Manchester United Lancarkan Jersi Baru Musim 2021-22, Peminat Dakwa Kelab Tiru Jersi Dream League Soccer

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim lalu menamatkan saingan liga di tangga kedua di belakang jiran setempat, Manchester City, sekaligus menambahkan lagi tempoh kemarau piala liga sejak Pak Alex meninggalkan pasukan pada tahun 2013.

Sejak ketiadaan pengurus lagenda tersebut, musim lalu menyaksikan United paling hampir dengan kejuaraan di mana mereka dipisahkan sebanyak 12 mata dengan juara liga. Malah pada bulan Januari, para penyokong United di seluruh dunia kelihatan begitu yakin selepas pasukan mereka ditabalkan juara liga dua minggu.

Dalam usaha mereka untuk kembali menjadi satu pasukan yang waras di EPL, United telah melancarkan jersi musim baharu nanti dengan mengambil inspirasi jersi retro, ketika kelab tersebut diwakili oleh Bobby Charlton dan juga George Best.

Dengan menggunakan kapsyen Past Meet Present, jersi tersebut menampilan warna tradisi mereka – merah si syaitan durjana, dan mengenakan kolar bulat atau dalam bahasa mudahnya, round neck.

Jersi baharu ini juga menampilkan logo penaja yang baru di bahagian depan jersi di mana syarikat IT, Teamviewer ditampilkan dan menggantikan syarikat kereta, Chevrolet.

Sebelum ini para penykong pasukan tersebut telah merungut bahawa logo syarikat pembuat kereta itu terlalu menyerlah dan menggunakan warna mereka sendiri, berbanding penaja di masa lalu yang lebih menggunakan warna putih di jersi pasukan.

Logo tersebut membuatkan para penyokong yang manja terkesan dan mengatakan jersi mereka jatuh dalam kategori buruk.

Dengan penaja baru, Teamviewer dengan relanya meninggalkan warna asal korporat logo mereka, biru, dan menggunakan warna putih sekaligus membuatkannya lebih sesuai dengan jersi.

Para penyokong United pastinya berharap pengumuman selepas ini bukan lagi berkenaan jersi, sebaliknya tentang pemain baru terutamanya Raphael Varane, selepas mereka berjaya mengikat pemain England yang gagal menjaringkan penentuan sepakan penalti, Jadon Sancho.

Walaupun jersi baru mereka ini tampak menarik dengan adunan klasik dan kontemporari, ada peminat mendakwa bahawa jersi ini seakan tangkap muat dan mengambil inspirasi daripada permainan video bola sepak di telefon pintar, Dream League Soccer.

Dream League Soccer adalah permainan video bola sepak yang menggunakan nama dan watak sebenar pemain, selain menggunakan pasukan yang betul. Selepas memuatnaik dan memasang permainan ini, para pemain diberikan satu set pemain yang entah apa-apa dan diberikan pilihan untuk memilih seorang pemain bintang.

Pemain akan mendapat duit atau coin permainan ini sekiranya berjaya memenangi perlawanan. Dengan pertambahan coin, pemain boleh membeli pemain-pemain bertaraf bintang yang lain seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Syamir Kutty Abba. Pada masa yang sama, pemain juga boleh menaiktaraf pemain yang sedia ada dengan latihan-latihan yang diberikan.

Tapi memandangkan permainan ini direka oleh manusia, maka ia mempunyai kekurangannya di mana pemain boleh menggodam sistem dan membolehkan mereka mempunyai coin yang begitu banyak.

Selepas disemak, ternyata rekaan jersi ini mirip sekali dengan jersi template Dream League Soccer.

Jersi template Dream League Soccer

Gambar di bawah pula menunjukkan evolusi wajah Messi dalam menyarung jersi Dream League Soccer

Berikut adalah antara komen peminat kelab yang dah lama mendap ini.

Eric Ifeanchukwu Silver, seorang peminat mungkin dari Afrika, menghantar komen dengan mengatakan bahawa jersi mereka berubah daripada Zebra FC ke Dream League FC.

Manakala Yash De Yahya pula sekadar menulis ,”JERSI DREAM LEAGUE” dan meletakkan gambar kapten pasukan, Harry Maguire, memakai jersi baharu ini.

Jadi apa pendapat penyokong United di Malaysia sekalian? Adakah perlu untuk wujudkan satu petisyen membantah rekaan jersi baharu ini?

Korang komen ya nanti.

Sumber : Facebook Manchester United, Dream League Soccer, sportBIBLE

BACA:  Ibu Maguire Terkilan Cemuhan Melampau Diterima Anaknya