Ole Gunnar Solskjaer Mahu Aaron Wan Bissaka Bermain di Posisi Baharu Demi Memberi Laluan Kepada Kieran Trippier

Khabar angin kencang bertiup dari bumi England yang mengatakan bahawa Manchester United berminat untuk membeli pemain bek kanan Atletico Madrid dan skuad Tiga Singa, Kieran Trippier ke Old Trafford bagi memperkuatkan pasukan. Demi pemain baharu ini, pengurus Ole Gunnar Solskjaer dikatakan mahu meletakkan pemain bek kanan utama mereka, Arron Wan Bissaka ke posisi lain.

Wan Bissaka, pada musim ini, tampil secara konsisten buat pasukan Syaitan Merah, di mana dia telah bermain sebanyak 34 perlawanan liga, menjaringkan dua gol dan melakukan bantuan gol lima kali, ketika membantu pasukan tersebut menamatkan saingan liga di tangga kedua, di belakang Manchester City, sekaligus melayakkan mereka menerima Piala di Atas Liverpool dan juga juara dua minggu.

Walaupun prestasi pemain berusia 23 tahun itu boleh dikategorikan sebagai boleh tahan, laporan mengatakan bahawa United masih mahu berbelanja untuk memperkuatkan pasukan mereka di posisi bek kanan.

Bagi memberikan cabaran dan tekanan kepada Wan Bissaka, United dipercayai sedang memburu Kieran Trippier sebagai pembelian musim panas ini.

Bagi Wan Bissaka pula, dia berkemungkinan besar akan bermain di posisi lain lah nanti.

Menurut satu artikel berita dari GiveMeSport, yang memetik The Sun melaporkan, Solskjaer kini sedang mempertimbangkan Wan Bissaka untuk bermain di posisi pertahanan tengah, sekaligus bergandingan dengan kapten Harry Maguire, dan Solskjaer sebenarnya dikatakan memang mengidam untuk melihat Wan Bissaka bermain di posisi itu.

Sistem permainan atau formasi yang sesuai buat United jika Wan Bissaka bermain di posisi ini adalah dalam sistem lima atau empat pertahanan. Selalunya, jika bermain dengan lima pertahanan, Solskjaer akan menurunkan seorang lagi pemain berdarah Kelantan, Tuanzebe.

Menarik juga nak tengok Wan Bissaka bermain di tengah ni. Berketinggian 183 cm, dia mempunyai ketinggian yang diperlukan di posisi tersebut.

Untuk rekod, ketinggian pertahanan tengah United yang lain adalah 193cm bagi Maguire, dan 187cm, bagi Victor Lindelof dan Eric Bailly.

Walaupun United dikhabarkan sedang mencari pertahanan tengah yang baru untuk membantu menamatkan kemarau empat musim tanpa piala hatta piala pra-musim sekalipun, kita mungkin akan menyaksikan Wan Bissaka yang bakal digandingkan denga Maguire pada musim depan.

Menarik juga tu. Pasti banyak adegan tak kering gusi buat penonton.

Apapun, tak kira di posisi mana dia diturunkan, Wan Bissaka sentiasa bersedia untuk memberikan aksi yang terbaik. Pada hujung musim 2020-21, Wan Bissaka telah memberi markah sederhan untuk prestasinya sepanjang musim.

“Setiap perlawanan, setiap langkah, itulah cara aku buat, untuk meningkat lagi dan tekan lagi,” katanya kepada laman sesawang rasmi Manchester United.

“Aku rasa aku sederhana. Aku boleh rasa tu dalam diri aku, keyakinan dan kegembiraan setiap kali hendak bermain.

Kau nak main, kau tak sabar nak tunggu perlawanan bermula. Kau tahu apa yang pasukan mampu buat, persembahan yang kami boleh lakukan bersama untuk mendapatkan keputusan yang kami mahukan.

“Jaringan gol aku tu memang seronok. Aku tak akan lupa tu. Itu adalah detik indah dalam musim ni, bagi aku lah.”

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama Ole Gunnar Solskjaer menukar posisi seseorang pemain di United.

Sebelum ini, dua penyerang mereka, Marcus Rashford dan Anthony Martial juga pernah diubah posisi mereka oleh Solksjaer. Acap kali ketika dalam perlawanan, terutamanya menentang kelab-kelab besar, posisi Rashford dan Martial diubah daripada penyerang pasukan sendiri, kepada pertahanan pihak lawan.

Mereka ternyata serasi dan berjaya menguasai posisi tersebut di mana mereka sering membantu pertahanan lawan untuk mengeluarkan bola daripada keadaan bahaya di kotak penalti lawan, sekaligus membuatkan Bruno Fernandes dan Edinson Cavani emo.

Kelakar tak?

Sumber : GMS

BACA:  Legenda Liverpool Anggap Gol Kemenangan Ronaldo Seharusnya Dibatalkan