Perlawanan Brentford Menentang Manchester United Pada Hari Ini Ditunda

Perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester United menentang Brentford di Stadium Community  yang dijadualkan bakal berlangsung pada hari Selasa, telah ditunda akibat penularan wabak Covid-19 di kalangan pemain dan staf kejurulatihan pasukan Syaithon Merah.

Difahamkan, segelintir pemain dan staf kejurulatihan telah didapati positif selepas melalui ujian PCR yang dijalankan secara rutin oleh kelab.

Semalam para pegawai Manchester United telah mengadakan perbincangan dengan pihak penganjur Liga Perdana Inggeris dan menghantar satu permohonan untuk menunda perlawanan menentang Brentford, di atas sebab-sebab keselamatan dan kesihatan kedua-dua pasukan.

Pihak Liga Perdana Inggeris telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi tentang perkara ini.

“Keputusan diambil selepas mengambil kira nasihat dan garis panduan yang diberikan oleh penasihat kesihatan disebabkan oleh keadaan yang agak tegang dek penularan Covid-19 di dalam skuad Manchester United.

“Operasi pasukan utama kelab tersebut telah dihentikan di Kompleks Latihan Carrington pada hari ini bagi membantu mengawal penularan dan mengurangkan risiko jangkitan yang lebih banyak di kalangan pemain dan staf.

“Pihak Liga Perdana mengucapakan semoga cepat sembuh kepada para pemain dan staf yang telah dijangkiti virus Covid-19. Perlawanan yang ditunda ini akan diaturkan semula dengan kadar segera.

“Dengan kesihatan para pemain dan staf menjadi keutamaan, dan mengambil kira peningkatan jumlah kes Covid-19 di seluruh negara, pihak Liga Perdana telah memperkenalkan semula Langkah Darurat.

“Ini termasuk protokol yang memerlukan lebih kerap ujian dilakukan, memakai pelitup muka ketika berada di dalam bangunan, mempraktikkan penjarakan fizikal dan mengurangkan waktu perjumpaan.”

Pada masa yang sama, Manchester United turut mengeluarkan satu kenyataan berhubung perkara ini.

“Pihak kelab mengesahkan bahawa lanjutan daripada keputusan ujian PCR yang disahkan positif Covid-19 di kalangan pemain dan staf pasukan utama, keputusan untuk menutup operasi pasukan utama di Kompleks Latihan Carrington selama 24 jam, bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih banyak.

“Mereka yang diuji positif sedang diasingkan mengikut protokol yang ditetapkan Liga Perdana.

“Dengan penutupan pusat latihan dan gangguan di dalam pasukan, serta kesihatan pemain dan staf menjadi keutamaan, kelab kini sedang berbincang dengan pihak Liga Perdana sama ada selamat atau tidak perlawanan pada hari Selasa menentang Brentford, untuk diteruskan, dari segi perspektif jangkitan covid dan persediaan pemain.”

Pada bulan Julai lalu, sembilan pemain dan staff telah merekodkan keputusan positif virus yang menggegar dunia ini dan memaksa perlawanan pra-musim menentang Preston North End terpaksa dibatalkan.

Walaubagaimanapun, keputusan susulan daripada ujian PCR menunjukkan hasil ujian tersebut adalah positif-salah (false positive).

Kemunculan variant Omicron sejak kebelakangan ini telah menyebabkan peningkatan secara tiba-tiba di United Kingdom, sekaligus merekodkan kenaikan jumlah kes dalam pasukan-pasukan Liga Perdana Inggeris.

Aston Villa telah memilih untuk membatalkan sesi latihan pada hari Ahad di Bodymoor Heath selepas beberapa kes positif ditemukan di kelab tersebut.

Pada hari Rabu minggu sebelumnya, lapan pemain Tottenham Hotspur dan lima daripada anggota kejurulatihan Antonio Conte telah diisytiharkan positif ujian Covid-19.

Maka di atas sebab tersebut, perlawanan antara kelab London Utara tersebut menentang Brighton & Hove Albion terpaksa ditunda. Spurs juga berdepan kemungkinan pembatalan perlawanan Liga Konferens Europa menentang Rennes selepas pertemuan tersebut ditunda.

Dikhabarkan, pihak penganjur tidak akan menjadualkan semula perlawanan tersebut dan tidak dapat dipastikan pasukan manakah yang akan diberikan kemenangan percuma.

Pada hari Sabtu yang lalu pula, West Bromwich Albion turut dikejutkan dengan penularan virus Covid-19 dengan empat pemain pertahanan disahkan positif menjelang pertemuan liga menentang Reading.

Peraturan Covid-19 Liga Perdana Inggeris

Pihak Liga Perdana secara konsisten mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan United Kingdom dalam isu Covid-19. Tiada sebarang pengecualian elit dilakukan.

Jika seorang pemain atau anggota staff kejurulatihan diuji positif terhadap varian Omicron dan staff atau pemain yang lain dikira sebagai kontak rapat. Kesemua mereka perlu duduk di rumah dan mengasingkan diri daripada orang lain selama sepuluh hari.

Peraturan ini turut digunapakai kepada mereka yang sudah lengkap dos vaksin.

Sebelum ini, mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin tidak perlu menjalankan kuarantin kendiri meskipun telah disahkan sebagai kontak rapat. Walaubagaimanapun, kehadiran varian Omicron telah mengubah segalanya.

Sumber : The Athletic

BACA:  FA Cup Suku Akhir: Leicester City 3-1 Manchester United