Mourinho Batalkan Niat Dapatkan Mina Bagi Tumpukan Fokus Terhadap Alderweireld

Manchester United membatalkan minat mereka untuk menandatangani pemain pertahanan Barcelona, Yerry Mina dan kini mengalihkan perhatian mereka terhadap Toby Alderweireld.

Mina merupakan salah seorang pemain pertahanan yang mencuri perhatian di Piala Dunia 2018 dimana beliau berjaya menjaringkan 3 gol sebelum Colombia disingkirkan England di pusingan 16 pasukan terakhir.

Kesilapan dari Mina. Kini mencari kelab baru kerana mahu bermain dengan lebih kerap

Mina berpindah ke Nou Camp pada Januari lalu dari Palmeiras tetapi gagal menembusi kesebelasan utama dengan Ernesto Valverde lebih gemar menurunkan gandingan Gerard Pique dan Samuel Umtiti sebagai pilihan utama.

Disebabkan perkara tersebut, Mina mengambil keputusan untuk berhijrah pada jendela perpindahan musim panas ini walaupun baru sahaja menyertai Barcelona beberapa bulan yang lalu. Beliau hanya bermain sebanyak 5 perlawanan untuk Los Cules dan Valverde telah memberikan lampu hijau kepadanya untuk mencari kelab baru.

Walaupun mempamerkan persembahan yang mantap di Russia, kedudukan Mina dalam skuad utama semakin menurun selepas Barcelona menandatangani pemain pertahanan Sevilla berusia 23 tahun, Clement Lenglet untuk memberi saingan kepada Pique dan Umtiti.

3 gol di Russia. Satu pencapaian yang menakjubkan dari seorang pemain yang beraksi di bahagian pertahanan

Perpindahan ke Everton mungkin langkah paling realistik buat Mina ketika ini, tetapi The Toffess dilihat telah memperlahankan urusniaga perpindahan mereka selepas mendapatkan Richarlison dan Lucas Digne.

Everton dilaporkan kecewa bagaimana mereka dilayan ketika perbincangan dijalankan, mendakwa mereka digunakan sebagai ‘backup’ plan sekiranya perpindahan ke Manchester United tidak berlaku.

Manchester United pada mulanya menyasarkan Mina sebagai calon alternatif yang lebih murah sekiranya mereka gagal mendapatkan Harry Maguire dan Toby Alderweireld.

Walau bagaimanapun dengan pintu perpindahan semakin hampir untuk ditutup, Red Devils mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian mereka untuk mendapatkan Alderweireld, dan tidak berminat lagi untuk membawa Mina ke Old Trafford.

Mina berdepan cabaran untuk mencari kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya selepas Everton dan Manchester United menarik balik minat terhadap Mina. Sekiranya Mina bercadang untuk bermain di Liga Perdana Inggeris pada musim ini, beliau perlu bertindak cepat kerana jendela perpindahan pemain akan ditutup pada 9 Ogos ini.

Sekiranya gagal berpindah ke England, Mina masih lagi berpeluang untuk berpindah ke liga utama Eropah yang lain kerana kebanyakan liga masih mengekalkan tarikh tutup yang lama, iaitu 31 Ogos.

Antara muka biasa yang memanaskan seat rakuten di Nou Camp

Dalam perkembangan lain pula, Manchester United yakin tawaran akhir bernilai £60 juta untuk Toby Alderweireld sudah cukup untuk meyakinkan Tottenham bagi melepaskan pemain berkenaan.

Pengerusi Spurs, Daniel Levy mahu United membayar £75 juta pada mulanya, tetapi sedar Alderweireld mungkin enggan menandatangani kontrak baru bersama Spurs dan sanggup bermain sehingga kontraknya tamat sebelum berpindah secara percuma.

BACA:  Mourinho Tidak Akan Bayar Tiket Untuk Menonton Aksi Manchester United Sekarang