Ronaldo Punca Prestasi Pemain Lain Merosot

Manchester United tidak dinafikan lagi sememangnya sedang melalui musim yang sangat mendukacitakan pada ketika ini.

Skuad setan merah pada awalnya dijangka akan mampu mencabar kedua-dua kejuaraan Premier League dan Champions League, terutama selepas melihat mereka berbelanja besar pada musim panas lalu.

Cristiano Ronaldo merupakan antara pemain yang ditandatangani oleh Manchester United pada musim panas lalu bersama Raphael Varane dan Jadon Sancho.

Walau bagaimanapun, perjalanan United pada musim ini tidak sama seperti apa yang diharap dan dijangkakan dengan mereka beraksi hambar walau dibarisi pemain-pemain berkelas dunia.

Hasilnya, setan merah kini berada di kedudukan ketujuh dalam carta saingan liga, dan mereka juga empat mata dipisahkan dari merebut kedudukan empat teratas.

Jadi apa sebenarnya masalah utama Manchester United musim ini?

Terdapat terlalu banyak pertikaian yang menyatakan bahawa kehadiran Cristiano Ronaldo merupakan punca mengapa skuad setan merah semakin teruk pada ketika ini.

Kehadiran beliau juga dikatakan telah menyebabkan bakat-bakat lain dalam skuad semakin merosot dan ada antara mereka yang tenggelam terus.

Mengikut statistik, Cristiano Ronaldo merupakan antara pemain paling berprestasi dalam skuad Manchester United pada ketika ini.

Beliau berjaya menjaringkan 14 gol dari 21 perlawanan yang mana ia memang sesuatu yang cukup membanggakan. Beliau boleh dianggap bersendirian dalam membantu setan merah untuk layak ke pusingan kalah mati saingan Champions League musim ini.

Walau bagaimanapun, terdapat pertikaian yang menganggap kesemua kejayaan beliau itu, sebenarnya telah mengorbankan persembahan para pemain lain dalam skuad.

YouTuber bernama Thogden telah meluahkan kemarahan beliau berkait kesukaran jentera serangan United seperti Mason Greenwood, Bruno Fernandes dan Marcus Rashford adalah berpunca dari Cristiano Ronaldo.

Beliau menegaskan yang pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itulah individu yang sepatutnya bertanggungjawab atas kemerosotan prestasi ketiga-tiga pemain seperti Fernandes, Rashford dan Greenwood.

Video beliau kini tular di laman twitter dengan para peminat hangat berdebat tentang hal tersebut.

Lihat video di bawah:

Beliau memulakan video dengan menyatakan:

“Mereka (United) menandatangani Cristiano Ronaldo. Saya rasa itu adalah langkah yang teruk.”

“Ketika kamu memainkan Ronaldo, dia akan jadikan pemain lain sangat teruk. Dan itu adalah fakta.”

“Dia merupakan pusat ketika menyerang. Dia pivot. Kamu akan cari dia. Dia merupakan pusat yang menarik semua tarikan yang ada.”

Sambung beliau lagi.

“Contoh paling baik adalah Mason Greenwood. Ia juga satu kesukaran untuk pemain seperti Cavani, untuk Rashford.”

“Pemain seperti Ronaldo sedang mengetepikan kualiti yang ada pada Sancho, Fernandes, Greenwood, Cavani dan Rashford.”

“Mereka bukan lagi pivot ketika menyerang, ia Ronaldo! Ya dia dapat jaringkan gol, tapi ia beri kesan kepada pemain lain.”

“United perlu melihat ke hadapan, bukan melihat sejarah. Ralf Rangnick perlu sedar masa depan kelab bukan terletak kepada pemain berusia 36 tahun. Sancho, Rashford, Fernandes semua pemain muda ini.”

Tidak kira sama ada Ronaldo bermasalah atau tidak, satu hal yang pasti, Ralf Rangnick sememangnya perlu lakukan sesuatu.

Beliau perlu mengubah suasana dan kedudukan United pada ketika ini dan beliau tidak mempunyai masa yang banyak untuk selesaikan hal tersebut.

Ralf Rangnick setidak-tidaknya perlu memastikan Manchester United akan mampu mengakhiri saingan liga musim ini dikedudukan empat teratas.

Beliau setakat ini baru mencatatkan satu kekalahan sahaja, namun kem United jelas berada dalam keadaan sangat huru hara pada ketika ini.

Jadi, dengan pengalaman yang beliau ada, sudah tentu pihak kelab akan sangat berharap agar Ralf Rangnick mampu untuk berdepan dengan situasi seperti ini.

Sumber: GMS

BACA:  Di Canio Bandingkan Messi Dan Ronaldo Dengan Kenyataan Yang Agak Brutal