Pemain Bayern Berasa Janggal Meraikan Kejuaraan Dalam Stadium Tertutup

Bayern Munich telah menjadi pasukan pertama yang berjaya memenangi kejuaraan Liga selepas kembalinya saingan bola sepak Eropah.

Walau bagaimanapun, majlis keraian kejuaraan liga kali ini tidak sama seperti sebelum ini dan kehangatan untuk menjulang Piala juga tidak begitu dirasai.

Bayern Munich berjaya memenangi saingan Bundesliga kelapan mereka secara berturut-turut semalam. Satu rekod yang sungguh mengagumkan.

Pencapaian yang luar biasa walaupun hadir dari pasukan sebesar Bayern Munich. Namun, majlis keraian menjulang Piala Bundesliga yang berlangsung semalam pastinya tidak akan pernah dilupakan oleh para peminat mereka.

Ekoran dari penularan wabak Koronavirus, para peminat tidak lagi dibenarkan untuk masuk menonton perlawanan secara langsung di dalam stadium.

Tambahan pula, kehidupan normal baru dengan adanya wabak Covid-19 ini, tidak digalakkan untuk berkumpul beramai-ramai, jadi satu-satunya pilihan yang mereka ada ialah meraikan kejayaan dalam stadium kosong dan harus menjaga penjarakan sosial.

Bahkan kali ini juga mereka tidak dibenarkan mengadakan perarakan Piala di sekitar bandar dan keraian hanya berakhir dalam stadium kosong sahaja.

Mungkin selepas keadaan kembali pulih seperti biasa, kelab akan mengadakan satu sambutan besar-besaran bersama peminat atas kejayaan mereka menjuarai saingan Bundesliga buat kali kelapan berturut-turut.

Peminat Liverpool sudah melihat bagaimana RB Salzburg dan Bayern Munich meraikan kejuaraan saingan Liga, jadi mereka pastinya sudah bersedia untuk melalui hal yang sama.

Liverpool dijangka akan menjulang kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 30 tahun ini seawal hujung minggu nanti bergantung kepada keputusan perlawanan Manchester City pada awal pagi nanti.

Sudah pasti agak mengecewakan untuk para peminat meraikan kejuaraan liga yang sudah lama mereka nantikan dengan cara seperti ini.

Lihat saja bagaimana janggalnya para pemain Bayern Munich meraikan kejayaan mereka semalam bersama ‘peminat’ yang sebenarnya pemilik dan penaja mereka sahaja dalam stadium semalam.

Walaupun pemain seperti Troy Deeney mengecam Liverpool menjuarai saingan liga dengan keadaan seperti ini, tetapi beliau harus terima kenyataan bahawa the reds musim ini layak untuk ditabalkan Juara atas apa mereka telah persembahankan.

Walau terpaksa meraikan Piala dalam stadium tertutup, Liverpool pastinya tetap tidak akan pernah melupakan detik menjulang kejuaraan saingan liga pertama mereka dalam tempoh 30 tahun itu.

Liverpool telah mempamerkan aksi luar biasa dalam kancah saingan liga musim ini dengan hanya mencatatkan satu kekalahan sahaja dan sedang mendahului puncak liga dengan kelebihan 25 mata.

Liverpool cuma kehilangan lima mata sahaja musim ini dengan tewas kepada Watford dan seri sekali bertemu Manchester United.

BACA:  Pemain Pertahanan Bayern Munich Terpaksa Ditenangkan Selepas Hampir Bertumbuk Dengan Pembantu Tuchel