Pemain Manchester United Ejek Jurulatih Pasukan Seperti Watak Komedi Dalam TV

Manchester United pada musim ini tidak sunyi daripada kontroversi baik di atas mahupun di luar padang. Terbaharu, tersebar khabar angin yang agak kuat kesahihannya bahawa ada sebilangan pemain Manchester United mengejek jurulatih mereka seperti watak komedi dalam televisyen, atau lebih tepat lagi dalam siri yang dikeluarkan di Apple TV.

Pada waktu ini, sebahagian pemain United menganggap latihan yang mereka jalani setiap hari di kelab tersebut adalah versi lapuk dan tidak digunapakai oleh mana-mana pasukan yang besar, dengan Rangnick lebih banyak memberikan tugas melatih para pemain kepada Chris Armas.

Armas, yang dilantik ke jawatan tersebut sebaik sahaja Rangnick duduk di kerusi paling panas di England itu, sebelum ini tidak pernah melatih mana-mana kelab di luar benua Amerika dengan New York Red Bulls dan Toronto FC adalah antara kelab yang menggunakan khidmatnya.

Sejak ketibaannya ke England, ada pemain yang menyamakan Armas dengan watak yang popular, Ted Lasso – watak fiksyen dalam siri di Apple TV. Di dalam siri tersebut, Ted Lasso merupakan jurulatih sebuah kelab bola sepak, AFC Richmond, yang mempunyai pengetahuan yang lemah dalam bola sepak tetapi terus berjuang berdasarkan sifat yakin, keazaman yang tinggi dan biskut.

Di samping corak latihan yang lapuk, ada pemain yang tidak berpuas hati di kalangan mereka kerana sesi latihan Rangnick selalu berdasarkan 11 vs 11. Mereka percaya bahawa corak dan aktiviti yang lebih dinamik adalah lebih berguna di antara setiap perlawanan.

Bagi yang kurang biasa dengan corak latihan bola sepak, selalunya latihan akan bermula dengan small sided games(SSG) atau dalam Bahasa Malaysia disebut perlawanan dalam kawasan kecil. SSG boleh bermula daripada latihan seperti 3 vs 3, 3 vs 5 dan pelbagai lagi.

Kemudian biasanya latihan akan dikembangkan kepada separuh padang dan kemudiannya barulah permainan 11 vs 11.

Jika dilihat kepada latihan jurulatih bernama besar yang lain, corak latihan mereka selalunya seperti yang dinyatakan di atas dengan sesetengah daripada mereka sangat mementingkan latihan dalam kawasan yang kecil sambil menggalakkan hantaran pantas.

Pada bulan lepas, Rangnick dengan tegasnya menyatakan bahawa pembantunya tersebut mendapat sokongan dan dihormati oleh para pemain United.

Akan tetapi, jika dilihat kepada prestasi semasa pasukan yang digelar Syaithon Merah ini, sukar untuk mengatakan bahawa mereka benar-benar berlatih dengan baik.

Sepanjang bulan Januari, United dilihat sangat terkial-kial dalam menjaringkan gol meskipun hampir setiap serangan berjaya memasuki kotak penalti pasukan lawan dan mereka hanya berjaya menjaringkan 11 gol dalam tujuh perlawanan – jumlah yang mengecewakan, ditambah pula dengan gol mereka yang kerap bolos dalam hampir setiap perlawanan.

Para pemain United dilihat seolah-olah tidak mempunyai selera untuk mendapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan dan ketumpulan barisan serangan telah banyak kali mengecewakan penyokong mereka di Malaysia yang sanggup berjaga di awal pagi untuk menonton perlawanan pasukan kesayangan mereka ini.

Cristiano Ronaldo, Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bruno Fernandes dilihat masih lagi tidak dapat menyelesaikan masalah yang sama membelenggu mereka sejak beberapa musim – menjaringkan gol ketika bertemu pasukan yang bermain dengan garisan pertahanan yang rendah.

Paling ketara adalah dalam perlawanan Piala FA, ketika United bertemu pasukan bawahan, Middlesborough. Walaupun berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan dan berjaya menjaringkan gol pendahuluan, barisan penyerang United dilihat benar-benar menghayati persahabatan dengan syaithon di mana mereka telah membazirkan banyak peluang di hadapan gol.

Paling ketara adalah Fernandes yang hanya berdepan dengan gol yang terbuka pada suatu ketika dalam perlawanan tersebut, namun memilih untuk menyepak bola ke arah tiang walaupun penjaga gol Boro sudah pasrah dan berserah.

Dengan beberapa lawan muktabar seperti Manchester City, Tottenham Hotspur, Arsenal dan Liverpool bakal menanti dalam perlawanan liga, United dijangka akan kehilangan banyak mata dan tidak mampu mencabar kedudukan di tangga keempat.

Tambahan pula, amat mustahil untuk melihat United layak ke pentas Liga Juara-Juara UEFA pada musim hadapan selaku juara pada musim ini, dengan ranjau sukar menanti mereka di peringkat 16 pasukan. Juara La Liga musim lalu, Atletico Madrid, sudah bersedia memberikan cabaran dan tekanan kepada anak buah Rangnick nanti.

Sumber cerita : SB, ESPN, The Athletic

BACA:  Mourinho: Pogba Tidak Pernah Minta Untuk Dilepaskan