Penyokong Manchester United dan Leeds United Dirakam Bergaduh Sampai Membaling Kerusi

Selepas lebih setahun bermain di stadium kosong, akhirnya pasukan Liga Perdana Inggeris mendapat pelepasan daripada kerajaan mereka untuk membenarkan kedatangan penyokong ke stadium sekaligus memeriahkan lagi perlawanan, berbanding penggunaan rakaman sorakan ketika kemuncak pandemik Covid-19 di negara tersebut.

Dalam salah satu daripada perlawanan pembukaan semalam, Manchester United menerima kunjungan seteru lama mereka, Leeds United, sekaligus menyemarakkan semula api kebencian di dalam stadium selepas berbelas tahun penyokong kedua-dua pasukan tidak bersua di dalam liga.

Seperti yang dijangka, pertembungan kedua-dua belah penyokong ini pasti akan mencetuskan pergaduhan di mana mereka dilihat bertempur di tengah-tengah bandaraya dengan saling membaling kerusi, sampai memaksa campur tangan pihak polis.

Pihak polis Greater Manchester telah mengeluarkan kenyataan yang berbunyi;

“Peronda di tengah pusat bandar mendapat laporan bahawa ada beberapa insiden terpencil di beberapa premis di kawasan ini.

“Kami sedang menyiasat dengan teliti dengan kerjasama premis yang terlibat untuk membantu mengenal pasti sebarang salah laku dan cuba menanganinya secepat mungkin. Setakat ini tiada lagi sebarang tahanan dilakukan.”

Kejadian ini amat mendukacitakan para penyokong bola sepak di negara tersebut kerana mereka sudah menunggu lama untuk merasai suasana sebenar bola sepak di dalam stadium.

Kalau kerusi yang dibaling tu sampai Malaysia, mesti ramai yang berebut.

Apapun, memandangkan bola sepak bolehb diibaratkan sebagai satu agama di sana, pihak polis sudahpun bersiap sedia dalam menghadapi insiden-insiden yang tidak diingini daripada berlaku.

“Sejak jadual dikeluarkan, kami telah bekerja sama dengan kelab Manchester United, kelab penyokong kedua-dua pasukan, pihak berkuasa tempatan dan beberapa pihak yang relevan untuk memastikan kesemua penyokong yang hadir boleh menikmati suasana perlawanan dalam situasi yang selamat,” ujar pihak polis Greater Manchester lagi.

“Akan ada cabaran tentang perlawanan ini (United vs Leeds) dan kami letakkannya sebagai risiko tinggi, sebab itu lah kami bekerjasama dengan agensi-agensi ini untuk merangka rancangan yang memastikan kesemua penyokong dalam tonton perlawanan tanpa sebarang isu atau ada gangguan daripada penyokong yang lain.”

Dalam perlawanan tersebut, pasukan berjersi merah dengan begitu garang meratah pasukan yang berjersi putih di mana mereka menang lima gol berbalas satu.

Pasukan tuan rumah, Manchester United, memulakan program perlawanan pertama mereka dengan mempersembahkan pemain baharu yang dibeli dari Real Madrid, Raphael Varane, yang diiriingi sorakan daripada para penyokong di stadium.

Dalam perlawanan tersebut, Manchester United terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain tengah sensasi bersama kelab tetapi sendu bersama pasukan kebangsaan, Bruno Fernandes, pada minit ke-30 yang berjaya menyudahkan hantaran pantas daripada Paul Pogba.

Empat minit selepas separuh masa kedua bermula, Luke Ayling telah menyamakan kedudukan menerusi satu rembatan padu, ngilu, deras yang tepat ke bucu gawang lantas menewaskan David De Gea.

Tidak menunggu lama, United kembali mendahului Leeds tiga minit kemudian menerusi satu hantaran cantik Pogba kepada Greenwood, yang kemudiannya membawa bola ke dalam kotak penalti lawan sebelum melepaskan rembatan leret, menewaskan Illan Meslier.

Dua minit kemudian, Bruno sekali lagi mencatatkan nama sebagai penjaring menerusi satu rembatan leret selepas sekali lagi menerima hantaran daripada Paul Pogba. Rembatan tersebut asalnya dilihat dapat diselamatkan oleh pertahanan Leeds, namun dengan menggunakan Goal Line Technology (GLT) pengadil telah mengesahkan bahawa gol itu benar, bola masuk itu benar, penjaga gol tertewas itu benar.

Selang lima minit kemudian, hantaran jauh daripada Victor Lindelof disambut kemas oleh Bruno, yang kemudiannya meledakkan satu rembatan padu dan deras ke dalam gol Leeds, sekaligus menjadi pemain United yang pertama sejak musim 1977-78 yang menjaringkan hatrik dalam perlawanan pembukaan.

Melengkapkan kemenangan pasukan Syaithon Merah ini, Pogba sekali lagi mencatatkan nama dalam rekod assist apabila lorongannya ke tengah kotak penalti Leeds disambar oleh Fred.

sumber berita : Mirror

BACA:  Mourinho: United Tidak Akan 'Tamak' Ketika Berbelanja Musim Panas Nanti