Man Utd Bakal Buat Kejutan Bida Penyerang Dari Asia?

Mungkin kerana bosan dengan tuntutan tidak masuk akal oleh kelab untuk pemain yang disasarkan, Manchester United kini mulai mensasarkan penyerang antarabangsa Iran, Mehdi Taremi.

Penyerang Porto itu kini berusia 31 tahun, namun sehingga musim lalu masih mengekalkan prestasi baiknya bersama pasukan itu.

Mempunyai baki kontrak setahun bersama Porto, Taremi konsisten menghasilkan lebih daripada 20 gol sejak empat musim lalu di Portugal.

Musim lalu adalah musim paling prolifik buat pemain itu apabila beliau menjaringkan 31 gol daripada 51 perlawanan di semua pertandingan. Ini termasuklah lima gol yang dihasilkannya daripada 7 penampilan Champions League.

Penyerang Iran itu dilihat mempunyai kualiti penyudah yang pelbagai kerana mempunyai kekuatan menggunakan kedua-dua belah kaki selain kemampuan menggunakan tandukan untuk menghasilkan jaringan.

United melihat Taremi sebagai pilihan yang lebih murah tetapi tetap mempunyai kualiti yang mereka inginkan daripada seorang penyerang.

Selain daripada inflasi pada nilai pemain, jumlah bajet yang terhad diberikan kepada Erik ten Hag pada jendela perpindahan kali ini bermakna Taremi adalah sasaran yang lebih realistik.

Dua penyerang sasaran utama United, Harry Kane dan Victor Osimhem kedua-duanya diletakkan pada nilai di atas €100 juta.

Menurut laporan Sky Sports, United turut menawarkan €35 juta untuk mendapatkan Rasmus Hohlund tetapi ia ditolak oleh Atalanta. Kelab Serie A itu kemudiannya menuntut €45 juta untuk melepaskan penyerang Denmark itu.

Ini bukan kali pertama Taremi dikaitkan dengan perpindahan ke Premier League. Sebelum ini penyerang yang dianggap antara paling berbisa di Asia ini pernah mendapat tawaran untuk menyertai Newcastle pada permulaan musim 2021/22.

Tawaran tersebut bagaimanapun ditolak kerana Taremi dikatakan tidak yakin dengan projek yang dilakukan oleh kelab itu di St. James’ Park.

Erik ten Hag juga dikatakan kagum dengan kualiti dimiliki Taremi, dan telah mengikuti perkembangan pemain itu sejak sekian lama.

BACA:  Harry Maguire Tolak Barcelona Kerana Mahu Berjaya Bersama Man United