Manchester United Terus Cemerlang di Dalam Jelajah Pra-Musim

Kelab yang tampil serba baru untuk musim baru, Manchester United, meneruskan rentak cemerlang mereka dalam jelajah pra-musim apabila merekodkan kemenangan ke atas seteru liga, Crystal Palace, di Australia.

Terdahulu, kelab Syaitan Merah ini telah membelasah Liverpool dan Melbourne City dengan empat jaringan dan kali ini mereka masih lagi dalam mood untuk menjaringkan gol apabila Anthony Martial, Marcus Rashford dan Jadon Sancho muncul dalam senarai penjaring.

Tambahan pula, Palace yang dikendalikan oleh Patrick Vieira, boleh dikatakan tampil dengan pasukan yang lemah dalam siri pra musim kali ini apabila beberapa pemain utama mereka tidak turut serta dalam jelajah ke Asia Pasifik ini, manakala Erik Ten Hag membariskan pasukan terkuat yang dia ada.

Ten Hag melakukan perubahan minima dalam kesebelasan utama dalam perlawanan ini berbanding ketika menentang Melbourne tempoh hari.

David De Gea kekal menjadi penjaga gol dan posisi pertahanan tengah diisi oleh kapten marvel legenda Harry Maguire dan Victor Lindelof.

Pemain baharu, Tyrell Malacia, buat petama kalinya diletakkan di kesebelasan utama selepas beraksi dari bangku simpanan sebelum ini, dan Diogo Dalot mengekalkan tempatnya sebagai bek kanan pasukan.

Gandingan Scott McTominay dan Fred masih lagi menjadi pilihan pengurus walaupun sudah ditukar kepada orang lain, sambil bahagian serangan dipacu oleh Bruno Fernandes.

Melengkapkan pemain serangan adalah Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Anthony Martial.

Perlawanan didominasi United dari awal yang dilihat bemain dengan mementingkan posession dan build up dari bawah.

Pada minit ke-17, Malacia melakukan hantaran lintang di depan kotak penalti ke arah Dalot yang berada di hujung sebelah kanan padang. Dalot mengawal bola dengan baik lalu melakukan hantaran kepada Martial yang berada hampir dengan kotak 6 ela.

Sebaik bola sampai ke hadapannya, Martial mendada dan mengawal bola dengan baik sebelum menolak bola dengan tenang masuk ke dalam gol pasukan lawan untuk gol pertama United.

Ini merupakan gol ketiga Martial dalam tiga perlawanan pra-musim dan di bawah jurulatih baru, dia dilihat bagaikan mendapat semangat baru dan tidak membuat muka toya seperti dulu dah.

Masuk ke separuh masa kedua, Ten Hag mengekalkan pasukan separuh masa pertama, dan hanya melakukan satu pertukaran – mengeluarkan Scott McTominay yang banyak menyorok di belakang pemain lawan ketika build up, dan memasukkan Donny van de Beek.

Percaturan ini ternyata berhasil pada minit ke-48, di mana Sancho melorongkan bola kepada Martial yang melakukan larian di dalam kotak penalti. Ketika hanya berhadapan dengan penjaga gol lawan, Martial tidak melakukan cubaan ke arah gol, tetapi menghantar bola kepada Van de Beek yang berada di sebelah kanannya.

Sebenarnya Van de Beek juga dapat menjaringkan gol jika dia melepaskan rembatan ke gol yang separa terbuka. Akan tetapi Van de Beek ni bijak tuan-tuan.

Dia acah-acah macam nak rembat ke arah gol sehingga membuatkan penjaga gol Palace melayangkan badan, lepas tu dia hantar bola kepada Rashford yang berada di sebelah kirinya.

Rashford apa lagi, tolak sahaja bola itu dengan tenang ke dalam gol yang tidak dijaga oleh sesiapa.

Pada minit ke-59, United melakukan satu serangan balas yang pantas dan menyaksikan Martial begitu bijak melakukan hantaran pantas kepada Sancho yang sedang melakukan larian.

Sebaik menerima bola, Sancho terus melakukan pecutan ke pintu gol lawan sebelum menjaringkan gol ketiga United.

Selepas seluruh pasukan disalin pemain gantian, United telah melepaskan satu gol mudah, sebelum pertahanan muda, Will Fish, dilayangkan kad merah kerana kesalahan yang tidak patut dilakukan.

Selepas tampil cemerlang dalam tiga perlawanan, para penyokong United di atas talian tidak henti-henti menghamburkan pujian dengan mengatakan bahawa faktor Ten Hag telah membuatkan Rashford dan Van de Beek bagaikan mati hidup semula.

BACA:  Bintang Juventus Pujuk Pogba Kembali Ke Turin