Penalti Buat Man United Membuatkan Howard Webb Menyesal Sampai Pencen

Howard Webb adalah antara pengadil Liga Perdana Inggeris yang paling diingati oleh para penyokong bola sepak negara penjajah tersebut. Berkepala licin dan berbadan sasa, Webb dilihat sangat tegas dalam menjaga disiplin para pemain di atas padang.

Pun begitu, sebagai seorang insan biasa lemah pada rayuan manja, adakalanya Webb gagal membuat keputusan yang tepat.

Dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2010 antara pasukan kebangsaan Sepanyol menentang Belanda, Webb memikul tugas berat sebagai pengadil di tengah. Pada suatu ketika, pemain Belanda merangkap pemain tengah Manchester City pada waktu itu, Nigel de Jong, telah melakukan satu keganasan di mana dia telah menerajang Xabi Alonso tepat di dada.

Walaubagaimanapun, de Jong tidak dilayangkan kad merah dan tanpa VAR, dia masih mampu meneruskan perlawanan meskipun kekasarannya telah menyebabkan Xabi mengalami kecederaan yang agak menyeramkan.

Selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Sepanyol muncul juara dunia buat pertama kali, Webb dikecam hebat oleh banyak pihak.

Akan tetapi, Webb – yang sering dituduh condong kepada Manchester United dalam banyak keputusan – menyatakan bahawa itu bukanlah satu insiden yang menghantuinya walaupun sudah bersara.

Baginya, tindakannya menganugerahkan sepakan penalti kepada pasukan Syaithon Merah dalam perlawanan liga menentang Tottenham Hotspur di Old Trafford pada musim 2008-09 merupakan detik yang sering terngiang-ngiang di dalam ingatannya.

Tindakan menganugerahkan sepakan penalti selepas Michael Carrick dijatuhkan adalah keputusan yang membuatkan Webb terfikir sampai ke hari ini dan andai dapat diundurkan putaran dunia, ingin Webb ubah semula keputusannya tersebut.

“Yang paling aku ingat adalah dalam perlawanan tu sendiri aku tahu aku silap,” ujar bekas pengadil yang pernah di-troll bakal mengisi kerusi pengurus Manchester United selepas persaraan Alex Ferguson.

“Perlawanan tu adalah di Old Trafford, antara Manchester United menentang Tottenham Hotspur pada tahun 2009.

“Aku nampak Carrick sampai dulu ke arah bola dan kemudiannya penjaga gol tu berlanggar dengan dia. Memang penalti la.

“Aku masa tu jangkakan akan terima bantahan biasa daripada para pemain, tapi bukan air muka yang penuh terkejut, terpana dan rasa tidak percaya daripada Gomes.

“Jelas sekali beberapa saat kemudian aku tahu aku buat silap. Panjang lagi cerita dia sebenarnya.

“Aku terpaksa kekalkan keputusan yang aku ambil tanpa pandangan pihak lain dan dalam hati aku memang aku rasa keputusan tu salah. Aku berharap sangat masa tu Ronaldo sepak tak masuk, tapi masuk pula.”

Webb berharap sangat rasa bersalahnya itu sekadar mainan perasaan dan bukanlah satu kesilapan tetapi selepas wisel penamat ditiup dia tahu dia memang betul-betul telah melakukan kesilapan. Buktinya, jurukamera terus berlari ke arahnya dan bukan para pemain.

“Bila dia [jurukamera] abaikan pemain dan berlari ke arah kau, sebagai pengadil, itu adalah petanda tak baik.

“Kau tahu kau ada dapat penyakit tak lama selepas tu,” ujar Webb lagi.

Dalam perlawanan tersebut, Spurs mendahului United dua jaringan tanpa balas dalam separuh masa pertama, hasil jaringan daripada Darrent Bent pada minit ke-29 dan Luca Modric selang tiga minit kemudian.

Perlu diingat, Manchester United pada zaman tersebut bukanlah Namchester United seperti yang kita saksikan pada hari ini. United pada era tersebut dibarisi pemain yang menggerunkan lawan terutamanya di barisan serangan seperti Nani, Carlos Tevez, Wayne Rooney, Dimitar Berbatov dan juga Cristiano Ronaldo yang masih muda.

Sebaik separuh masa kedua bermula, United melancarkan serangan bertali arus dan berjaya memperoleh sepakan penalti selepas Michael Carrick dijatuhkan oleh penjaga gol Spurs, Huarelho Gomes.

Ronaldo dengan mudah menolak bola ke dalam gol sebelum menjaringkan gol ketiga United pada minit ke-68, selepas Rooney menjaringkan gol seminit sebelumnya. Kemudian Rooney menjaringkan gol keempat United pada minit ke-71 dan Berbatov menambah duka bekas kelabnya itu dengan jaringan kelima ada minit ke-79.

Tanggapan bahawa Webb condong kepada Manchester United juga telah menyebabkan seorang pemain didenda oleh Liga Perdana Inggeris.

Pemain Liverpool Ryan Babel telah menciap gambar Webb memakai jersi United kerana tidak berpuas hati di atas kekalahan pasukannya terhadap musuh tradisi tersebut dalam perlawanan Piala FA 11 tahun lalu.

United dianugerahkan sepakan penalti seawal minit kedua dan pada separuh masa kedua, kapten Liverpool Steven Gerrard telah dilayangkan kad merah.

Tak kisahlah apa yang Babel atau orang lain fikir, apa yang penting penalti United menentang Spurs adalah keputusan yang paling menghantui Webb sampai ke pencen.

Sumber : SB

BACA:  Carrick Alami Kemurungan Selepas Tewas Dalam Final UCL 2009 Kepada Barcelona