Premier League 2019/20: Tottenham Hotspur 1-1 Manchester United

Minggu ini menyaksikan Liga teragung dalam bola sepak dunia, Premier League telah kembali bersambung selepas dihentikan kerana wabak penyakit yang melanda seluruh dunia.

Perlawanan sambungan pembukaan Premier League disajikan dengan kemenangan penuh bergaya Manchester City ke atas pasukan yang lemah dan lembik, Arsenal.

Tiba giliran pasukan paling agung dalam sejarah peradaban bola sepak dunia, Manchester United turun untuk mempamerkan aksi bola sepak yang kelakar.

Perlawanan berlangsung tanpa kehadiran penonton di stadium sebagai langkah pencegahan daripada tersebarnya virus. Inilah norma baru kita sekarang.

Lawan yang menanti Setan Merah bukan kaleng-kaleng lagi iaitu Tottenham Hotspur yang sudah bebas dari isu kecederaan dan kelesuan pemain.

Perlawanan berlangsung dengan sangat hambar sekali tanpa sebarang percubaan berbahaya ke kubu lawan untuk tempoh 20 minit pertama.

Selepas itu barulah ada satu percubaan bahaya daripada Marcus Rashford yang melakukan percubaan jarak dekat.

Namun Hugo Lloris lebih bersedia untuk melakukan hadangan dan menafikan percubaan Rashford.

Pada minit ke-27, Spurs telah berjaya berada di hadapan hasil jaringan Steven Bergwijn melalui satu rembatan padu.

Hantaran dari tengah padang Serge Aurier mencari Bergwijn yang seperti pelesit melakukan larian.

Pemain termahal dunia, Harry Maguire cuba mengacah namun mudah dilepasi dan tidak mampu untuk mengejar.

Bergwijn yang berjaya lolos melepaskan satu rembatan padu yang ditepis dengan penuh bergaya oleh David De Gea ke gawang sendiri.

Entah apa yang dilakukan oleh Maguire dan De Gea ini.

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan berpihak kepada pasukan bimbingan Jose Mourinho.

Bersambung babak kedua Ole Gunnar Solskjaer membuat dua pertukaran pada minit ke-63 untuk menambah sengat.

Mason Greenwood dan Paul Pogba masuk menggantikan Daniel James dan Fred.

Pogba bermain dengan bersungguh-sungguh seperti mahu membuktikan sesuatu dan mungkin mahu kembali merebut kesebelasan utama.

Kehadiran Pogba di padang telah menjadi trending di laman Twitter dan akhirnya dunia dapat menyaksikan gandingan Pogba dan Bruno Fernandes.

Pada minit ke-80 Pogba telah dijatuhkan oleh Eric Dier dalam kotak penalti dan sepakan penalti telah diberikan.

Bruno Fernandes tenang menolak bola ke kiri gawang menewaskan Hugo Lloris untuk gol penyamaan.

Pemain tengah Portugal itu terus melebarkan rekod dalam menghasilkan gol lebih banyak berbanding pemain lain.

Sejak membuat debut bersama Manchester United Bruno Fernandes telah terlibat dengan 6 jaringan dengan 3 gol dan 3 bantuan gol.

Manchester United terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai Raja Penalti.

Adat pasukan yang hebat selalu dikasari lawan yang tidak mampu untuk mengekang gerakan.

Pada minit ke-90 sekali lagi pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas melihat Bruno Fernandes jatuh.

Namun Video Assistant Referee(VAR) yang adil telah membatalkan keputusan itu kerana tiada sentuhan ke atas Bruno.

Bruno Fernandes jatuh sendiri atau sengaja menjatuhkan badan. Tidak cukup tanah Jose Mourinho memaki hamun.

Perlawanan yang tidak berbaloi untuk ditonton kerana perlu berjaga tetapi kerana sudah lama menanti EPL kembali persetankan saja.

Kesebelasan Utama Manchester United dan Tottenham Hotspur

Kesebelasan utama Tottenham Hotspur:

Lloris, Aurier, Sanchez, Dier, Davies, Sissoko, Winks, Son, Lamela (Lo Celso), Bergwijn (Fernandes), Kane

Pemain simpanan

Alderweireld, Vertonghen, Sessegnon, Gazzaniga, Ndombele, Skipp, White

Kesebelasan utama Manchester United:

De Gea, Wan Bissaka, Lindelof (Matic), Maguire, Shaw, McTominay (Bailly), Fred (Pogba), James (Greenwood), Bruno Fernandes, Rashford, Martial (Ighalo)

Pemain simpanan

Bailly, Pogba, Mata, Lingard, Romero, Ighalo, Greenwood, Matic, Williams.

BACA:  Manchester United Hilang Sabar Dengan Pemain Ini Dan Sudah Ada Calon Penggantinya