Mbappe Tak Kisah Duduk Bench Demi Klausa Bonus Kesetiaan €90 Juta

Hubungan di antara Kylian Mbappe dan Paris Saint Germain (PSG) semakin keruh apabila laporan terbaru mendedahkan pemain itu tidak peduli sama ada diturunkan beraksi atau tidak – asalkan mendapat bayaran bonus berjumlah €90 Juta daripada kelab itu.

Laporan daripada RMC Sports di Perancis mendedahkan penyerang antarabangsa Perancis itu sanggup menerima situasi tersebut sehingga kontraknya tamat secara rasmi pada Jun nanti.

Mbappe menandatangani kontrak selama dua tahun dengan pilihan untuk menyambung tempoh tersebut selama setahun pada musim panas lalu.

Kontrak tersebut turut mengandungi klausa khas yang menyatakan dia akan dibayar dengan jumlah besar sebagai bayaran bonus kesetiaan sekiranya kekal bersama PSG pada musim panas ini, dan sebahagian daripada bonus tersebut (sekitar €40 juta) dijadualkan dibayar pada September akan datang.

Situasi Mbappe di PSG membuatkan kelab itu kini berada di dalam dilema. Pilihan sambungan kontrak yang diberikan kepada Mbappe sebelum ini hanya boleh diaktifkan oleh pemain itu sahaja.

Ini bermakna sekiranya Mbappe terus enggan mengaktifkan tempoh lanjutan setahun, atau pun menandatangani kontrak baharu untuk kekal di Parc des Princess, maka kelab Ligue 1 itu akan kehilangan pemain itu secara percuma pada musim panas 2024.

Sebelum ini pengerusi PSG, Naser Al-Khelaifi memberikan tempoh dua minggu untuk Mbappe menandatangani kontrak atau melanjutkan kontrak sedia ada selama setahun atau pun kelab tersebut terpaksa bertindak menjual pemain itu kepada mana-mana kelab yang berminat.

Pemain itu bagaimanapun menyatakan hasrat untuk kekal dan menikmati bayaran bonus tersebut.

Pada masa ini sukar untuk membayangkan Mbappe kekal bersama PSG, apatah lagi dengan sikap angkuhnya yang mementingkan dirinya sendiri sahaja.

Hubungan pemain itu dengan rakan sepasukan yang lain juga sudah menjadi keruh kerana kenyataannya dalam temubual bersama France Football yang baru diterbitkan seolah-olah memperlekehkan kemampuan pemain dan usaha rakan sepasukan yang lain.

Berdasarkan perkembangan terbaru ini, PSG berkemungkinan akan menahan bayaran tersebut.

BACA:  Peminat Tertanya-Tanya Adakah Mbappe Seorang Muslim?