Ronaldo Percaya United Akan Tetap Menang Piala Musim Ini

Cristiano Ronaldo telah menyatakan yang beliau bersama rakan sepasukannya yang baru di Old Trafford memerlukan masa untuk menyesuaikan diri antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, bintang terhebat sepanjang zaman itu tetap menegaskan yang harapan untuk para peminat melihat mereka menjulang Piala pada musim ini akan jadi kenyataan.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu kembali menyertai kelab pada musim panas baru-baru ini, dan telah memulakan aksi saingan musim ini dengan sangat baik.

Kualiti penyudah yang beliau miliki sama sekali tidak berkurang dengan Ronaldo senantiasa berjaya untuk menjaringkan gol-gol penting dalam membantu United mencatatkan kemenangan.

Ronaldo telah berjaya menjaringkan enam gol dari lapan perlawanan bersama United sejak beliau ditandatangani dari Juventus pada musim panas lalu.

Beliau juga berjaya dua kali menjaringkan gol kemenangan untuk Manchester United dalam saingan Champions League bertemu Villarreal dan Atalanta.

Walau bagaimanapun, perjalanan United pada musim ini berjalan dengan tidak seperti yang diharapkan, selepas mereka mencatatkan beberapa keputusan teruk dalam semua pertandingan.

Walaupun memiliki barisan pemain terhebat dunia, namun United bergelut dengan masalah prestasi dan hal ini jelas sekali memberi tekanan yang teramat sangat ke atas pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer.

Setan merah sepertinya sedikit tergelincir dari perlumbaan untuk merebut kejuaraan liga musim ini dengan mereka gagal untuk mengikuti rapat pendahulu liga, Chelsea, Liverpool dan Manchester City.

Walau bagaimanapun, Cristiano Ronaldo tetap positif yang United akan mampu untuk membuat kejutan dan memenangi Piala pada musim ini.

“Kita sekarang pada pendapat saya yang Manchester United sudah membuat beberapa perubahan, mereka membeli saya, mereka beli Raphael Varane dan Jadon Sancho.”

“Fasa penyesuaian memang memerlukan masa, termasuk sistem permainan yang kami mainkan, tapi saya rasa sedikit demi sedikit kita perlu tanamkan dalam fikiran kita yang semuanya tak mustahil.”

United turut sering dikritik kerana kegagalan mereka memenangi sebarang Piala sejak empat musim kebelakangan ini, dan mereka masih memburu Piala pertama di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Pengurus dari Norway itu mengakui yang kini selepas mendapat sokongan penuh ketika jendela perpindahan sebelum ini, mereka perlu memenangi sesuatu.

Namun United juga sebenarnya sudah terlepas satu Piala dari genggaman mereka selepas skuad setan merah itu tersingkir dari saingan Carabao Cup.

Ronaldo sementara itu masih percaya yang United masih mempunyai peluang andai mereka bermain sebagai satu pasukan dan melakukan yang terbaik untuk kelab.

“Saya tidak bercakap tentang hanya hal peribadi, saya cakap tentang kepentingan sepasukan.”

“Untuk memenangi sesuatu sebagai satu pasukan, saya rasa lebih mudah untuk menang sesuatu secara peribadi, saya masih percaya semuanya boleh berlaku.”

“Semua orang patut tahu peranan masing-masing. Saya tahu peranan saya dalam pasukan, di kelab ini.. Peranan saya adalah untuk menjaringkan gol, untuk bantu pasukan dengan pengalaman saya dan ajar bagaimana untuk faham permainan.”

“Jika semua orang berfikiran begitu, bekorban untuk pasukan, saya rasa kita akan jadi pasukan yang lebih baik. Kita ada penyokong yang mengagumkan di belakang kita, stadium yang hebat, pasukan yang dasyat, jadi kita perlu teruskan begitu.”

United selepas ini akan turun bertemu Liverpool di Old Trafford dalam saingan Premier League, dan hanya kemenangan yang akan kembali menghidupkan harapan untuk mereka kembali mencabar kejuaraan liga.

Seandainya tewas, maka semakin sukar sebenarnya untuk United terus berharap, dan mungkin mereka boleh mula memikirkan cara terbaik untuk mengakhiri saingan liga di kedudukan empat teratas sahaja.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Para Pemain Cambridge Kena Marah Sebab Guna Keraian 'Siuuu'