“Peti Ais Tak Sejuk”- Harry Maguire Teruk Dihentam Selepas Man Utd Sekadar Seri Bertemu Burnley

Ketua pasukan Manchester United, Harry Maguire teruk kena hentam dengan para peminat selepas skuad setan merah itu hanya mampu catatkan keputusan seri sahaja bertemu pasukan tercorot liga, Burnley.

Selepas mendominasi aksi pada babak pertama permainan, Manchester United telah mempamerkan aksi persembahan yang sangat hambar pada aksi babak kedua.

Semuanya serba tidak menjadi untuk skuad Manchester United ketika aksi kunjungan mereka ke Turf Moor untuk bertemu Burnley awal pagi tadi.

Man Utd berjaya mendahului permainan selepas Paul Pogba meledak gol pertama beliau sepanjang musim ini pada aksi babak pertama permainan.

Namun gol pendahuluan tersebut berjaya dipadamkam oleh Jay Rodriguez dua minit sebaik bermula aksi babak kedua permainan.

Pemain penyerang Burnley itu menerima bola hantaran dari Wout Weghorst dan berjaya mengelak dari diperangkap offside oleh Luke Shaw yang berada di kedudukan tak selari dengan barisan pertahanan United yang lain.

Sebaik menerima bola, Rodriguez sebenarnya masih banyak yang perlu dilakukan dengan beliau kemudiannya berjaya melepaskan diri dari Harry Maguire sebelum masuk ke kotak penalti dan melepaskan rembatan menewaskan David De Gea.

Penyokong Manchester United seperti yang dijangka dengan segera menembak Maguire dan menyalahkan beliau kerana gagal mengawal Weghorst dari menghantar bola dan turut sama gagal menghentikan serangan dari Rodriguez.

Peminat di media sosial segera memaki hamun Maguire di laman media sosial dengan kebanyakan mereka meletakkan sepenuh kesalahan di bahu ketua pasukan mereka itu.

“Dia boleh halang Rodriguez tapi dia pilih untuk jadi huru-hara dekat tengah padang dengan tak tahu mana arah dia nak pergi.”

“Dia gagal jadi ketua pasukan yang baik, dia gagal jadi pertahanan yang kebal, dan dia juga gagal jadi peti sejuk yang menyejukkan.”

“Jay Rodriguez tak akan ada kesempatan untuk jaringkan gol kalau Maguire bijak, dia beruntung sebab berdepan dengan pemain pertahanan paling dungu dalam sejarah bola sepak Inggeris.”

“Kenapa mesti dia perlu tunggu Rodriguez dapat bola dan mulakan larian terlebih dahulu? Adakah itu cara dia nak hentikan serangan?”

“Mereka gelar dia peti ais, tapi saya rasa dia jenis peti ais yang tak sejuk, langsung tak berfungsi.”

Melihat kepada komen-komen dari para peminat, jelas sekali mereka sepenuhnya menyalahkan Maguire kerana gagal menghalang Rodriguez dari menjaringkan gol penyamaan.

Jay Rodriguez berjaya menghukum Manchester United yang sememangnya musim ini sering leka pada aksi babak kedua selepas mempamerkan aksi bagus pada babak pertama permainan.

United turut memiliki gol yang dibatalkan oleh pengadil perlawanan dan mereka turut mempunyai deretan peluang keemasan untuk menjaringkan gol pada aksi babak pertama permainan.

Gol tandukan dari Raphael Varane telah dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana offside dan United juga turut mensia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Memandangkan West Ham United berjaya mencatatkan kemenangan menewaskan Watford, maka United terpaksa akur jatuh ke kedudukan kelima kerana keciciran mata bertemu Burnley.

Sememangnya agak menyakitkan untuk diterima oleh peminat setan merah yang mereka hanya mampu mencatatkan keputusan seri sahaja bertemu pasukan tercorot liga.

Tottenham Hotspur, Arsenal dan Wolves berpotensi untuk memintas Manchester United memandangkan mereka mempunyai kelebihan perlawanan yang belum dimainkan.

Melihat kepada kedudukan ini, United sendiri turut berpotensi untuk mengakhiri saingan liga musim ini di luar kedudukan enam teratas dalam carta saingan liga.

Sumber: Manchester Evening News

BACA:  Maguire Jalani Latihan Berintensiti Tinggi 3 Sesi Sehari, Nekad Kekalkan Tempat Bersama MU