Rashford Dedah Liverpool Adalah Kelab Yang Paling Beliau Benci

Bintang Manchester United, Marcus Rashford telah mendedahkan yang beliau sememangnya tidak suka dengan naib juara saingan Premier League musim lalu, Liverpool.

Rashford membesar di Selatan Manchester dan sudah tentu beliau merupakan penyokong tegar skuad setan merah sejak kanak-kanak lagi.

Beliau menyertai akademi Manchester United sejak usia enam tahun dan beliau kini sudah membuat 303 penampilan sejak dari awal debutnya bersama skuad senior pada tahun 2016 yang lalu.

Memandangkan latar belakang beliau sememangnya membesar sebagai penyokong setan merah dan beliau juga merupakan antara pemain paling lama di Old Trafford, maka boleh difahami mengapa beliau sangat membenci Liverpool.

Dalam satu temu bual untuk UNINTERRUPTED bersama Daniel Kaluuya, Rashid Johnson dan LeBron James, pemain berusia 24 tahun itu telah menamakan kelab yang sememangnya beliau benci.

“Yeah, Liverpool. Saya tak suka Liverpool. Liverpool ada sejarah jadi sebab itu saya tak suka mereka.”

“Tapi dengan (Manchester) City kita memang tak suka mereka, cuma kita memang tak ada sebab nyata mengapa kita tak suka mereka.”

“Kita sekadar membesar dan ada dua Manchester. Satu pakai biru, satu pakai merah.”

“Tapi perseteruan bersama Liverpool sememangnya sangat mendalam.”

Kenyataan dari Marcus Rashford jelas sekali bakal memberi kegembiraan kepada para penyokong setia Manchester United, namun jelas sekali para penyokong Liverpool tidak akan gembira tentang hal tersebut.

Liverpool pada ketika ini sedang melalui detik kesukaran dengan beberapa pemain dibelenggu masalah kecederaan ketika sesi jelajah Asia pada musim panas ini.

Mereka juga tidak berada di tahap persembahan terbaik pasukan dengan The Reds baru sahaja dibelasah 4-0 oleh Manchester United di Bangkok.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu pada musim lalu telah melalui musim yang sangat sempurna dan mereka turut hampir untuk memenangi gelaran quadruple.

Liverpool berjaya layak ke pentas perlawanan akhir saingan Carabao Cup, FA Cup dan Champions League.

The Reds berjaya memenangi dua dari tiga perlawanan akhir tersebut, namun malangnya mereka gagal untuk menewaskan Real Madrid di pentas perlawanan akhir saingan Champions League.

Liverpool juga turut berjaya mencabar Man City untuk merebut gelaran Premier League sehingga hari terakhir saingan liga.

Musim baharu ini mereka jelas sekali sangat berharap agar mereka akan mampu mengulangi kejayaan sama dan akan mencapai kejayaan lebih besar lagi.

Manchester United sementara itu telah melalui musim yang sangat mengecewakan pada musim lalu, dengan mereka mengakhiri saingan liga di kedudukan keenam dan mereka juga turut mengutip kutipan mata paling rendah dalam sejarah kelab.

Skuad setan merah pada ketika ini sedang dikendalikan oleh Erik Ten Hag dan sudah tentu para peminat sangat berharap agar pengurus dari Belanda itu akan mampu menaikkan semula kelab.

Ten Hag cemerlang memimpin skuad Manchester United untuk memenangi dua dari dua perlawanan pertama beliau.

Walau ia sekadar perlawanan persahabatan, namun harus diakui yang corak permainan skuad Manchester United pada ketika ini sangat berbeza berbanding apa mereka pamerkan pada musim lalu.

Mereka berjaya menjaringkan lapan gol dari kedua-dua perlawanan tersebut dan lebih menakjubkan lagi mereka hanya mencatatkan satu bolos sahaja sepanjang tempoh tersebut.

Melihat kepada apa yang mereka persembahkan pada ketika ini, ramai yang percaya Manchester United bakal mampu untuk memenangi sesuatu pada musim baharu ini.

Adakah Manchester United akan mampu menjuarai saingan Premier League musim baharu nanti?

Sumber: SPORTbibble

BACA:  Mourinho Bidas Anak Buah Kerana Dibolosi Seawal Minit Pertama