Sejam Selepas Ronaldo Diumumkan, Follower United Naik Sejuta

Nama Cristiano Ronaldo menggegar peminat di seluruh dunia hari ini selepas beliau secara rasminya kembali ke bumi Old Trafford, dan bakal beraksi bersama Manchester United.

Walaupun Ronaldo pernah beraksi bersama United sebelum ini, namun kembalinya beliau, walau baru satu jam diumumkan, beliau telah menghadiahkan tambahan satu juta pengikut di laman instagram setan merah.

Ketika artikel ini ditulis, pengikut Manchester United di laman instagram dari 42.8 juta, telah meningkat sehingga 43.8 juta.

Menakjubnya lagi, muat naik United tentang pengumuman kembalinya Cristiano Ronaldo, telah mendapat lebih 6.5 juta tanda suka walau gambar tersebut baru 30 minit di muat naik.

Belum pernah dalam sejarah muat naik United mendapat sambutan yang begini meriah, jadi ternyata impak Ronaldo masih berbisa dengan beliau sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri.

Penyokong Manchester United seluruh dunia umpama menyambut hari raya pada hari ini, selepas mereka menerima khabar gembira tentang kembalinya legenda terhebat sepanjang zaman kelab itu.

Menarik tentang saga perpindahan Ronaldo pada musim panas ini, beliau awalnya dikaitkan dengan bakal menyertai Manchester City, selepas mengumumkan bahawa dirinya tidak akan beraksi bersama Juventus lagi.

Ketika namanya dikaitkan dengan Manchester City, para peminat setan merah dilihat begitu beremosi dan tidak boleh menerima bahawa hal itu akan berlaku.

Mendes kemudiannya menghubungi United untuk berunding hal berkait Cristiano Ronaldo, dengan setan merah tidak menunggu lama untuk mendapatkan pemain terhebat dunia itu.

Tidak sampai 24 jam, United telah berjaya mendapatkan persetujuan dari kedua-dua Juventus dan Ronaldo untuk membawanya kembali ke bumi Old Trafford.

Belum turun beraksi Ronaldo sudah menunjukkan impak yang positif dan beliau juga secara tidak langsung telah menunjukkan pada kelab tentang apa yang bakal mereka nikmati selepas ini.

Kurang satu jam pengikutnya sudah mulai membanjiri laman instagram Manchester United dan tentunya menjelang pagi esok, semakin ramai yang akan menyusul.

Belum lagi penjualan jersi nanti, yang mana United tentunya bakal memperoleh durian runtuh dengan menjual jersi Ronaldo selepas ini.

Ketika Ronaldo mula menyertai Juventus, gergasi Serie A itu berjaya mencatatkan rekod jualan jersi beliau dengan jumlah yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Juventus berjaya menjual 520,000 helai jersi Ronaldo dalam tempoh sehari atau 24 jam atau 1440 minit atau 86400 saat sahaja. Gila bukan?

Penjualan jersi Ronaldo yang bernombor 7 itu mencanak-canak naik selepas Ronaldo sah menyertai Juventus dari Real Madrid dengan yuran perpindahan bernilai €105 juta.

Jualan dalam tempoh sehari itu telah mecatat jualan bernilai $60 juta bersamaan hampir separuh daripada yuran perpindahan mengejut Ronaldo untuk bersama The Old Lady demi mencari cabaran baharu pada ketika itu.

Kepulangan ini pastinya menjadikan impian peribadi rata-rata penyokong United menjadi kenyataan, dan boleh diibaratkan bagai seorang bapa yang menanti kepulangan anak.

Ronaldo yang telah memenangi Ballon d’Or sebanyak lima kali, kini secara totalnya telah memenangi sebanyak 30 piala sepanjang kariernya, termasuk lima Liga Juara-Juara UEFA, empat Kejohanan Kelab FIFA, tujuh kali kejuaraan liga di England, Sepanyol dan Itali serta trofi Kejohanan Eropah bersama pasukan kebangsaan Portugal.

Ketika beraksi bersama United buat kali pertama, dia telah menjaringkan 118 gol dalam 292 perlawanan dan bersama Real Madrid, dia telah menjaringkan 450 gol sekaligus muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab La Liga tersebut.

Sebelum ini, dalam satu sidang media pada pagi Jumaat, pengurus Juventus Max Allegri telah mengesahkan bahawa Ronaldo akan meninggalkan kelab tersebut.

“Semalam, ada sembang dengan Ronaldo, dia bagitahu yang dia dah tak ada hati nak kekal di Juventus dan oleh sebab itu, dia tidak akan diturunkan esok (perlawanan menentang Empoli) dan pagi ni pun dia tak sertai latihan,”

Jelas Allegri.

“Aku tak ada rasa kecewa kerana Cristiano buat keputusan dia sendiri. Dia dah ada kat sini selama tiga tahun, dia bagi sumbangan, dia letak Juventus sebagai keutamaan dan sekarang ni dia nak keluar dah dan hidup perlu diteruskan.

“Cristiano dah bagi banyak benda untuk kelab ni, dia memang seorang yang juara. Aku ucapkan selamat maju jaya di ceruk mana pun dia main nanti.

“Dia patut diterima kasihkan selepas apa yang dia buat untuk Juventus.”

Ketika perbincangan dilakukan antara kelab dan Ronaldo, pengurus Ole Gunnar Solksjaer dilihat agak yakin bahawa bekas rakan sepasukannya akan kembali menyarung jersi keramat yang pernah menaikkan namanya ketika dibimbing oleh Sir Alex Ferguson dari tahun 2003 sehingga 2009 itu.

“Aku tak rasa Cristiano akan tinggalkan Juventus. Ada banyak spekulasi pagi ni dan beberapa hari lepas,”

Ole bercakap kepada wartawan pada hari Jumaat.

“Kami memang ada komunikasi yang baik. Aku tahu Bruno (Fernandes) ada sembang dengan dia juga. Dia tahu apa yang kami rasa pasal dia dan jika dan hanya jika dia tinggalkan Juventus, dia tahu kami ada di sini.”

“Aku memang bernasib baik dalam main dengan dia, aku pun pernah melatih dia bila aku mula-mula dapat kerja (pengurus pasukan simpanan United).

“Dia memang seorang insan yang hebat jadi kita tengok apa yang akan terjadi dengan Cristiano. Semua orang yang pernah main dengan dia aku rasa ada soft spot di hati mereka kepada dia.”

Sumber: Manchester United

BACA:  Ronaldo Buka Jersi Raikan Gol Kemenangan, Namun Gol Itu Dibatalkan