Rumah Benzema Dirompak Ketika Beliau Sedang Beraksi Bersama Real Madrid

Rumah Karim Benzema dilaporkan telah dipecah masuk dan dirompak ketika beliau sedang beraksi bersama Real Madrid dalam aksi terikat 2-2 bertemu Elche kemarin.

Karim Benzema tidak dinafikan lagi sedang melalui musim yang sungguh menakjubkan pada musim ini, dengan beliau kini sudah berjaya menjaringkan 16 gol dari 17 penampilan dalam semua pertandingan.

Walau bagaimanapun, bintang berusia 34 tahun itu tidak berada di tahap persembahan terbaiknya ketika bertemu Elche, dengan beliau gagal menyempurnakan sepakan penalti buat kali pertama sepanjang kariernya bersama Real Madrid.

Beliau dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan penalti pada minit ke-32 dalam perlawanan tersebut, namun beliau gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Beliau terpaksa di keluarkan oleh Carlo Ancelotti pada minit ke-58 permainan kerana dilihat bermain dalam keadaan menahan kesakitan.

Karim Benzema dikatakan mungkin mengalami kecederaan hamstring dan lebih malang untuk bintang Perancis itu, sebaik beliau pulang ke rumah selepas tamat perlawanan, beliau mendapati yang rumahnya sudah dipecah masuk.

Menurut sumber laporan dari 20 minutes, rumah Benzema di San Sebastian de los Reyes di Madrid telah dimasuki oleh perompak menerusi taman di belakang rumahnya.

Sehingga sekarang, masih tiada maklumat lengkap tentang apa barang yang telah dicuri atau apa kerugian yang ditanggung oleh Benzema selepas rumahnya dirompak.

Ini bukanlah kali pertama rumah Karim Benzema dirompak ketika beliau sedang beraksi di padang, dengan insiden hampir sama turut pernah berlaku ketika beliau beraksi dalam aksi El Clasico pada Februari 2019.

Benzema baru-baru ini turut mencetus sensasi di internet selepas beliau mendakwa sesiapa sahaja yang mengkritik Lionel Messi, orang itu sebenarnya buta bola sepak.

Benzema dakwa pengkritik Messi sebenarnya buta bola sepak

Penyerang utama Real Madrid, Karim Benzema tampil menghentam para pengkritik Lionel Messi dengan mendakwa mereka semua sebenarnya langsung tak tahu pasal bola sepak.

Persembahan Messi bersama Paris Saint Germain pada ketika ini sering dipertikaikan oleh para peminat dengan ramai yang menganggap beliau berada di titik terlemah sepanjang kariernya.

Pemain berusia 34 tahun itu hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja dari 11 penampilan dalam saingan Ligue 1 pada musim ini.

Namun begitu, persembahan beliau dalam saingan Champions League masih lagi mantap dengan Messi sudah berjaya menjaringkan lima gol dari lima penampilan.

Bekas pemain penyerang Barcelona itu kini telah menerima sokongan moral dari bekas seterunya dalam saingan La Liga, Karim Benzema yang mempertahankan kehebatan Messi.

Benzema menganggap Messi sebenarnya hanya sukar untuk beradaptasi dengan pentas bola sepak Perancis dan persembahan beliau sebenarnya tidak merosot.

Benzema menjelaskan kepada media Perancis, TF1 bahawa:

“Bagaimana mungkin dia tak akan berjaya?”

“Ia hanya jangka masa untuk menyesuaikan diri kerana dia tidak menjaringkan gol yang banyak. Tapi lihatlah apa yang telah dia lakukan di atas padang.”

“Dalam apa jua situasi, kamu tak boleh mengkritik pemain seperti itu. Sesiapa sahaja yang mengkritik Messi, mereka sebenarnya langsung tak tahu pasal bola sepak.”

Benzema bakal turun beraksi bertemu Messi sendiri bulan hadapan, kerana Real Madrid telah diundi untuk bertemu dengan Paris Saint Germain dalam saingan Champions League.

Madrid akan berkunjung ke Parc des Princes pada 15 Februari nanti, dengan aksi timbal balik pusingan 16 terbaik itu akan dilangsungkan di Bernabeu pada 9 Mac nanti.

“Pertemuan bertemu PSG tidak mungkin akan menjadi perlawanan yang mudah.”

Tambah Benzema lagi.

“Sejujurnya saya lebih sanggup untuk berdepan dengan pasukan lain.”

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Karim Benzema Terlalu Teruja Kerana Dipuji Oleh Lionel Messi