Presiden UEFA Akui Format EURO 2020 Tidak Adil dan Memberikan Kelebihan Kepada Pasukan Seperti England

Untuk menyambut sambutan 60 tahun penubuhan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), badan bola sepak ini telah mengambil keputusan yang pelik pada tahun 2012 di mana mereka telah bersetuju untuk menganjurkan kejohanan Euro 2020 di seluruh benua tersebut, berbanding satu atau dua negara penganjur sahaja seperti dalam edisi-edisi sebelum ini.

Tindakan ini ternyata terkeluar daripada tradisi yang dimulakan sejak tahun 1958 tersebut. Ketika keputusan dibuat, segalanya nampak adil dan saksama namun dengan terjadinya pandemik Covid-19 bermula pada tahun lalu, keindahan bertukar kepada mimpin ngeri terutamanya kepada para penyokong.

Bagaimanapun, perkara yang paling kontroversi dalam kejohanan ini adalah bilamana ada sesetengah pasukan yang mendapat kelebihan dengan bermain di tanah air sendiri sahaja dalam kebanyakan perlawanan.

Kalau kita lihat, format sebegini sangat membantu pasukan England, ditambah pula dengan perlawanan separuh akhir dan akhir nanti akan dimainkan di stadium mereka sendiri, Stadium Wembley.

Bukan itu sahaja.

Malah kesemua pasukan yang bertanding di separuh akhir termasuk Itali, Sepanyol dan Denmark, bermain perlawanan peringkat kumpulan di tanah air mereka sendiri.

Sejauh mana sistem ini memberi kelebihan kepada negara seperti England mungkin tidak boleh dikaitkan kerana sebelum ini pasukan tuan rumah juga mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri, namun amat difahami jika penyokong di benua Eropah menuduh UEFA berlaku tidak adil dalam kejohanan pada kali ini.

Pandangan tentang ketidakadilan UEFA ini turut disokong oleh presiden UEFA sendiri, yang mengatakan pada minggu ini di mana keputusan yang diambil oleh presiden sebelumnya, Michel Platini, adalah tidak adil.

Aleksander Ceferin secara terbuka mengakui bahawa sistem dan format Euro 2020 adalah tidak adil bagi penyokong dan berpendapat bahawa perbezaan jarak yang perlu dilalui oleh pasukan yang bertanding dan penyokong adalah satu idea yang tidak patut.

“Aku tak akan sokong lagi idea macam ni,” ujar Ceferin kepada BBC Sport.

“Dari satu segi, memang tak patut sesetengah pasukan perlu bermusafir lebih daripada 10,000 km manakala yang lain hanya berjalan sejauh 1000 km.

“Sangat tak adil bagi penyokong, yang kena hari ni kena berada di Rom, dan kemudiannya di Baku pada hari berkutnya [jarak sejauh 4500km] – yang ambil masa kira-kira empat jam setengah waktu penerbangan.

“Kita terpaksa bergerak banyak sangat, ke negara yang mempunyai peraturan berbeza, matawang berbeza, negara dalam Kesatuan Eropah dan bukan Kesatuan Eropah, jadi memang leceh tau dak.

“Format ni dipersetujui sebelum aku datang [pegang jawatan] dan aku hormat perkara ni.

“Idea ni sangat menarik tapi sangat susah untuk dilaksanakan dan aku rasa memang kita tak buat dah lagu ni.”

Perbezaan jarak perjalanan antara pasukan yang bertanding adalah sangat ketara jika dilihat semula. Pasukan Switzerland merekodkan jarak perjalanan sejauh 15,485km hanya untuk bermain sebanyak lima perlawanan.

Manakala pasukan Scotland, merekodkan jarak perjalanan yang paling sedikit – 1108km, dan itupun masih belum mampu untuk layak melepasi peringkat kumpulan.

Jarak perjalanan pasukan England pula hanya bertambah 1770 km kerana perlawanan suku akhir diadakan di Rom. Kalau tidak, memang berkurung di tanah air sendiri sahaja pasukan yang digelar Tiga Singa ini.

Kalau kita semak balik rekod jarak perjalanan pasukan-pasukan yang bertanding di Euro, jarak perjalanan yang paling sedikit terpaksa ditempuh pasukan mungkin dalam edisi Euro 2004 ketika dianjurkan di Portugal.

Keluasan negara Portugal hanyalah 92,212 kilometer persegi – besar sedikit sahaja daripada Negeri Sabah. Dah la negara kecil, stadium yang digunakan pula ada yang terdapat di bandar yang sama, di mana sebanyak dua stadium digunakan masing-masing dari Wilayah Lisbon dan Porto. Silap-silap para pemain pun ada bertembung sesama mereka sewaktu membeli belah cenderamata sementara nak tunggu waktu latihan.

Kalau nak kira pun, jarak stadium yang paling jauh adalah Estadio Municipal de Braga, di wilayah Braga dan juga Estadio Algarve di wilayah Faro. Jarak antara kedua-dua wilayah ini hanyalah 600km – lebih kurang sama jarak Kelantan dan Kuala Lumpur. Kalau naik kapal terbang pun dalam 40 minit je.

Edisi Euro 2024 nanti akan diadakan di Jerman. Jadi tiada lagi isu mengarut pasukan dan penyokong perlu bermusafir jauh-jauh seperti tahun ini.

Sumber rujukan : GMS, stadiumdb

BACA:  Presiden UEFA Selar Jurgen Klopp dan Pep Guardiola