Peguam Dakwa Man Utd Cuba Sembunyikan Serangan Antony Terhadap Bekas Kekasih

Manchester United telah didakwa cuba menyembunyikan dakwaan serangan bintang Brazil Antony terhadap bekas kekasihnya.

Dakwaan mengejutkan itu dibuat oleh Gabriela Cavallin dan peguamnya kepada pihak polis di Sao Paulo yang menyiasat kes tersebut secara bersama dengan pihak Greater Manchester Police.

United melalui kenyataan yang dikeluarkan menyifatkan dakwaan tersebut tidak tepat sama sekali.

Melalui laporannya Cavallin mendakwa pihak kelab telah menghantar seorang pegawai sokongan ke Hotel Hyatt Regency di Manchester di mana kejadian serangan oleh Antony terhadap bekas kekasihnya berlaku pada 15 Januari lalu.

Wanita itu mendakwa dirinya ditanduk oleh pemain berusia 23 tahun dan menyebabkan implan dadanya lari dari posisi asal setelah ditolak dengan kasar ke arah katil.

Cavallin turut mendedahkan dirinya terpaksa menjalani pembedahan atas kecederaan yang dialaminya di kepala.

Pasukan peguam yang mewakili Cavallin turut mendakwa pegawai sokongan yang dihantar oleh United cuba menutup kes itu dengan meminta doktor pasukan memberikan rawatan untuk mengelakkan mangsa pergi ke hospital, sekali gus menimbulkan spekulasi.

Laporan media di Brazil pada Rabu berkata peguam Cavallin telah meminta pihak polis Sao Paulo untuk mencari pegawai sokongan berkenaan untuk membantu siasatan.

Peguam Cavallin turut dilaporkan telah meminta akses kepada rakaman CCTV di hotel tersebut.

Pada Rabu United mengesahkan mereka sememangnya menghantar kakitangan mereka untuk mengatur doktor peribadi melawat Cavallin atas permintaan Antony, tetapi menafikan wanita itu dirawat oleh mana-mana anggota perubatan kelab.

Difahamkan ia adalah perkara biasa bagi United untuk menjaga kebajikan pemain termasuk mengatur rawatan daripada doktor untuk pasangan dan keluarga pemain di kelab itu.

United turut menegaskan kelab itu dan pegawai sokongan yang dihantar tidak tahu menahu mengenai dakwaan serangan oleh pemain mereka pada ketika itu sehingga ianya dilaporkan oleh media di Brazil pada Jun lalu.

“Sebarang dakwaan mengatakan kelab cuba menutup dakwaan serangan itu adalah tidak benar,” ujar kenyataan daripada Manchester United.

Antony turut telah tampil dengan kenyataannya menafikan semua empat dakwaan serangan oleh bekas teman wanitanya dan secara sukarela menghadirkan diri untuk disoal siasat pada Jun lalu.

United turut berkata pihak kelab akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung dakwaan tersebut.

Walaubagaimanapun United enggan melayan panggilan sesetengah pihak yang mendesak agar pemain itu digantung.

Erick ten Hag bagaimanapun boleh memainkan peranan merehatkan pemain itu untuk mengelakkan tumpuan berlebihan diberikan teraraj kepada Antony apabila kembali beraksi menentang Brighton selepas tamat tempoh rehat jendela perlawanan antarabangsa FIFA.

Melalui kenyataan semalam Unite menegaskan mereka tidak akan memberikan sebarang komen tambahan memandangkan isu itu kini di dalam siastan pihak polis.

Pihak kelab bagaimanapun berjanji akan memandang serius dakwaan tersebut dan impak akibat dakwaan oleh mangsa.

BACA:  Bekas Jurulatih Dedah Punca Cristiano Ronaldo Hilang Sokongan Di Bilik Persalinan Man United