memakai pembalut tangan, aksinya sekemas dan sepadu balutan tersebut di atas padang.

BACA:  Kylian Mbappe Menerima Standing Ovation Dari Penyokong Real Madrid