PSG Dianggap Lebih Lemah Selepas Kehadiran Messi

PSG dianggap lebih lemah selepas kehadiran Messi dan mereka dikatakan lebih bagus sebelum adanya bintang Argentina itu.

Ia merupakan dakwaan yang dilakukan oleh Michael Owen yang menganggap Paris Saint Germain semakin lemah selepas mereka menandatangani Lionel Messi.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu melakukan debut pertamanya sebagai kesebelasan utama PSG ketika aksi bertemu Club Brugge dalam saingan Champions League awal pagi tadi.

Messi dalam perlawanan itu telah digandingkan dengan Kylian Mbappe dan Neymar di bahagian jentera serangan PSG, namun mereka hanya mampu membantu kelab mencatatkan keputusan seri 1-1 sahaja.

Owen memberitahu BT Sport yang beliau tidak yakin dengan jentera serangan PSG dalam pertandingan ini walau kemampuan semua pemain tersebut diakui antara yang terhebat di dunia.

“Semakin kita melihat kepada mereka, skuad PSG ini dengan jentera serangan mereka, ia jelas mereka ada pemain yang menakjubkan.”

Jelas Michael Owen.

“Tapi tiga pemain bersama menjadikan mereka semakin lemah bagi saya dan saya tak faham mengapa mereka dianggap pilihan utama kejohanan (Champions League). Saya rasa pasukan dari England (Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Manchester United jauh lebih bagus.”

Messi bukanlah satu-satunya nama besar yang ditandatangani oleh Paris Saint Germain pada musim panas ini.

Gianluigi Donnarumma, Sergio Ramos dan Gini Wijnaldum turut ditandatangani secara percuma oleh PSG pada musim panas ini, sementara mereka turut membeli Achraf Hakimi dari Inter Milan dengan yuran perpindahan bernilai £50 juta.

Owen kemudiannya menambah lagi kenyataan beliau dengan menyatakan:

“Saya bahkan rasa penandatanganan pemain seperti Donnarumma dan Sergio Ramos adalah lebih membantu mereka untuk memenangi Champions League berbanding menandatangani pemain seperti Messi.”

Rio Ferdinand turut memberi pandangan beliau terhadap trio ‘MNM’ itu dengan menyatakan bahawa:

“Kita boleh lihatnya di PSG.”

Jawab Ferdinand.

“Terlalu banyak kesempatan ketika mereka tidak berkerja dengan lebih keras. Kita lihat mereka di Anfield, mereka hanya berjalan-jalan. Itu masalahnya.”

“Saya fikir jika Messi datang sini, Mbappe akan kata, ‘saya akan tunjukkan pada Messi kemampuan saya’. Neymar ketika dia beraksi bersama Messi di Barcelona, dia sangat luar biasa menakjubkan.”

“Kamu tentu sangat teruja untuk melihat mereka dapat semula rentak permainan mereka.”

“Jika ia berjaya, ia bakal menjadi masalah besar untuk semua orang. Tapi itu ‘kalau’.”

PSG kini berada dalam kumpulan A bersama Manchester City, Club Brugge dan RB Leipzig dengan mereka dianggap pilihan utama untuk mara ke peringkat seterusnya.

Selepas tamat aksi minggu pertama, skuad kendalian Pep Guardiola berjaya muncul sebagai pendahulu, selepas kejayaan mereka membelasah Leipzig 6-3 awal pagi tadi.

Manchester City selepas ini bakal beraksi bertemu Paris Saint Germain pada 28 September nanti, dengan para peminat berharap agar trio ‘MNM’ bakal berjaya mendapatkan semula rentak persembahan terbaik mereka.

Walau bagaimanapun, adakah pendapat Michael Owen yang menyatakan PSG semakin lemah selepas menandatangani Messi boleh diterima? Bincangkan di ruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Di Canio Bandingkan Messi Dan Ronaldo Dengan Kenyataan Yang Agak Brutal