Mourinho Puji Persembahan Pemain United Walaupun Kecundang Di Pentas Final

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho memuji persembahan yang dipamerkan pasukannya walaupun kecundang di tangan Chelsea dalam perlawanan akhir Piala FA.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Wembley semalam, jaringan penalti yang disempurnakan oleh Eden Hazard sudah cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 kepada The Blues.

Mourinho berpuas hati dengan semangat juang yang ditunjukkan pemainnya

Kekalahan United menyebabkan Mourinho mengakhiri musim ini tanpa memenangi sebarang trofi. Mereka menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris dengan menduduki tangga ke-2, 19 mata di belakang pasukan juara, Manchester City. Selain itu, mereka dikejutkan oleh Sevilla dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Walaupun keputusan perlawanan tidak berpihak kepada United, Mourinho berkata beliau berpuas hati dengan semangat juang yang dipamerkan pemainnya sepanjang perlawanan.

“Pada pendapat saya, setiap kekalahan menyakitkan hati tetapi apabila anda telah memberikan segala-galanya dalam perlawanan, anda tewas tanpa sebarang perasaan keasal.”

“Jadi saya lebih suka kami tewas seperti perlawanan tadi berbanding ketika kami tumpas di tangan Newcastle tempoh hari. Saya beritahu para pemain yang saya gembira dengan persembahan mereka. Bagi saya, itu perkara paling penting.”

Final yang hanya ditentukan melalui sepakan penalti Eden Hazard

Penjaring terbanyak Manchester United, Romelu Lukaku tidak dapat diturunkan sejak 3 minggu lepas kerana mengalami kecederaan lutut. Pemain antarabangsa Belgium itu hanya mampu bermula di bangku simpanan sahaja semalam dan masuk sebagai pemain gantian pada lewat permainan.

Mourinho berkata Lukaku memberitahunya beliau masih belum bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. Menurut Mourinho lagi, ketiadaan ‘target man’ telah menjejaskan peluang mereka untuk memenangi perlawanan tersebut.

“Ia bukan keputusan saya, ia adalah keputusan Lukaku sendiri [untuk tidak berada dalam kesebelasan utama]. Apabila pemain memberitahu anda beliau tidak bersedia untuk bermain, persoalan utama adalah ‘berapa minit anda mampu bermain?'”

“Saya kenal pasukan yang kami tentang. Saya tahu mereka mempunyai pasukan yang compact dan tahap fizikal yang tinggi. Mereka juga menekan setiap pergerakan kami. Tanpa target man, keadaaan menjadi lebih sukar buat kami.”

Ashley Young antara pemain yang terjejas teruk

Mourinho turut mendedahkan beliau sebenarnya mengharapkan United tidak bolos sebarang gol kepada Chelsea. Beliau juga percaya United menguasai keseluruhan perlawanan kecuali ketika insiden Eden Hazard dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Phil Jones.

“Pasukan saya melakukan kerja bertahan yang fantastik tanpa perlu bertahan. Kami mengawal penguasaan bola dengan baik dan juga peralihan dari bertahan ke serangan.”

“Chelsea hanya bermain bola tinggi kepada Olivier Giroud untuk diberikan kepada Eden Hazard. Jadi apabila anda bermain menentang pasukan yang mudah diramal seperti Chelsea, amat mudah untuk kami menyesuaikan diri dalam perlawanan.”

“Saya ingat kami tidak akan bolos sebarang gol dalam perlawanan tadi, tetapi Hazard adalah seorang pemain yang sangat bagus dan beliau berjaya mendapatkan penalti tersebut.”

BACA:  Dua Lagi Wanita Tampil Menjadi Mangsa Kerakusan Antony