Mourinho Tidak Tahu Bila Martial Akan Kembali Ke Manchester United

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mendedahkan beliau sendiri tidak tahu bilakah Anthony Martial akan kembali ke pangkuan pasukan selepas dibenarkan pulang ke Perancis untuk menyambut kelahiran anak keduanya minggu lepas.

Martial bermain dalam dua perlawanan awal pra-musim United tetapi dibenarkan pulang ke Perancis untuk menyambut kelahiran anak keduanya. Walaubagaimanapun, Mourinho berkata Martial sepatutnya pulang ke pangkuan pasukan sebaik sahaja anak beliau selamat dilahirkan, tetapi gagal untuk berbuat demikian.

Adakah Martial sedang memberontak dalam diam ?

“Anthony Martial baru sahaja menerima cahaya mata dan sudah selamat dilahirkan. Syukur kepada Tuhan, baby itu cantik dan dalam keadaan sihat. Sekarang, Martial sepatutnya berada di sini tetapi beliau tiada.” Mourinho dipetik berkata minggu lepas.

Dalam temubual selepas Manchester United mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Real Madrid awal pagi tadi, Mourinho tidak mempunyai jawapan mengenai tarikh kepulangan Martial ke dalam pasukan utama.

“Antony Martial ? Lebih baik pegawai media [Karen Shotbolt] kami yang menjawab soalan tersebut. Itupon jika beliau mahu jawab.”

“Saya berada di sini untuk menjawab soalan wartawan mengenai perlawanan tadi. Saya tidak tahu bila Martial akan kembali bersama Manchester United.”

Mourinho dalam kegelapan bila Martial akan pulang dari cuti hujung minggu

Dalam perkembangan lain, beberapa pemain utama seperti Phil Jones, Marcus Rashford dan Romelu Lukaku menamatkan percutian mereka lebih awal untuk menjalani persiapan pra-musim bersama skuad utama.

Ketiga-tiga pemain ini terlibat dalam Piala Dunia 2018 dan kembali 3 hari lebih awal dari tarikh yang sepatutnya. Mereka berbuat demikian bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City pada hujung minggu hadapan.

“Dalam beberapa hari lagi, kami akan berangkat ke Munich dan 11 hari kemudian, kami akan memulakan kempen Liga Perdana Inggeris. Ini sahaja pemain yang saya ada, termasuk Victor Lindelof yang baru menjalani latihan dua hari lepas.”

“Rashford, Lukaku dan Jones mengorbankan 3 hari dari cuti mereka demi pasukan ini. Mereka tiba 3 hari lebih awal supaya dapat dipilih untuk bermain.”

Pengurus berasal dari Portugal ini juga bercakap mengenai semangat positif yang dimiliki pemainnya, tetapi pemain yang dimaksudkan beliau merujuk kepada ‘majoriti’, bukan semua pemain.

Anak emas Mourinho menggembirakan puluhan ribu peminat Syaitan Merah di negara Uncle Sam

“Dengan semangat fantastik yang dimiliki majoriti pemain saya, saya ulang sekali lagi ‘majoriti’ pemain saya mempunyai semangat yang fantastik. Kami akan memberikan segala yang kami ada untuk menghadapi kempen Liga Perdana Inggeris musim ini.”

Dalam pertemuan menentang Real Madrid pagi tadi, Manchester United mencatatkan kemenangan pertama mereka dalam kejohanan International Champions Cup dengan keputusan 2-1.

Alexis Sanchez dan Ander Herrera meletakkan Red Devils selesa di hadapan pada suatu ketika sebelum Karim Benzema merapatkan jurang pada waktu kecederaan babak pertama.

BACA:  Premier League 2019/20: Tottenham Hotspur 1-1 Manchester United