Ronaldo Terima Bonus Yang Luar Biasa Lumayan Selepas Catat Hat-trick Bertemu Norwich

Cristiano Ronaldo menerima dua bonus berasingan selepas kejayaan beliau mencatatkan hat-trick ketika membantu Manchester United menewaskan Norwich City 3-2 malam semalam.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu merupakan pemain terbaik setan merah dalam perlawanan semalam dengan kecemerlangan beliau turut membantu menghidupkan semula harapan United untuk mengakhiri saingan musim ini dikelompok empat teratas.

Ronaldo kembali ke Old Trafford pada musim panas lalu dengan menandatangani kontrak yang mengandungi beberapa bonus tambahan.

Ketika mencatatkan hat-trick bertemu Norwich semalam, Ronaldo secara tak langsung telah memenuhi dua syarat untuk membolehkan beliau mendapat ganjaran yang lumayan.

Tiga gol jaringan beliau itu membantu beliau untuk menambah rekod jaringannya pada musim ini dengan beliau kini sudah berjaya menjaringkan 21 gol untuk setan merah.

Kejayaan beliau itu secara tak langsung membantu beliau menerima £750,000 kerana berjaya menjaringkan lebih 20 gol semusim untuk kelab.

Ronaldo juga akan turut menerima tambahan £100,000 untuk setiap gol yang beliau jaringkan selepas melepasi angka 20 gol itu.

Oleh yang demikian, selepas menjaringkan dua gol beliau sudah berjaya menerima £750,000 dan gol menerusi sepakan percuma itu membantu beliau untuk membawa pulang £850,000 secara keseluruhannya.

Cristiano Ronaldo juga akan menerima tambahan £1 juta seandainya beliau mengakhiri saingan musim ini sebagai penjaring terbanyak kelab dan hal itu sepertinya sudah hampir pasti untuk berlaku.

United kini kehilangan khidmat Edinson Cavani untuk tempoh yang panjang kerana beliau dibelenggu masalah kecederaan dan Anthony Martial pula sudah menyertai Sevilla sebagai pemain pinjaman sehingga akhir musim ini.

Mason Greenwood sementara itu sepertinya tidak mungkin akan kembali beraksi pada musim ini, kerana beliau masih lagi sedang menjalani hukuman penggantungan.

Tidak ada mana-mana pemain United pada musim ini yang mampu menjaringkan lebih dari 10 gol dengan yang paling hampir hanyalah Bruno Fernandes yang kini sudah menjaringkan sembilan gol.

Seandainya Ronaldo berjaya menjaringkan 30 gol pada musim ini, beliau bakal menerima bonus tambahan lagi bernilai £2.75 juta.

“Kapten tanpa armband”- Ronaldo buktikan beliau pemimpin sebenar

Cristiano Ronaldo memberi semangat kepada sembilan pemain Manchester United sebelum bermulanya aksi perlawanan bertemu Norwich City malam semalam.

Tindakan beliau itu jelas menunjukkan yang bintang handalan Portugal itu sememangnya ketua semula jadi walau beliau tidak memakai armband.

Melihat kepada reaksi para pemain lain yang turut menghormati beliau, ia jelas menunjukkan yang Cristiano Ronaldo juga sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar di bilik persalinan.

Pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu mencatatkan hat-trick ketika membantu Manchester United menewaskan Norwich City 3-2 semalam.

Kemenangan itu juga membantu setan merah untuk menghidupkan peluang mereka mengakhiri saingan Premier League musim ini di kedudukan empat teratas.

Sejak beliau kembali ke Old Trafford pada musim panas lalu, Ronaldo sebenarnya kerap dihentam oleh pelbagai pihak kerana merasakan beliau sebagai bebanan kelab.

Walau bagaimanapun, beliau tetap cemerlang menjadi pemain utama kelab dan kerap menjaringkan gol-gol penting yang membantu United mencatat kemenangan musim ini.

Pengaruh yang beliau bawa jelas sekali sangat besar dengan Ronaldo merupakan tokoh ikutan serta idola kebanyakan rakan sepasukannya.

Ketika para pemain Manchester United dan Norwich City sedang bersedia untuk berjalan masuk ke padang semalam, Ronaldo menunjukkan yang beliau tahu pengalamannya sangat diperlukan pada ketika itu.

Pemain berusia 37 tahun itu berjalan menuju ke arah penjaga gol, David De Gea dan ketua pasukan Harry Maguire untuk memberi semangat kepada mereka, sebelum berjalan memberi high-five kepada Victor Lindelof, Diogo Dalot dan Alex Telles.

Ronaldo kemudiannya dilihat pergi ke arah Anthony Elanga, Jesse Lingard dan Paul Pogba sebelum Bruno Fernandes datang ke arah mereka.

Satu-satunya pemain yang Ronaldo tak sempat untuk bercakap dan memberi semangat ketika itu adalah Jadon Sancho yang ketika itu meluangkan masa berbual bersama bekas pemain Bundesliga dan penyerang Norwich, Milot Rashica.

Selain memberi semangat Ronaldo turut cemerlang memimpin skuad untuk menewaskan Norwich dalam perlawanan tersebut dengan beliau cemerlang membuka tirai jaringan seawal minit ke-7 permainan.

Ronaldo cemerlang memanfaatkan kesilapan barisan pertahanan The Canaries, yang membenarkan Anthony Elanga menghantar bola kepadanya.

Pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu kemudiannya meledak gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini pada minit ke-32 permainan selepas beliau cemerlang menanduk padu bola dari sudut sepakan penjuru.

Norwich berjaya menjaringkan gol pertama mereka sebelum tamat aksi babak pertama menerusi Kieran Dowell sebelum Teemu Pukki menyamakan kedudukan selepas rehat separuh masa.

Rashica hampir sahaja membantu Norwich untuk melakukan comeback namun malang untuk beliau kerana David De Gea terlalu kebal untuk ditewaskan.

Ronaldo akhirnya berjaya menjaringkan gol ketiga beliau dalam perlawanan ini menerusi sudut sepakan percuma untuk membantu setan merah mencatatkan kemenangan 3-2.

Ia merupakan gol pertama Cristiano Ronaldo menerusi sudut sepakan percuma sejak Julai 2020.

Kekalahan Tottenham Hotspur dan Arsenal kepada Brighton dan Southampton seolah-olah memberi harapan kepada United untuk merampas kedudukan keempat dalam carta saingan Premier League.

Skuad kendalian Ralf Rangnick itu berada di kedudukan ketujuh dalam carta saingan liga pada hujung minggu lalu, dan selepas kemenangan bertemu Norwich mereka berjaya mendaki ke kedudukan kelima.

Manchester United selepas ini bakal berkunjung ke Anfield untuk beraksi bertemu seteru utama mereka, Liverpool.

Ralf Rangnick jelas sekali sedar yang cabaran bakal mereka hadapi selepas ini lebih besar lagi kerana Liverpool jelas sekali pasukan yang sukar untuk dihadapi.

Beliau mendedahkan kepada laman rasmi kelab bahawa:

“Kita perlu bincangkan tentang persembahan kita sendiri. Keputusan hari ini sangat bagus, ia akan meningkatkan momentum kita dan keyakinan pasukan, tapi kita kena lebih realistik.”

“Dengan persembahan seperti itu, boleh dikatakan agak mustahil untuk memenangi sesuatu bertemu Liverpool dan kemudian bertemu Arsenal di Emirates dan bertemu Chelsea di Old Trafford.”

“Kita perlu bermain lebih baik dengan kawalan bola dan lebih menggunakan fizikal serta lebih aggresif. Ini merupakan isu terbesar dan hal terbesar yang membuatkan saya tak gembira hari ini.”

BACA:  Bernardeschi: Ronaldo Lebih Bagus Dari Messi