“Saya Gembira Dia Sudah Vaksin” – Bojan Gembira Daniel Ting Kembali Ke Liga Super

Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasminya telah menandatangani bekas bintang Kuala Lumpur City FC, Daniel Ting dan hal itu telah diumumkan sendiri oleh Harimau Selatan kemarin.

Daniel Ting sebelum ini hangat dikaitkan dengan perpindahan menyertai JDT dengan beliau pada ketika itu memilih untuk berehat sebentar dari dunia bola sepak.

Daniel Ting dilihat menonton aksi perlawanan JDT bertemu Selangor di Stadium Sultan Ibrahim kemarin, dan hal itu menyebabkan beliau semakin hangat dikaitkan bakal menyertai Juara bertahan saingan Liga Super Malaysia itu.

Beberapa hari selepas itu, JDT benar-benar mengesahkan yang Daniel Ting sudah menjadi milik mereka.

Pengumuman itu juga secara tak langsung mengakhiri spekulasi hangat melibatkan masa depan bekas bintang KL City itu.

Daniel Ting pernah beraksi bersama JDT pada tahun 2016 yang lalu sebelum memilih untuk beraksi bersama Kuala Lumpur City FC.

Beliau sebelum ini menolak untuk menyambung kontraknya bersama KL City kerana tidak mahu menerima suntikan vaksin C0V-19.

Peraturan dalam saingan Liga Malaysia pada ketika itu telah menetapkan yang semua pemain perlu menerima suntikan vaksin andai mahu didaftarkan dan beraksi bersama kelab masing-masing.

Dek kerana Daniel Ting memilih untuk menolak vaksin, maka beliau memutuskan untuk pulang ke England dan berehat sebentar dari dunia bola sepak.

Bojan Hodak gembira Daniel Ting kembali 

Bercakap ketika sesi sidang media, Bojan Hodak telah ditanya tentang berita berkait Daniel Ting menyertai JDT.

“Coach, apa pandangan kamu tentang perpindahan Daniel Ting ke JDT selepas dia meninggalkan KL tahun ini sebagai anti vaksin?”

Soal Zulhelmi Zainal Azam kepada Bojan Hodak.

“Saya sangat gembira mendengar dia sudah mengambil vaksin dan dia kembali, saya gembira untuk dia kerana dia mendapat gaji tiga kali ganda lebih tinggi di Johor”

Jawab Bojan Hodak sambil mengukir senyuman manis.

“Sekali lagi, ia (gaji) adalah satu hal yang kita tak boleh lawan dan pemain berhak untuk itu, bagi saya, saya ucapkan selamat maju jaya.”

“Dia adalah seorang pemain yang bagus, dia juga telah lakukan yang terbaik untuk kelab kami dan saya ucapkan selamat maju jaya untuk dia di masa hadapan.”

Daniel Ting ditandatangani untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Mauricio yang telah meninggalkan JDT baru-baru ini.

Mauricio telah mengakhiri karier empat tahun yang sangat gemilang bersama JDT dengan beliau turut cemerlang membantu skuad Harimau Selatan itu untuk memenangi lapan kejuaraan.

Daniel Ting juga akan memakai jersi bernombor 33 yang ditinggalkan oleh Mauricio di JDT.

Daniel Ting merupakan pemain yang sangat berbakat dan tidak keterlaluan untuk menganggap beliau antara pemain terbaik dalam saingan Piala Malaysia musim lalu.

JDT sementara itu sedang terus memantapkan usaha mereka dengan mereka pada hari ini turut mengumumkan penandatanganan Jordi Amat Lihon.

Laman rasmi kelab telah memuat naik video kedatangan bintang baru mereka itu seterusnya mengesahkan yang Jordi Amat kini merupakan bintang JDT.

Sepertinya para penyokong JDT terus menerus mendapat khabar gembira dari kelab kesayangan mereka dengan mereka pada malam semalam turut berjaya kenduri gol menewaskan PJ City dalam saingan Liga Super Malaysia.

Dua gol jaringan Bergson da Silva dan dua gol jaringan Fernando Foreisteri sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan 4-0 JDT menewaskan PJ City.

Kemenangan itu turut mengukuhkan kedudukan JDT di puncak saingan Liga Super dengan mengumpul 22 mata dari lapan perlawanan.

BACA:  JDT Juara Piala FA 2022