Ole Gunnar Solskjaer Secara Rasminya Sah Dipecat Manchester United

Akhirnya detik yang dinanti telah tiba apabila secara rasmi dan sahnya Ole Gunnar Solskjaer telah dipecat oleh Manchester United demi kelangsungan hidup kelab untuk terus bersaing.

Perkara ini telah diumum melalui laman sesawang rasmi Manchester United, manutd.com untuk makluman kepada peminat dan pembenci seluruh dunia.

“Manchester United mengumumkan bahawa Ole Gunnar Solskjaer telah meninggalkan peranannya sebagai pengurus.”

“Ole akan sentiasa menjadi legenda di Manchester United dan dengan kesal kami telah membuat keputusan yang sukar ini. Walaupun beberapa minggu kebelakangan ini mengecewakan, mereka tidak sepatutnya mengaburkan semua kerja yang telah dilakukannya sejak tiga tahun lalu untuk membina semula asas kejayaan jangka panjang.”

“Ole pergi dengan iringan ucapan terima kasih yang tulus atas usaha gigihnya sebagai Pengurus dan harapan terbaik kami untuk masa depan. Tempatnya dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin, bukan hanya untuk kisahnya sebagai pemain, tetapi sebagai seorang lelaki yang hebat dan Pengurus yang memberi kami banyak detik hebat. Dia akan selamanya dialu-alukan kembali ke Old Trafford sebagai sebahagian daripada keluarga Manchester United.”

Michael Carrick akan menjadi pengendali dan mengambil alih pasukan untuk perlawanan yang mendatang sehingga pengurus interim dilantik sehingga penghujung musim.

“Michael Carrick kini akan mengendalikan pasukan untuk perlawanan yang akan datang, manakala kelab itu akan melantik pengurus sementara hingga akhir musim.”

Manis saja ayat di laman Twitter Manchester United apabila mengumumkan Ole Gunnar Solskjaer telah meninggalkan jawatan selaku pengurus bukannya dipecat.

“Manchester United boleh mengesahkan bahawa Ole Gunnar Solskjaer telah meninggalkan peranannya sebagai Pengurus.”

“Terima kasih untuk segalanya.”

Dibawah merupakan coretan ringkas perjalanan karier Ole bersama Manchester United selaku pengurus.

Ole Pengurus Interim

Ole Gunnar Solskjaer kembali ke bekas kelabnya selaku pengurus interim, selepas pemecatan Jose Mourinho dengan sindrom musim ketiganya pada bulan Disember 2018.

Perlawanan pertama Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus Interim adalah menentang bekas kelab lama yang diuruskannya sebelum itu, Cardiff City di tempat lawan.

Pada ketika itu Ole Gunnar Solskjaer memegang reputasi yang buruk di Premier League apabila gagal teruk mengendalikan Cardiff City sehingga terhumban ke liga bawahan.

Ole berjaya membawa kemenangan 5-1 kepada Setan Merah menundukkan Cardiff City di South Wales dan pada perlawanan pertama rekod dicipta oleh Ole.

Itu merupakan buat pertama kalinya Manchester United menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan Premier League selepas bersaranya Sir Alex Ferguson.

Kali terakhir Setan Merah menjaringkan lima gol selepas seri 5-5 dengan West Bromwich Albion yang merupakan perlawanan terakhir Sir Alex Ferguson sebelum bersara pada May 2013.

David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho gagal mencatatkan jaringan lima gol dalam satu perlawanan di Premier League sehiggalah Ole tiba.

Selaku pengurus interim rekod dan pencapaian Ole Gunnar Solskjaer agak menakjubkan apabila merekodkan 12 perlawanan tanpa kalah.

Ole Pengurus Tetap

Kekalahan pertama Ole selaku pengurus adalah kepada PSG disaingan Champions League, tewas 2-0 di Old Trafford, Ole mencatatkan kebangkitan sensasi di Paris dengan kemenangan 3-1.

Ole telah membawa Manchester United menjadi pasukan pertama dalam sejarah Piala Eropah mara ke pusingan seterusnya selepas tewas ditempat sendiri dengan jaringan dua gol atau lebih pada perlawanan pertama.

Pada 28 Mac 2019 selepas mencatatkan 14 kemenangan dari 19 perlawanan Ole ditawarkan kontrak tiga tahun selaku pengurus tetap dan menamatkan musim 2018/19 ditempat keenam.

Musim 2019/20

Musim 2019/20 menyaksikan Ole membawa Manchester United untuk musim penuh dan menamatkan saingan Premier League di tempat ketiga dan itulah kali kedua Manchester United menamatkan saingan ditempat ketiga selepas era Sir Alex Ferguson.

Pada musim itu juga, Ole membawa Manchester United ke separuh akhir di EFL Cup, FA Cup dan Europa League. Satu rekod padu buat pengurus yang masih mentah, membuatkan Ole makin disayangi.

Musim 2020/21

Ole memulakan musim 2020/21 dengan penuh keyakikan namun dikejutkan dengan kekalahan terburuk dalam kariernya dibelasah Tottenham Hotspur 6-1 di Old Trafford.

Kemudian mula kedengaran laungan Ole Out lantaran beberapa siri aksi buruk ditambah pula dengan tersingkirnya ke Europa League menamatkan saingan peringkat kumpulan Champions League ditempat ketiga.

Namun Ole bangkit membuktikan kehebatan, pada januari 2021 selepas 18 perlawanan liga, Ole membawa Manchester United ke puncak Premier League dan menjadi juara selama dua minggu.

Ini merupakan kali pertama Setan Merah dipuncak liga ditahun baru selepas Sir Alex Ferguson bersara. Kemudian Ole mencatatkan kemenangan 9-0 ke atas Southampton.

Manchester United buat pertama kali menamatkan liga dalam kalangan top four secara back to back selepas era Ferguson. Ole berjaya ke final Europa League namun tewas kepada Villareal.

Musim 2021/22 dan dipecat

Ole Gunnar Solskjaer memulakan musim 2021/22 dengan penuh bergaya apabila membelasah Leeds United dengan jaringan lima gol berbalas satu dalam perlawanan pembukaan di Premier League.

Kemudian Setan Merah sekadar seri menentang Southampton diperlawanan kedua dan bunga-bunga kejatuhan mula kelihatan selepas tewas secara mengejut kepada Young Boys di Champions League. Pasukan entah dari mana.

Cristiano Ronaldo membuat kepulangan mengejut ke Old Trafford, seorang lagi legenda kelab kembali tapi masih lagi sebagai seorang pemain. Sejak itulah Manchester United mula bergelut.

Kekalahan 5-0 kepada Liverpool hampir sahaja menamatkan karier pengurusan Ole di mana Antonio Conte sudah sedia mengganti, namun Atok Fergie datang menyelamat dengan tiga peluang.

Ole boleh dikatakan gagal apabila menang satu, seri satu dan kalah satu dengan corak permainan yang sangat tidak jelas lagi tidak berpedoman.

Kekalahan memalukan kepada Watford 4-1 terus menamatkan karier Ole bersama Manchester United.

BACA:  Manchester United Tamatkan Perjanjian Dengan TeamViewer, Penaja Baharu Dicari