Ronaldo Minta Maaf Atas Insiden Yang Berlaku Di Goodison Park

Cristiano Ronaldo tampil mengeluarkan kenyataan dan permohonan maaf secara terbuka kepada salah seorang penyokong muda Everton kerana beliau telah menghempas telefon bimbit milik penyokong tersebut.

Ketika sedang berjalan meninggalkan padang, Ronaldo dilihat telah menghempas telefon bimbit milik penyokong tersebut dan hal itu turut dirakam oleh beberapa individu.

Manchester United berkunjung ke Goodison Park untuk beraksi bertemu Everton dalam aksi saingan Premier League malam semalam.

Bertemu pasukan yang sedang bergelut mahu mengelak dari berada di zon penyingkiran sudah tentu menjadi sasaran United untuk mengutip tiga mata penuh.

Tiga mata sangat penting untuk skuad setan merah memandangkan mereka mahu memburu slot layak ke saingan Champions League pada musim hadapan.

Walau bagaimanapun, harapan setan merah terkubur sebaik Anthony Gordon meledak gol kemenangan untuk skuad Everton pada aksi babak pertama perlawanan.

Kekalahan itu jelas sekali sukar untuk diterima oleh kem United dengan Cristiano Ronaldo bersama semua rakan sepasukannya sekadar terus kembali ke bilik persalinan selepas wisel penamat dibunyikan.

Mereka bahkan langsung tak pergi ucap terima kasih kepada penyokong setan merah sendiri yang sanggup datang menyokong mereka di Goodison Park.

Tidak lama selepas tamat perlawanan tersebut, telah tular satu video di media sosial yang memperlihatkan Cristiano Ronaldo telah menghempas telefon bimbit milik salah seorang penyokong.

Dek kerana video itu tular, maka pihak kelab segera mengambil maklum dan menjelaskan yang mereka akan menyiasat hal tersebut.

Tidak lama selepas itu, seorang wanita yang mendakwa beliau ibu kepada penyokong remaja itu memuat naik status di laman media sosial miliknya, dengan beliau dilihat menunjukkan telefon bimbit yang rosak selepas dihempas oleh Ronaldo itu.

Jika dilihat pada video awal yang tular, ia tak nampak seolah-olah Ronaldo sengaja mahu menghempas telefon bimbit tersebut dan beliau dilihat seolah-olah tak sengaja melakukan hal itu.

Walau bagaimanapun, tular pula video lain yang menunjukkan dengan jelas bagaimana Ronaldo dengan emosinya menghempas telefon bimbit tersebut ketika beliau sedang berjalan meninggalkan padang.

Beliau nampak berjalan dengan kesakitan selepas mengalami kecederaan di bahagian ketingnya dan ditambah pula dengan keputusan yang tidak memihak mereka, maka jelas sekali beliau sangat hampa.

Beliau kemudiannya dilihat menghayunkan tangannya dalam keadaan penuh amarah dan menyebabkan telefon bimbit peminat tersebut terhempas.

Walaupun dalam video itu tak memperlihatkan telefon bimbit itu terhempas, namun reaksi penyokong Everton yang ada di kawasan tersebut jelas sekali menunjukkan mereka terkejut dengan tindakan Ronaldo.

Cristiano Ronaldo keluarkan kenyataan dan permohonan maaf

Tidak lama selepas isu tersebut menjadi kecoh dan dibahaskan oleh ramai pihak, Cristiano Ronaldo tampil untuk mengeluarkan kenyataan dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Beliau memuat naik status di laman instagram miliknya untuk meminta maaf atas apa yang berlaku.

“Ia tak mudah untuk mengendalikan emosi di waktu yang sukar seperti apa yang kami sedang hadapi. Namun begitu, kita perlu sentiasa menghormati, bersabar dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak muda yang mencintai sukan yang indah ini.”

“Saya mahu meminta maaf atas ketelanjuran saya dan jika diizinkan, saya mahu menjemput penyokong tersebut untuk menonton perlawanan di Old Trafford sebagai tanda fair-play dan atas dasar semangat kesukanan.”

Di atas padang, Ronaldo dilihat sangat kecewa sepanjang 90 minit aksi dengan jentera serangan United gagal untuk memperoleh gol penyamaan.

Kekalahan ini menyebabkan United semakin jauh tercicir dari Tottenham Hotspur dan Arsenal yang sedang bersaing di kedudukan empat teratas.

Arsenal walau bagaimanapun turut mencatatkan kekalahan ketika aksi bertemu Brighton awal pagi tadi, namun mereka masih kekal mengatasi United.

Tottenham Hotspur sementara itu kenduri gol selepas kejayaan mereka menewaskan Aston Villa 4-0 seterusnya membantu mereka untuk mengesahkan kedudukan keempat dalam carta liga.

Tak dinafikan tindakan beliau meminta maaf sangat mulia apa lagi selepas beliau menjemput penyokong tersebut untuk menonton perlawanan di Old Trafford.

Penyokong remaja itu juga tentunya bakal dapat durian runtuh ketika bertemu Ronaldo nanti, namun tindakan awal beliau melepaskan kemarahan dengan cara seperti itu sangat tak patut.

Sumber: GMS

BACA:  [VIDEO] Ronaldo Jaringkan Gol Tandukan Ke-100 Beliau Ketika Seri Menentang Torino