Piala Dunia 2022: Jepun Terus Kejutkan Gergasi Eropah, Sepanyol Pula Dilibas Samurai Biru

Jepun Sepanyol

Jepun meneruskan kejutan sensasi dan terbesar di Piala Dunia 2022 apabila satu lagi gergasi Eropah, Sepanyol tercirit dilibas Samurai Biru di perlawanan terakhir kumpulan E.

Jepun melakar kejutan terbesar selepas Arab Saudi menewaskan Argentina apabila membantai Jerman sekaligus meletakkan Jerman diambang penyingkiran apatah lagi selepas Jerman sekadar seri dengan Sepanyol.

Hanya kemenangan sahaja yang akan membawa Jepun mara ke pusingan seterusnya selepas tewas mengejut kepada Costa Rica tatkala cemerlang menumbangkan Jerman.

Dan itulah yang dilakukan oleh Samurai Biru, Sepanyol sekadar menggigit jari dan kemenangan penuh bergaya 4-2 Jerman ke atas Costa Rica tidak bermakna lagi.

Lebih manis apabila Jepun berjaya menjadi juara kumpulan E diekori Sepanyol yang mempunyai kelebihan jaringan selepas menang 7-0 menentang Costa Rica.

Jumlah jaringan yang gagal untuk dipadam oleh Jerman, Sepanyol selesa mara dengan kelebihan perbezaan jaringan sebanyak 6 gol berbanding Jerman hanya satu walaupun berkongsi mata yang sama.

Sepanyol bermula baik untuk menjadi juara kumpulan apabila mendahului Jepun selepas 11 minit perlawanan melalui sundulan Alvaro Morata yang menyempurnakan umpanan Cesar Azpilicueta.

Permainan 45 minit pertama menjadi milik Sepanyol dan baki 45 minit lagi pun dijangka menjadi skuad La Roja namun sebaliknya terjadi.

Samurai Biru mempamerkan aksi kebangkitan di separuh masa kedua apabila terus merapatkan kedudukan selepas tiga minit permainan bersambung.

Penjaring gol penyamaan ketika menentang Jerman, Ritsu Doan yang masuk dari bangku simpanan di babak kedua terus meledak.

Berselang tiga minit kemudian Ao Tanaka meletakkan Jepun mendahului Sepanyol. Permainan menjadi milik Jepun hanya selepas 6 minit sahaja di separuh masa kedua.

Gol kemenangan dari Ao Tanaka ini telah mencetuskan kontroversi terbesar oleh Video Assistant Referee (VAR) setakat Piala Dunia 2022 ini berlangsung.

Jaringan Ao Tanaka ini pada awalnya telah dibatalkan kerana dilihat sudah berada di luar permainan ketika Kaoru Mitoma membuat hantaran kepada Ao Tanaka.

Tetapi selepas pemeriksaan VAR yang panjang, gol itu diberikan kerana bola itu dianggap masih dalam permainan.

Momen yang besar di Piala Dunia kerana gol itu membawa Jepun menduduki tempat teratas dengan Sepanyol menduduki tempat kedua.

Menjelang permainan, terdapat perbincangan mengenai Sepanyol berpotensi menduduki tempat kedua untuk mengelakkan bertemu Brazil sebelum perlawanan akhir.

Bagaimanapun, pengurus Luis Enrique menepis khabar angin itu walaupun mengakui ada terfikir akan perkara itu namun ia penuh berisiko kerana kejutan saat akhir boleh terjadi.

Telahan Luis Enrique itu benar apabila pada minit ke-70 Costa Rica mendahului Jerman 2-1 dan pada ketika itu Jerman dan Sepanyol berada di zon penyingkiran.

Namun Jerman bangkit untuk menang sekaligus menyelamatkan Sepanyol yang gagal untuk mencari gol penyamaan walaupun melancarkan serangan bertali arus ke kubu Jepun.

Satu perjudian yang tidak berbaloi. Sepanyol menyerang Jepun segenap penjuru namun Samurai Biru kental mempertahankan kelebihan untuk mencipta kejutan kedua terbesar di Piala Dunia dalam satu edisi yang sama.

Jepun menewaskan Sepanyol dengan hanya menguasai 17.7 peratus perlawanan, jumlah penguasaan paling rendah pernah direkodkan dalam sejarah Piala Dunia.

Kesebelasan Utama Jepun: Gonda, Itakura, Yoshida, Taniguchi, Junya Ito, Morita, Tanaka, Nagatomo, Kamada, Maeda, Kubo.

Pemain Simpanan : Kawashima, Yamane, Endo, Shibasaki, Doan, Mitoma, Minamino, Tomiyasu, Asano, Sakai, Machino, Ueda, Schmidt, Soma, Hiroki Ito.

Kesebelasan Utama Sepanyol: Simon, Azpilicueta, Rodri, Pau Torres, Balde, Gavi, Busquets, Gonzalez, Williams, Morata, Olmo.

Pemain Simpanan : Sanchez, Garcia, Llorente, Koke, Asensio, Ferran Torres, Raya, Guillamon, Pino, Jordi Alba, Carlos Soler, Carvajal, Sarabia, Laporte, Fati.

Pengadil Perlawanan : Victor Gomes (South Africa)

Jerman 1-2 Jepun

Perlawanan di antara Jerman dan Jepun menjadi perlawanan pembuka tirai bagi kumpulan E yang turut dihuni Costa Rica dan satu lagi gergasi Eropah, Sepanyol.

Isu FIFA tidak membenarkan pasukan bertanding memakai lilitan pelangi menjadi isu kebangsaan di Jerman dan mendapat perhatian naib canselor Jerman Robert Habeck dan Menteri dalam negeri Jerman, Nancy Faeser.

Pendirian FIFA dalam isu lilitan pelangi yang dilarang bagi menghormati Qatar telah dianggap sebagai satu kesilapan besar dan telah menekan persatuan bola sepak Jerman (DFB).

Pasar Raya terbesar di Jerman, Rewe telah menamatkan kempen pengiklanan dengan DFB kerana isu yang sama.

Sementara itu Jepun yang menggalas harapan wakil dari benua Asia tenang sahaja tidak terganggu dengan isu kerana mereka sememangnya terkenal dengan adab dan sopan santun.

Jadi tiada masalah untuk Jepun menghormati pendirian Qatar selaku tuan rumah.

Sebagai tindak balas kepada larangan FIFA itu, pemain Jerman telah membuat bantahan dengan menutup mulut ketika sesi penggambaran pasukan sebelum perlawanan.

Jerman selaku pasukan pilihan tiada masalah untuk menguasai perlwanan usai sepak mula dengan terus memberik tekanan demi tekanan kepada Jepun.

Ilkay Gundogan kehilangan bola mudah dipotong Daichi Kamada dan Jepun terus melakukan satu serangan bola pantas, bola dihantar kepada Daizen Maeda.

Hanya berdepan Manuel Neuer dalam situasi satu lawan satu Daizen Maeda membuat satu tolakan mudah untuk meletakkan Jepun dihadapan.

Pengadil membatalkan jaringan Daizen Maeda yang jelas berada dalam kedudukan offside, memberi kelegaan kepada Gundogan yang kehilangan bola.

Jelas permainan menjadi milik Jerman yang menguasai 3/4 perlawanan di mana Jepun hanya mampu berkampung di kawasan sendiri.

Pada minit ke-16, Anthony Rudiger hampir meletakkan Jerman di hadapan namun sundulannya sedikit tersasar untuk sepakan gol.

Jerman datang lagi empat minit kemudian melalui satu rembatan padu Joshua Kimmich yang berjaya dinafikan penjaga gol Jepun, Shuichi Gonda.

Permainan terlalu bersahaja Jerman yang mungkin memandang rendah Jepun hampir terhukum lagi dengan serangan balas pantas hasil dari kehilangan bola mudah.

Percubaan bertali arus terus dilancarkan oleh Jerman tanpa belas.

Jerman akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan melalui sepakan penalti yang telah disempurnakan oleh Ilkay Gundogan pada minit ke-33.

Penjaga gol Jepun, Shuichi Gonda, telah menjatuhkan David Raum dua kali berturut-turut, kali pertama kelihatan seperti David Raum bersimulasi namun yang kedua jelas ada sentuhan ketika bola sudah tiada.

Bertubi-tubi serangan Jerman untuk menggandakan kedudukan dan di penghujung perlawanan berjaya menjaringkan gol kedua.

Gol berpunca dari percubaan Josuha Kimmich yang berjaya diselamatkan Shuichi Gonda dan bola muntah disambar terus Kai Havertz.

Namun pengadil menghentikan perlawanan kerana VAR mencari kecurangan jaringan tersebut sebelum dibatalkan kerana offside.

Jerman meneruskan rentak garang mereka untuk baki 45 minit kedua bagi memastikan kemenangan selesa dan tiga mata pertama menjadi imbuhan dari perlawanan ini.

Jamal Musiala telah mempamerkan aksi solo memukau melepasi kepungan tiga pemain Jepun tetapi rembatannya jauh melangkaui palang.

Minit ke-60 Gundogan hampir menggandakan kedudukan dengan rembatan jauh yang dinafikan tiang walaupun semua sudah tertewas.

Jepun membalas dengan satu serangan balas pantas yang tidak menepati sasaran.

Jepun dilihat semakin bertaring dan cuba mahu mendapatkan mata mengasak Jerman tapi dinafikan sentuhan penyudah.

Jerman terus membalas secara brutal dengan empat percubaan berturut dalam satu serangan memaksa penjaga gol Jepun bekerja menghadang dan menepis.

Jepun tidak goyang membalas kembali tapi Neuer masih kebal dan berkelas dunia. Tindakan susulan pula ke gawang terbuka ke laut.

Pada minit ke-60, jelas Jepun menukar mode mereka kepada mode menyerang dan pada minit ke-75 Ritsu Doan berjaya menyamakan kedudukan.

Hanya empat minit diperlukan Ritsu Doan berada di padang untuk memberi impak. Semangat Samurai terus meningkat, Jerman terus ditekan.

Pada minit ke-83 seorang lagi pemain gantian yang masuk pada minit ke-57, Takuma Asano membawa perubahan untuk Jepun bangkit berada di depan.

Satu kebangkitan sensasi telah dicetuskan oleh Jepun dengan dua gol terhasil dalam tempoh 8 minit sahaja untuk meraih tiga mata berharga.

Kesebelasan Utama Germany: Neuer, Sule, Rudiger, Schlotterbeck, Raum, Kimmich, Gundogan, Gnabry, Muller, Musiala, Havertz.

Pemain Simpanan: Ginter, Kehrer, Goretzka, Fullkrug, Gotze, Trapp, Klostermann, Brandt, Hofmann, Sane, Gunter, ter Stegen, Adeyemi, Kotchap, Moukoko.

Kesebelasan Utama Japan: Gonda, Sakai, Itakura, Yoshida, Nagatomo, Tanaka, Endo, Junya Ito, Kamada, Kubo, Maeda.

Pemain Simpanan: Kawashima, Yamane, Taniguchi, Shibasaki, Doan, Mitoma, Minamino, Morita, Tomiyasu, Asano, Machino, Ueda, Schmidt, Soma, Hiroki Ito.

BACA:Β  Ramalan Wenger Pada 2016, Takuma Asano Bakal Jadi Penyerang Masa Depan Ternyata Benar