Maguire Jalani Latihan Berintensiti Tinggi 3 Sesi Sehari, Nekad Kekalkan Tempat Bersama MU

Harry Maguire dilaporkan telah membulatkan tekad untuk terus memenangi tempat di dalam skuad Manchester United dan untuk berbuat demikian pemain pertahanan termahal dunia itu kini sedang menjalani latihan berintensiti tinggi dalam cuaca panas di Portugal.

Untuk menjayakan hasrat tersebut, Maguire turut mendapatkan bantuan pemain legenda Chelsea dan Portugal, Ricardo Carvalho yang membantu menyusun jadual latihan sebanyak tiga kali sehari.

Di dalam diam di sebalik perkhabaran dirinya sudah tidak diperlukan di Old Trafford dan akan dijual, Maguire sudah mengikuti program latihan yang diaturkan khas untuknya itu selama tiga minggu.

Pemain pertahanan England itu hanya melakukan lapan penampilan sebagai pemain kesebelasan utama bersama United di Premier Leagu pada musim lalu.

Maguire setakat ini juga dikatakan masih lagi belum berbincang dengan Erik ten Hag mengenai masa depannya di kelab itu.

Menurut Fabrizio Romano United sudah pun memulakan latihan pra musim di Carrington bersama Ten Hag, namun tanpa kehadiran Maguire yang sedang fokus berlatih sendirian di Portugal.

Maguire kini sudah tidak mempunyai pilihan lain melainkan kembali meyakinkan Ten Hag untuk terus kekal di Old Trafford – setelah turut dikhabarkan akan dilucutkan peranan kapten pasukan dan diberikan kepada Bruno Fernandes.

Carvalho nyata bukan calang-calang mentor buat Maguire. Bekas pemain pertahanan itu pernah menjuarai Champions League, Euro, dan tiga kejuaraan Premier League ketika masih bergelar pemain.

Carvalho turut pernah memenangi Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik UEFA pada musim 2003/04.

Sudah tentu Maguire berharap sentuhan selama tiga minggu bersama Carvalho ini mampu mengembalikan prestasi lamanya untuk meyakinkan Ten Hag selepas ini.

BACA:  Sheikh Jassim Mahu Solskjaer Kembali Ke Old Trafford Jika Berjaya Ambil Alih Man Utd