Reaksi Grealish Selepas Dihentam Oleh Roy Keane

Jack Grealish telah mengeluarkan kenyataan untuk membalas kritikan yang dilemparkan oleh Roy Keane ke atasnya selepas tamat aksi perlawanan akhir saingan Euro 2020.

Legenda Manchester United itu telah mengkritik Jack Grealish dan Raheem Sterling kerana membenarkan Bukayo Saka untuk menjadi pengambil sepakan penalti kelima ketika aksi penentuan sepakan penalti bertemu Itali.

Saka tampil untuk mengambil sepakan penalti penentu, namun beliau gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Bukan kegagalan beliau yang dikesalkan oleh kebanyakan peminat, namun keputusan skuad England untuk membenarkan pemain muda seperti itu untuk menggalas tugas berat yang dipertikaikan oleh ramai pihak.

Keane antara individu yang jelas tidak berpuas hati melihat pemain muda itu diberikan tugas yang berat, lalu menyebabkan beliau telah bersuara dan mengkritik Grealish dan Sterling dengan menyatakan:

“Jika saya adalah Sterling atau Grealish, saya tak boleh sekadar duduk di sana dan membiarkan budak kecik lebih ke depan berbanding saya.”

“Saya tak boleh sekadar duduk di sana dan lihat saja budak muda berusia 19 tahun, berjalan dihadapan saya dengan saya bermain lebih banyak perlawanan, saya mempunyai lebih banyak pengalaman.”

Komen tersebut sampai ke telinga Grealish, dengan bintang Aston Villa itu jelas tidak gembira dengan kritikan yang dilemparkan oleh Keane.

Beliau sendiri sebenarnya pernah bekerjasama dengan legenda Ireland itu ketika kariernya menjadi penolong pengurus Aston Villa.

Grealish telah mendedahkan di laman twitter miliknya yang beliau sendiri sebenarnya sudah memberitahu Gareth Southgate bahawa beliau mahu mengambil sepakan penalti tersebut.

“Saya dah kata saya mahu mengambil sepakan penalti itu!!”

Tulis Grealish.

“Pengurus telah membuat banyak keputusan yang tepat sepanjang kejohanan ini dan begitu juga pada malam ini! Tapi saya tak nak orang katakan yang saya tak mahu ambil peno sedangkan saya memang mahu.”

Marcus Rashford dan Jadon Sancho kedua-dua mereka telah dibawa masuk pada penghujung aksi masa tambahan dengan tujuan untuk mengambil sepakan penalti.

Namun begitu, keputusan Southgate itu sepertinya tidak berbaloi memandangkan kedua-dua mereka gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Selepas tamat perlawanan, Southgate mengatakan yang beliau bertanggungjawab atas kegagalan dalam aksi sepakan penalti tersebut dan menafikan segala kritikan ke atas pemainnya.

“Saya yang memilih pemain mana yang harus sepak.”

Jelas pengurus England itu kepada The Guardian.

“Saya beritahu pemain yang tiada sesiapa yang akan bersendirian dalam situasi tersebut. Kita menang dan kalah bersama-sama sebagai satu pasukan. Mereka sangat akrab selama ini dan ia harus dikekalkan.”

“Ia merupakan keputusan saya untuk memberikan Saka tugas mengambil sepakan penalti itu. Itu sepenuhnya tanggungjawab saya. Ia bukan salah Marcus atau Jadon. Kami sudah melalui itu ketika sesi latihan. Itulah apa yang kami ikut.”

“Apa yang perlu mereka tahu adalah mereka tidak pernah bersendirian. Kita kalah dan menang bersama-sama sebagai sebuah pasukan. Penalti adalah arahan saya. Kita berusaha ketika latihan.”

“Itu semua bukan salah pemain. Malam ini ia tidak memihak pada kami. Kami tahu mereka adalah pengambil sepakan penalti terbaik yang kami ada di atas padang. Sudah tentu ia sangat mengecewakan para pemain, tapi mereka tak boleh dipersalahkan untuk itu.”

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 sebelum berlanjutan sehingga ke masa tambahan.

Selepas bermain selama 120 minit, masih tiada jaringan tambahan yang berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan menyebabkan perlawanan dilanjutkan lagi ke penentuan sepakan penalti.

Grealish selepas tamat aksi kekalahan England di tangan Itali

Itali berjaya menewaskan England dalam aksi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-2 seterusnya membawa pulang Piala kejuaraan ke bumi Rome.

Sepakan penalti dari Jorginho dan Andrea Belotti berjaya diselamatkan oleh penjaga gol England, Jordan Pickford.

Namun penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma yang telah menjadi wira dalam perlawanan ini selepas beliau menafikan sepakan penalti terakhir England yang diambil oleh pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka.

Marcus Rashford dan Jadon Sancho yang kedua-dua mereka dibawa masuk pada minit ke-120 tambahan masa turut gagal untuk menjaringkan gol ketika aksi penentuan sepakan penalti itu.

Keane ketika mengkritik Sterling dan Grealish

Kedua-dua mereka sememangnya dibawa masuk untuk aksi penentuan sepakan penalti, namun mereka gagal menyempurnakan tugas yang diberi.

Mungkin kedua-dua mereka juga tertekan kerana Southgate memasukkan mereka hanya untuk penentuan sepakan penalti, dan tanggungjawab itu sangat besar dalam perlawanan terpenting negara.

Selepas kedua-dua mereka gagal, tekanan untuk Saka semakin tinggi. Donnarumma membuat jangkaan yang tepat seterusnya berjaya menyelamatkan sepakan penalti Saka untuk mengesahkan kejuaraan European Championship menjadi milik Itali.

Saka yang telah mempamerkan aksi permainan sungguh menakjubkan sepanjang kejohanan ini menangis teresak-esak selepas kegagalan beliau menyempurnakan sepakan penalti itu.

Beliau terlihat sangat kecewa dengan rakan sepasukannya serta pengurus datang menghampiri beliau untuk menenangkannya.

Sumber: SB

BACA:  Keane Bantai Maguire Kerana Terlalu Beriya Meraikan Gol Jaringannya