Legenda Liverpool Percaya Gol Jaringan Ronaldo Tak Jamin Masa Depan Solskjaer

Menurut legenda Liverpool, John Barnes, gol jaringan Cristiano Ronaldo tidak akan menyelamatkan kerjaya Ole Gunnar Solskjaer bersama Manchester United.

Bekas pemain sayap England itu percaya yang aksi tidak konsisten Solskjaer akan menyebabkan masa depan beliau bersama kelab akan terjejas.

Ole Gunnar Solskjaer sangat diharapkan untuk membantu United memenangi Piala pertama mereka pada musim ini, selepas pihak kelab mengeluarkan belanja besar untuk menambah baik skuadnya pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Manchester United berjaya melengkapkan penandatanganan Jadon Sancho, Raphael Varane dan Cristiano Ronaldo pada musim panas lalu, dalam usaha mereka untuk memperkuat skuad sedia ada.

Walau bagaimanapun, pengurus dari Norway itu sepertinya tidak memanfaatkan skuad terbaik yang beliau miliki ketika ini, dan menyebabkan ramai pihak meminta untuk beliau dipecat.

Ronaldo sementara itu terus menerus membuktikan beliau pemain terpenting kelab pada ketika ini, dengan beliau menjadi peledak utama kelab sepanjang musim ini.

Pemain kebangsaan Portugal itu beberapa kali menyelamatkan Solskjaer dari berdepan dengan kritikan teruk kerana gagal mendapatkan keputusan yang baik.

Beliau setakat ini sudah berjaya menjaringkan sembilan gol dari 11 penampilan dalam semua pertandingan, dan turut beberapa kali menjaringkan gol penting untuk bantu United mengelak dari kekalahan.

Bercakap kepada Bonus Code Bets, John Barnes menyatakan yang Solskjaer tidak boleh terus bergantung kepada Cristiano Ronaldo untuk selamatkan dirinya.

“Dia berikan mereka sedikit harapan, tapi saya tak rasa Ronaldo terus jaringkan gol akan selamatkan Ole kalau mereka tak menang. Mereka perlu mula konsisten dalam persembahan.”

“Ronaldo tak akan terus berusaha untuk selamatkan karier Solskjaer, dan dia juga mungkin tak mahu Solskjaer dipecat. Persoalan untuk Ole sekarang adalah tahap konsistensi dia.”

Ole Gunnar Solskjaer memberikan pujian menggunung kepada Cristiano Ronaldo

Aksi hebat yang Cristiano Ronaldo pamerkan sepanjang musim ini telah menyebabkan beliau mendapat pujian yang menggunung dari pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer.

Pengurus dari Norway itu menyamakan Ronaldo seperti Michael Jordan selepas bintang Portugal itu berjaya menjaringkan gol dan mencatatkan assists ketika beraksi bertemu Tottenham Hotspur sebelum ini.

“Kita semua ada peranan dan tanggungjawab masing-masing. Sudah tentu Cristiano merupakan ketua dalam skuad ini tapi itulah apa yang sering dia lakukan, dia menjaringkan gol.”

“Kami tidak gembira bolos dua gol, tapi dia berjaya cipta detik-detik itu dan saya yakin Chicago Bulls juga gembira memiliki Michael Jordan.”

“Bagi saya, Cristiano Ronaldo semakin bagus dan ia kebaikan untuk kami. Dia juga semakin gembira. Kamu tahu dia tidak menikmati pra musim yang sempurna, sekarang dia semakin selesa dan dia bersemangat untuk lakukan lebih baik.”

Manchester United pada ketika ini berada di kedudukan kelima dalam carta liga dengan mengumpul 17 mata, tiga mata dibelakang West Ham yang berada di kedudukan keempat.

Setan merah selepas ini bakal turun beraksi bertemu Manchester City pada hujung minggu ini, dan perlawanan tersebut juga dianggap penentu masa depan Solskjaer.

Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini diberikan kesempatan untuk buktikan sesuatu dari tiga perlawanan United selepas dari kekalahan memalukan bertemu Liverpool di Old Trafford.

Beliau akan dinilai berdasarkan keputusan perlawanan bertemu Tottenham Hotspur, Atalanta dan Manchester City pada hujung minggu ini.

Setan merah berjaya menewaskan Tottenham Hotspur 3-0 dan mereka kemudiannya mencatatkan keputusan seri 2-2 bertemu Atalanta dalam saingan Champions League.

Pertembungan bertemu Manchester City bakal jadi penentu untuk masa hadapan Solskjaer, sama ada beliau akan terus diberi kepercayaan atau beliau bakal dipecat.

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Detik 'Romantik' Cristiano Ronaldo an Karim Benzema, Mengingatkan Peminat Kepada Reus dan Lewandoswki