Pembida Tak Tahu Glazer Tidak Jadi Jual, Nilai Saham MU Jatuh Teruk

Saham Manchester United di NYSE susut ke paras terendah di dalam sejarah setelah perkhabaran keluarga Glazer memutuskan untuk menarik balik penjualan kelab itu semalam.

Sumber kepada kedua-dua pembida utama iaitu Sheikh Jassim dari Qatar dan Sir Jim Ratcliffe pula mendedahkan mereka tidak dimaklumkan oleh pihak Glazer mengenai keputusan itu.

Bagaimanapun perkhabaran kelab itu tidak jadi dijual menyebabkan pada satu peringkat nilai saham United susut sehingga 21% di NYSE – melibatkan kerugian sekitar £600 juta.

Pada November lalu pihak Glazer mengumumkan mereka sedang menilai pilihan untuk mendapatkan pelaburan baharu – termasuk untuk menjual keseluruhan pegangan di dalam kelab.

Namun selepas 10 bulan berlalu, tiada perubahan berlaku walaupun pemilikan kelab tersebut oleh keluarga ahli perniagaan Amerika Syarikat itu terus mendapat bantahan daripada majoriti penyokong Red Devils.

Pada masa ini penyokong United telah melancarkan kempen dan protes membantah keputusan Glazer mengekalkan pemilikan kelab.

Pihak Glazer bertindak sedemikian setelah berpendapat tiada pihak yang berjaya menawarkan bidaan menurut nilai yang mereka mahukan.

Selepas pendedahan pihak Sheikh Jassim dan Sir Jim Ratcliffe tidak dimaklumkan mengenai langkah menarik United daripada dijual, sumber terbaru mendedahkan rundingan akan terus dilakukan selepas ini.

Sehingga kini bidaan daripada kedua-dua pihak dianggarkan sekitar £5 billion. Perbincangan seterusnya akan berkisar bagaimana untuk memenuhi perbezaan nilai yang dimahukan oleh pihak Glazer.

Legenda Manchester United Gary Neville semalam secara terbuka mengkritik keluarga Glazer kerana mempermainkan kelab itu seperti mainan.

Saga penjualan kelab itu turut membuatkan pihak pembida mulai kecewa dengan pendirian Glazer yang tidak menentu.

BACA:  Penyokong Roma Koyak Dihina Ole Gunnar Solskjaer