Nota Menyentuh Perasaan Daripada Juan Mata Buat Luke Shaw Yang Dihentak Mourinho Tiga Tahun Lalu

Ketika Manchester United dibimbing oleh pengurus dari Portugal, Jose Mourinho, kelab tersebut berjaya memenangi beberapa piala termasuk Piala Liga dan Liga Europa. Fasa tersebut boleh dianggap fasa yang paling berjaya buat kelab Syaithon Merah itu sejak ditinggalkan Sir Alex Ferguson, atau lebih mesra dipanggil Pak Alex di kalangan penduduk Manchester.

Walaubagaimanapun, fasa cemerlang tersebut tidak dapat dinafikan sebagai fasa yang menyeksakan buat pemain bek kiri, Luke Shaw.

Shaw sering menjadi punchingbag pengurus Portugis tersebut dan sering dikecam, dikritik dan dihina tanpa sebarang sebab, sehingga membuatkan pemain tersebut kehilangan tempat dalam pasukan perlawanan.

Ketika detik hitam tersebut, seorang pemain, Juan Mata muncul memberikan nota yang menyentuh perasaan buat bek kiri terbaik dunia ini.

Pada waktu tersebut, Mata telah menerbitkan senaskhah buku dan memberikan satu salinan kepada setiap pemain United – termasuklah Shaw.

Pada muka surat depan buku tersebut, Mata telah menulis;

“Kepada kawan aku Luke,

“Kau boleh jadi pemain bek kiri terbaik di dalam Liga Perdana. Percayalah!”

Agak ringkas sahaja nota tersebut tetapi dengan apa yang dihadapi oleh Shaw ketika itu, nota ini pasti menyentuh jiwanya supaya lebih kuat menempuh dugaan.

Hasilnya? Shaw kini merupakan antara pemain bek kiri terbaik dunia, lantas membuatkan penyokong United di Malaysia menggelarkannya Shawberto Carlos – gabungan nama pemain ini dengan bek kiri lagenda Brazil, Roberto Carlos.

Selepas pemecatan Mourinho, dan digantikan dengan lagenda kelab, Ole Gunnar Solskjaer, prestasi Shaw semakin hari semakin baik.

Pemain ini sering menjadi watak penting dalam perlawanan yang melibatkan pasukannya melalui gerakan-gerakan berbahaya dari sebelah kiri padang. Pada musim lalu, Shaw menjaringkan gol tunggalnya dalam liga ketika pasukannya menang ke atas jiran setempat, Manchester City di Ettihad.

Juan Mata dan Luke Shaw – dua pemain kidal berbahaya. Gambar : The Sun

Pada musim lepas juga menyaksikan Luke Shaw diundi sebagai pemain terbaik kelab daripada rakan pemain dan juga staf pasukan.

Disebabkan kecemerlangannya tersebut, dia dipanggil semula untuk menyarung jersi pasukan England dalam kempen Kejohanan Eropah pada tahun ini, dan tindakan ini ternyata satu tindakan yang bijak daripada pengurus England, Gareth Southgate.

Shaw tidak diturunkan dalam perlawanan pertama England menentang Croatia dan hanya mula diturunkan ketika mereka seri dengan pasukan adik-beradik, Scotland, dalam perlawanan kedua di peringkat kumpulan.

Shaw mengekalkan tempatnya dalam perlawanan ketiga ketika mereka menewaskan Republik Czech dan juga dalam perlawanan pusingan 16-pasukan ketika England menjinakkan Jerman 2-0.

Dalam perlawanan tersebut, Shaw tampil cemerlang dan patut mendapat anugerah pemain terbaik perlawanan selepas dia melakukan satu assist kepada Raheem Sterling ketika England mendapat gol pertama.

Pada minit ke-85, bermula daripada gerakan Shaw yang berjaya merampas bola daripada pemain lawan, dan melorongkan bola kepada Jack Grealish di sebelah kiri. Grealish kemudiannya melakukan hantaran menggunakan kaki kirinya ke dalam kotak penalti Jerman dan bola ditanduk padu oleh kapten Harry Kane, sekaligus mengesahkan kemenangan England ke atas musuh tradisi mereka tersebut.

Pada bulan Mac lalu, Shaw mengatakan bahawa Solskjaer memainkan peranan yang sangat penting dalam kebangkitan prestasinya dan pada masa yang sama turut memuji cara pengurusnya tersebut mengendalikan pemain.

“Cara dia kendalikan pemain tu memang terbaik,” ujar Shaw kepada Sky Sports.

“Cara dia bawa diri dalam macam mana dia bercakap dengan pemain, membuatkan pemain boleh berikan yang terbaik. Kau boleh nampak tu, kan?

“Dia kawal situasi dengan cukup elok dari segi apa yang diperlukan, terutamanya di kelab yang besar seperti Manchester United.

“Dia menghilangkan tekanan dari dada pemain dan ambil kesemua tekanan tu kepada dia.

“Kadang-kadang tak adil la jugak rasanya sebab kitorang yang ada di tengah padang dan kitorang kena ambil sekali la tekanan tu.

“Bagi aku la, terutamanya, daripada apa yang aku ada sebelum Ole datang, memang beza sangatlah. Dia dah tolak aku sampai ke tahap yang baru.”

Kalau kita tengok apa yang Ole cakap ni, kita fahamlah kenapa Anthony Martial duk main tahap tu juga. Mesti Solskjaer kabo ke dia jangan risau, main je macam biasa.

Tak pun Solksjaer tak ada cakap apa-apa kot dengan dia. Itu yang selalu buat kelakar di atas padang tu.

Sumber : Mirror

BACA:  Manchester United Terus Cemerlang di Dalam Jelajah Pra-Musim