Lihat Jaringan Padu Cristiano Ronaldo Dari Jarak Jauh

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol yang cukup padu dari jarak jauh untuk membantu Juventus menewaskan Genoa 3-1 dalam perlawanan Serie A awal pagi tadi.

Juventus kini mendahului Lazio empat mata sebagai pendahulu saingan liga dan dengan kemenangan tersebut, mereka semakin hampir untuk menjuarai liga buat kali kesembilan berturut-turut.

Pemenang lima kali gelaran Ballon d’or itu mungkin lebih dikenali sebagai penjaring yang hebat berbanding menjaringkan gol yang luar biasa hebat sejak kebelakangan ini.

Tetapi dalam perlawanan pada awal pagi tadi, beliau membuktikan bahawa dirinya masih lagi salah seorang pemain yang mampu untuk menjaringkan gol yang sungguh cantik.

Dalam kemenangan 3-1 menewaskan Genoa, bekas bintang Real Madrid itu menerima bola dari garis tengah padang, lalu membawa bola tersebut kearah kawasan pertahanan Genoa.

Beliau mengawal bola dengan baik sebelum melepaskan rembatan yang sungguh padu dari jarak jauh dan berjaya untuk menewaskan penjaga gawang Genoa.

Bola rembatan Ronaldo sungguh padu hingga bergegar gawang gol Genoa dikerjakannya. Para pemain pertahanan sertan penjaga gol Genoa turut terpaku melihat kepaduan bola tersebut.

Malam yang gemilang untuk Cristiano Ronaldo selepas sebelum ini beliau dikecam oleh peminat kerana sering menunjukkan prestasi tidak menentu dan tidak lagi mempamerkan ketajaman seperti dirinya dahulu.

Selain gol dari Cristiano Ronaldo, perlawanan pada awal pagi tadi sememangnya milik para pemain Juventus apabila ketiga-tiga gol mereka terhasil dari gerakan yang sungguh mengagumkan.

Paulo Dybala membuka tirai jaringan pada minit ke-50 selepas menari-nari menggelecek beberapa orang pertahanan lawan sebelum melencongkan bola melepasi penjaga gol di sudut sebelah kiri gawang gol.

Gol padu dari Cristiano Ronaldo merupakan jaringan kedua untuk Juventus dan enam minit selepas itu giliran Douglas Costa pula menjaringkan gol yang sungguh cantik untuk the old lady’s.

Pemain kebangsaan Brazil itu melencongkan bola dari jarak jauh dengan kemas dan sungguh menakjubkan.

Genoa akhirnya berjaya juga untuk mendapatkan jaringan saguhati selepas Andrea Pinamonti melepaskan rembatan padu menerjah gawang gol Juventus.

Kemenangan Juventus membawa mereka terus menerajui saingan liga dengan kelebihan empat mata mengatasi pesaing terdekat, Lazio.

Berbaki sembilan perlawanan, Juventus semakin hampir untuk menjulang kejuaraan saingan liga kesembilan untuk mereka secara berturut-turut.

Bagi Genoa sendiri pula, mereka kini berkedudukan satu tempat sahaja dari zon penyingkiran dan mereka harus menang lima dari sembilan baki perlawanan untuk kekal di Serie A musim hadapan.

BACA:  Ronaldo Merayu Kepada Penyokong Iran Supaya Tidak Membuat Bising Kerana Ingin Tidur