Mourinho Enggan Kritik Pemain Manchester United Walaupun Tumpas Di Tangan Brighton

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata beliau tidak boleh memberikan penilaian yang jujur mengenai persembahan Manchester United selepas melihat anak buahnya tersungkur layu di tangan Brighton & Holve Albion malam tadi.

Dalam perlawanan kedua Liga Perdana Inggeris, Manchester United nyata bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaik mereka dan ketinggalan 3-1 pada rehat separuh masa pertama. Kapten United, Paul Pogba berjaya merapatkan jurang pada penghujung perlawanan menerusi sepakan penalti tetapi ia sudah terlambat untuk menghalang Brighton dari meraikan kemenangan penuh bersejarah mereka.

Mourinho dimalukan Brighton walaupun mempunyai skuad yang dipenuhi bintang ternama

Ketika bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Mourinho enggan berbicara lebih lanjut mengenai pemainnya, disebabkan beliau pernah dikritik pihak media kerana mengkritik pemain yang tidak bermain dengan baik secara terbuka.

“Apabila saya bersikap kritikal terhadap pemain saya, anda (pihak media) tidak menyukai saya berbuat demikian. Jadi jangan tanya saya mengapa saya enggan bercakap mengenai perkara tersebut kerana ia tidak bagus untuk saya.”

“Saya gembira untuk memberikan analisa mengenai pemain saya apabila mereka bermain dengan baik. Apabila pemains saya tidak bermain baik, jangan tekan saya untuk pergi ke arah tersebut kerana saya tidak akan melakukannya.”

“Jika saya berada di tempat anda (pihak media), saya rasa anda mempunyai banyak bahan untuk ditulis mengenai perlawanan hari ini.”

Glenn Murray tenang mengayamkan David De Gea untuk gol pertama Brighton

“Tetapi jangan ingat saya akan bercakap mengenai perkara tersebut kerana pihak media sebelum ini agak kritikal terhadap saya apabila saya membuat analisa mengenai pemain saya secara jujur dan terbuka.”

“Jadi jangan suruh saya untuk melakukan perkara yang anda pernah kritik sebelum ini. Anda boleh ramal saya sebagai seorang yang gembira seperti perlawanan Leicester minggu lalu dimana pemain A, B, C, D mempunyai perlawanan yang menakjubkan. Jangan ingat saya akan menuju ke arah berlawanan.”

Kapten Manchester United, Paul Pogba mengakui kekalahan pasukannya adalah kerana mereka tidak mampu menyaingi keinginan pemain Brighton untuk mencapai kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Taktikal parking bas Mourinho memakan tuan kerana bas Brighton lebih kental bertahan.

“Pemain Brighton lebih lapar dari kami. Saya letakkan diri sendiri pada kedudukan paling atas, iaitu attitude saya dalam perlawanan itu sebenarnya tidak betul. Kami melakukan kesilapan yang sepatutnya tidak berlaku. Kami berusaha dan terus berusaha dan mencuba, tetapi segalanya sudah terlambat.”

“Minggu lalu kami bermain di tempat sendiri dan ia merupakan perkara yang berlainan. Pasukan lain dan taktik yang berlainan. Saya tahu kami tidak akan selalu bermain dengan baik. Tetapi attitude pasukan harus sentiasa betul dan hari ini kami hilang perkara tersebut.”

BACA:  Meluat Tahap Maksimum Dengan Onana, Ratcliffe Sedia Bida Keeper Baru Dari La Liga Untuk Man Utd